Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, February 10, 2010

Bakar Sekolah Setelah Gagal Curi Komputer Riba

Enam lelaki bertindak membakar bilik cetakan dan pejabat pentadbiran sebuah sekolah di Rawang setelah gagal dalam cubaan mereka mencuri komputer riba milik sekolah itu.

Mereka memecah masuk sekolah itu pada jam 2.45 pagi dan bertindak menyerang serta memukul dua pengawal sekolah yang berusia 47 dan 52 tahun yang sedang meronda dengan menggunakan tong pemadam api dan objek tajam sehingga kedua-duanya cedera parah.

Guru Besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina San Yuk, Yau Kok Wan, 54, berkata komputer riba yang cuba dicuri itu adalah yang digunakan bagi program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Keenam-enam suspek turut merosakkan dua kamera litar tertutup (CCTV) kantin sekolah berkenaan," katanya kepada pemberita di sekolah itu di sini.

Beliau berkata salah seorang pengawal yang berlumuran darah keluar untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat selepas keenam-enam suspek beredar dari kawasan sekolah.

Yau berkata beliau telah membuat laporan polis dan menganggarkan kerugian bernilai kira-kira RM80,000 termasuk kerosakan empat mesin cetak, penyaman udara, mesin fotostat, mesin faks, mesin cetak dan enam komputer meja.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak DSP Zakaria Abu Kassim mengesahkan kejadian tersebut dan kedua-dua pengawal itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil dan kes tersebut sedang disiasat.-Bernama

No comments:

Post a Comment