Best Ever, Tolong Klik Sini!

Friday, April 12, 2013

PRU13: Khalid Ibrahim Nasihat Bersih 2.0 Rujuk Fakta

 

KUALA LUMPUR, 12 April — Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan pemberian bonus RM300 kepada penjawat awam dan geran tanah kepada penduduk di Bestari Jaya bukan bertujuan meraih undi dan tidak melanggar etika kerajaan sementara.

Pemangku menteri besar Selangor tersebut juga berkata kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 perlu menyemak fakta terlebih dahulu sebelum menuduh kerajaan negeri Selangor melanggar etika kerajaan sementara.


“Kerajaan Negeri berharap agar Bersih 2.0 menentukan kesahihan semua fakta dan undang-undang dengan terperinci sebelum membuat sebarang tohmahan,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Abdul Khalid, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah membuat keputusan bagi memberi bonus dan geran tanah tersebut sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), dimana sebarang keputusan yang dibuat adalah sah mengikut Perlembagaan Negeri Selangor.

“Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan bahawa kerajaan sementara wujud bermula selepas Dewan Negeri Selangor dibubarkan sehingga persidangan pertama Ahli Dewan Negeri yang baru dilantik.

“Oleh itu, kerajaan sementara bebas meneruskan polisi, program serta melaksanakan keputusan yang telah dibuat dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan mesyuarat MMKN sebelum Dewan Negeri dibubarkan,” katanya lagi.

Semalam, Bersih 2.0 mengeluarkan laporan daripada jawatankuasa khas tentang perlanggaran etika kerajaan sementara dimana mereka mendakwa kerajaan negeri Selangor telah membuat dua kesalahan iaitu dengan memberi bonus RM300 pada 3 April dan juga memberi geran tanah kepada tiga penduduk kampung di Bestari Jaya pada 7 April.

Walaubagaimanapun, Abdul Khalid menegaskan keputusan memberi bonus dibuat pada 3 April manakala pemberian geran tanah tersebut adalah sebahagian sebahagian daripada program pemilikan rumah yang dilancarkan pada 2010.

DUN negeri Selangor telah dibubarkan secara rasminya pada 4 April lalu selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kerajaan negeri Selangor yang pertama mengarahkan ahli mesyuarat negeri dan menteri besarnya memulangkan kenderaan rasmi pada 5 April lalu sebaik pembubaran DUN.

Selain itu, Surat pekeliling Selangor juga dikeluarkan serta menggariskan agar tiada polisi baru, kontrak, projek pembangunan mahupun perlantikan jawatan dibuat semasa menjadi kerajaan sementara.

Sebelum ini, pd difahamkan Bersih telah mengeluarkan list pelanggaran oleh Kerajaan Sementara Selangor dan Persekutuan:


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah menyenaraikan pelanggaran utama tatalaku kerajaan sementara oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini termasuk:

  • Pada 4 April, Menteri Besar sementara, Tan Sri Khalid Ibrahim menyampaikan bonus RM300 kepada kakitangan negeri, sehari selepas pembubaran Parlimen;
  • Tambahan peruntukan RM2.46 juta untuk program keselamatan kejiranan pada 5 April;
  • Penduduk kampung di Bestari Jaya diberi hakmilik tanah dan Khalid menawar untuk membantu mereka yang tidak mampu untuk membayar premium.
"(Ia adalah) sama seperti membeli undi," bidas Irene Fernandez -  pengerusi bersama jawatankuasa khas BERSIH yang memantau pelanggaran pilihan raya - yang telah berjanji untuk mendedahkan kepada awam pelanggaran pilihan raya oleh semua parti yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Jawatankuasa itu juga menyenaraikan tuduhan 'membeli undi' oleh kerajaan pusat sementara:
  • Pengumuman Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang pembangunan Cyberjaya yang bernilai RM6 bilion;
  • Najib mengedarkan 22,000 topi keledar kepada penyokong BN untuk digunakan semasa berkempen;
  • Peruntukan RM5.1 juta untuk sekolah-sekolah Cina di Kedah;
  • Memperluas kad diskaun 1Malaysia kepada pesara kerajaan;
  • Penggunaan kenderaan Jabatan Penerangan di majlis BN;
  • Timbalan Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan komputer riba untuk setiap pelajar.
Ditubuhkan selepas pembubaran Parlimen, jawatankuasa khas BERSIH itu memantau kerajaan pusat dan semua kerajaan negeri - yang telah menjadi kerajaan sementara sehari selepas pembubaran Parlimen dan DUN masing-masing.

No comments:

Post a Comment