Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, September 15, 2010

Pemilihan PKR: Elakkan Perpecahan


Walaupun mood raya di sepanjang minggu lepas meningkat dengan masing-masing bersedia untuk pulang berhari raya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memulakan kempen melobi untuk bertanding jawatan yang diidamkan. Bukan itu sahaja, mulai membentuk regu atau kumpulan kepada pemimpin-pemimpin yang disokong mereka. Meskipun, di dalam PKR, pengundian akan dilakukan secara terus ke akar umbi apabila hampir 400,000 ahlinya berpeluang mengundi memilih pemimpin mereka untuk Majlis Pimpinan Pusat PKR yang akan datang, tradisi berpuak-puak mula mencorak konsep pemilihan PKR ini.

Jika sebelum ini, ramai yang akur bahawa tradisi berpuak-puak di dalam sesuatu partilah yang bakal meruntuhkan kekuatan parti seperti yang baru-baru ini yang berlaku di dalam MCA kerana PKR juga membawa pendekatan yang sama. Semuanya bermula apabila Rafizi Ramli, ahli jawatankuasa MPP PKR Pusat yang mengumumkan akan bertanding bagi merebut kerusi Ketua AMK PKR daripada penyandangnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan mengenengahkan ahli DUN Pemuda dan pemimpin Pemuda PKR. Manakala selang beberapa hari selepas itu, sekumpulan ahli Parlimen PKR dan Ahli DUN PKR Selangor pula menyatakan sokongan kepada Naib Presidennya, Azmin Ali untuk bertanding ke jawatan Timbalan Presiden PKR.

Budaya menentukan regu sedemikian yang juga wujud di dalam Umno telah memberikan kesan negatif kepada perpaduan parti itu sepanjang sejarahnya. Antara kesannya ialah yang menang akan memberi laluan dan habuan kepada penyokongnya, yang kalah akan disisihkan walaupun berpotensi untuk berkhidmat kepada parti dan negara dan semangat regu ini tetap akan berterusan walaupun selepas pemilihan parti yang disusuli dengan dengki dan dendam. Kesan yang buruk ini akan menyebabkan ramai pemimpin akan sentiasa tidak percaya-mempercayai antara satu sama lain di sebalik sikap hipokrit yang mana ini bakal mengundang bencana perpecahan di peringkat dalaman akhirnya.

Sebagai contohnya di dalam Umno, mengambil episod kekalahan Datuk Mukhriz Mahathir kepada Khairy Jamaluddin di dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno. Di dalam kekalahan itu, regu Mukhriz, Dato’ Razali Ibrahim pula memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda. Sehingga hari ini, maklumat dalaman yang diperolehi dalam Pemuda Umno memberitahu kedudukan Khairy dan Razali penuh dengan hipokrit dan Razali kini dilihat lebih menumpukan tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan daripada memberi kerjasama kepada Khairy yang lebih nampak aktif di dalam memperkasakan Pemuda. Inilah bahananya jika dibuat regu dan harapan untuk regu kita dipilih bersama tidak menjadi. Perpecahan hubungan antara Pemuda kem Khairy dan Mukhriz masih boleh dilihat semasa program bersama Perdana Menteri anjuran Makmal Pemuda BN apabila kurang bergaul sesama mereka.

Jika kita lihat lebih jauh lagi dalam sejarah Umno, perpecahan terbesar adalah ketika kewujudan dua regu besar di dalamnya dari peringkat atas hingga ke bawah yang menyebabkan Umno diharamkan pada tahun 1988. Ketika itu, terdapat dua kem yang dikenali sebagai Team A dan Team B. Team A yang diketuai oleh Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Mahathir Mohamad manakala Team B diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Perpecahan lebih teruk berlaku selepas Mahathir memenangi jawatan Presiden Umno dengan undi tipis sebanyak 43 undi. Babak pengharaman ini bermula apabila sepasukan 11 pemimpin Umno yang dikenali sebagai Umno 11 yang menfailkan permohonan mahkamah tinggi bagi membatalkan keputusan pemilihan tersebut yang didakwa tidak sah. Akhirnya, hakim yang mendengarnya iaitu Allahyarham Tan Sri Harun Hashim pada 4 Februari 1988 telah mengharamkan parti tersebut. Selepas itu, Mahathir dan Setiausaha Agung Umno ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid telah dengan segera mendraf penubuhan parti Umno Baru dan hampir masa yang sama, Team B tadi yang diketuai oleh Ku Li menubuhkan parti Semangat 46 yang disokong oleh mantan-mantan Perdana Menteri ketika itu iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Hussein Onn.

Di dalam pemilihan MCA juga berlakunya unsur regu-regu ini yang akhirnya melemahkan kepimpinan parti berkenaan. Jika anda masih ingat lagi, apabila mantan Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat membentuk regu kepimpinannya sendiri manakala bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng (sekarang menyertai PKR) yang berganding bahu dengan presiden hari ini, Dato’ Dr. Chua Soi Lek yang akhirnya melemahkan kepimpinan parti berkenaan apabila Ong sahaja yang memenangi jawatan Presiden tetapi regunya Datuk Ong Ka Chuan kalah kepada Chua Soi Lek. Ketidakstabilan ini telah menjuruskan parti berkenaan sehingga terpaksa mengadakan pemilihan sekali lagi.

Hasil daripada pemilihan baru ini pula, keadaan yang sama yang berlaku apabila Chua Soi Lek pula memenangi jawatan Presiden dalam pertandingan tiga penjuru tetapi bagi jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi oleh calon yang bukan pilihannya iaitu Datuk Liow Tiong Lai. Pada hari ini, MCA yang dibarisi oleh kawan dan lawan cuba mengawal kemusnahan apabila mereka bertoleransi buat masa sekarang di bawah pimpinan Chua Soi Lek. Namun begitu, MCA pada hari ini boleh disifatkan sebagai retak menanti belah. Semuanya bergantung kepada telatah dan kerjasama antara Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai dalam isu-isu akan datang.

Kembali kita kepada pemilihan PKR nanti, natijah daripada sejarah regu dan kumpulan di dalam Umno dan MCA pernah membawa parti-parti itu ke arah kehancuran. Bagi PKR yang masih muda, mengamalkan semangat pasukan politik seharusnya dihindarkan. Bagi mereka yang hendak bertanding, bertandinglah atas kredibiliti diri sendiri dan usaha sendiri bagi mendapat perhatian 400,000 ahli mereka yang akan mengundi. Budaya berkumpulan ini juga bahaya kerana mampu menggalakkan rasuah dalam parti. Ini kerana kemampuan memberi rasuah lebih besar apabila wang-wang berkempen dapat dihimpunkan bagi tujuan tersebut. Semangat ingin menang juga akan memburukkan lagi amalan rasuah dalam parti.

Bahana selepas pemilihan amat berat apabila golongan yang kalah akan disisihkan. Kita belum sampai tahap yang terbuka dan menerima keputusan apa-apa pemilihan dengan ikhlas dan terbuka. Yang menang perlu lupakan persengketaan dan merapatkan saf serta yang kalah kena terima kekalahan dan kembali bekerjasama. Perbuatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama wajar dicontohi kerana walaupun menang menewaskan lawannya, Hillary Clinton semasa pemilihan parti Demokrat, Obama masih lagi menawarkan tempat dalam kabinet AS kepada Hillary dengan jawatan terpenting sebagai Setiausaha Negara. Inilah yang dikatakan kepentingan negara adalah lebih tinggi daripada kepentingan diri dan politik sendiri.Adakah kita sudah sampai ke tahap tersebut?

Rakyat yang menyokong PKR ingin melihat PKR membentuk satu ideal yang jauh berbeza daripada ideal yang diamalkan oleh Umno. Jika PKR menyerupai Umno, nampaknya harapan mereka melihat perjuangan PKR yang bebas dari amalan berpolitik berpasukan dan rasuah wang tidak akan terlaksana. Rakyat ingin melihat PKR membawa satu pembaharuan sederhana di dalam politik dan tidak mahu mereka di dalam PKR melihat politik sebagai satu usaha mendapatkan kuasa. Oleh itu, pihak pimpinan PKR perlulah memandang berat kepada usaha pihak tertentu yang berlebih-lebih di dalam politik yang cuba membentuk pasukannya sendiri sedangkan perjuangan merakyatkan rakyat ini masih belum tercapai dengan sepenuhnya.

Janganlah golongan berpuak-puak PKR ini lupa bahawa prestasi mereka masih lagi dinilai oleh rakyat. Jika rakyat melihat mereka yang berpolitik semata-mata mendapat tempat dalam parti untuk menjadi menteri di dalam kabinet semasa PRU akan datang kononnya, PKR pasti akan ditolak pada PRU ke 13 nanti. Sekali lagi PKR seperti Semangat 46 akan menjadi punca kekecewaan kepada PAS dan DAP yang sudah lama tegar akan politik nasional untuk menawan Putrajaya.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan di dalam KLToday.com.

No comments:

Post a Comment