Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Imam Muda. Show all posts
Showing posts with label Imam Muda. Show all posts

Thursday, July 15, 2010

Benarkah Batu Terapung Dalam Isra' Mikraj di Palestin?

Setiap kali menjelang kalendar Rejab sempena kedatangan tarikh peristiwa Isra’ Mikraj, pasti gambar-gambar ini disebarkan ke serata dunia maya dan hasilnya, ramailah yang mempercayainya..

Berikut adalah gambar-gambar palsu yang kononnya ia adalah Batu Terapung atau Batu Tergantung seperti yang tercatat dalam peristiwa Israk Mikraj, tersebar meluas di dalam internet. Dan juga.. Ia diguna pakai dalam khutbah multimedia di masjid-masjid di KL..!

Gambar PALSU 1

Batu Terapung PALSU 1Gambar PALSU kononnya Batu Terapung / Tergantung di Palestine ini terus disebarkan dan amat kurang bagi mereka yang bertanya akan kesahihannya. (He-eh..? Kan terapung tu ustaz..? )

Gambar PALSU 2

Batu Terapung PALSU 2Gambar batu yang serupa dari sudut yang lain. Dah Nampak..?

Gambar PALSU 3

Batu Terapung PALSU 3Juga satu lagi sudut gambar palsu ini. Dah jelas..? Belum..?

Gambar PALSU 4

Batu Terapung PALSU 4Sekali lagi sudut yang lain gambar palsu ini. Haa.. Jelas..?

Gambar PALSU 5

Batu Terapung PALSU 5Tadaa.. ‘Breaking The Magician Code: The Magic Secret Reavealed’. Teknik murahan rupanya.. GunaPhotoshop..

Jadi.. Mana yang ASLInya..?

Friday, July 2, 2010

Ikutlah Sunnah Rasulullah Pada Hari Jummat



Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah dah pun hari Jumaat. Dalam manusia2 sekeliling kita sibuk nak clubbing malam ni, Rasulullah anjurkan kepada kita beberapa perkara untuk kita lakukan, yang tak perlu modal pun, tapi ganjarannya maha besar di akhirat kelak.

Jangan kat akhirat nanti, bila dah nak diazab Allah, (kita berlindung kepada Allah daripada azabNya) baru kita nak muhasabah. pandai pulak nak muhasabah.

“kalaulah aku rajin siket pada setiap hari jumaat….”

1. MANDI

Sabda baginda yang bermaksud,
“Apabila datang kepada kamu hari Jumaat, maka mandilah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

2. Menghias dan Pakai Wangi-wangian

Menghias diri, memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru, kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya.”

3. Memotong Kuku

Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.

4. Membaca Surah al-Kahfi

Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan.”
(Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud,
“Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `Atiq.”
(Riwayat Al-Baihaqi)

5. Memperbanyak Doa

Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa.

Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa. Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah

Sabda baginda yang bermaksud,
“Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat.”
(Riwayat Muslim).

6. Berselawat

Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Sabda baginda yang bermaksud,
“Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku.”

Thursday, March 18, 2010

IMAM MUDA: Rancangan Realiti Terbaru ASTRO OASIS

SETELAH mencipta sejarah penyiaran, menjadi saluran TV pertama di rantau ini dengan siaran berita secara langsung dari Kota Suci Mekah sepanjang musim Haji tahun lalu, kini saluran gaya hidup Islam, Astro Oasis (saluran 106) terus mengorak langkah apabila menghasilkan sebuah lagi program memecah tradisi dengan rancangan terbaru Imam Muda!

Imam Muda adalah sebuah program siri pencarian tentang sekumpulan remaja lelaki Islam yang dihasilkan oleh Astro dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia.

Individu yang terpilih bakal dihimpunkan di sebuah asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kepimpinan Islam dari tokoh-tokoh ugama serta pendakwah dan pemimpin Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

Bakal imam-imam muda ini akan menjalani dan mengikuti jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang Imam, pemimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat.

Kesemua individu ini bakal diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal dan tajuk-tajuk agama serta kemasyarakatan dan kepimpinan.

Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran memuji pihak Astro yang berani dalam membuat pelaburan yang besar bagi memartabatkan elemen keagamaan di sebuah stesen penyiaran yang berprestij dan bertaraf dunia seumpama ini.

“Saya melihat program siri pencarian Imam Muda ini nanti bukan sahaja akan berupaya untuk mengukir paradigma baru dalam alternatif hiburan bercorak keagamaan di negara kita tetapi juga dapat mengangkat martabat dan profesyen Imam itu sendiri di mata masyarakat.

"Saya juga penuh optimis bahawa program ini dapat menatijahkan keputusan yang optimum kepada semua pihak dan percaya ia dapat menarik minat ramai anak-anak muda malahan golongan dewasa juga ke arah mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kepimpinan masyarakat serta corak dan gaya penerbitan yang lebih interaktif dan menarik,” kata Datuk Seri Jamil.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, “Sejajar dengan visi kerajaan untuk mengembangkan dan memantapkan lagi industri komunikasi dan multimedia, Astro amat gigih dalam mengumpul dan mencipta pelbagai pengisian kandungan tempatan di Malaysia melalui salurannya yang pelbagai.

“Jangka usia Astro Oasis yang bakal memasuki tahun ketiga pada bulan Oktober tahun ini telah memberi aspirasi kepada kami untuk mengadakan sebuah program siri pencarian yang terulung dan seumpamanya kerana ingin terus memainkan tanggungjawab sebagai pelopor saluran gaya hidup famili Islam dalam menyampaikan nilai-nilai positif dari sudut kerohanian dan pengetahuan.

"Tercetusnya evolusi untuk menerbitkan program seperti Imam Muda adalah di antara testimonial kami menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata.
"Hasrat kami dalam penerbitan Imam Muda ialah untuk memberi platform agar dapat memartabatkan status Imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul serta menjadi pemangkin kepada kelahiran imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti,” tambah Zainir lagi.

Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara Imam Muda ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran sebagai jawatan Imam di salah sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, Juara Imam Muda juga bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang Imam, anda dijemput hadir sesi temuduga yang akan diadakan seperti berikut dari jam 8 pagi hingga 1 petang:

26 – 27 Mac 2010-Pusat Pentadbiran Islam Negeri,Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, Terengganu

2 – 3 April 2010,-Masjid Zahir Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah

10 - 11 April 2010-Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, Johor

17 – 18 April 2010-Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur

Sesi Ujian dan temubual ini terbuka kepada semua lelaki berwarganegara Malaysia yang beragama Islam dan berusia di antara 18 hingga 27 tahun. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah, Surah Lazim dan mempunyai pengetahuan agama Islam.

Siri pencarian Imam Muda ini bakal bersiaran di saluran rasmi Astro Oasis (saluran 106) bermula 27 Mei depan. Butir-butir lanjut mengenai program-program akan diumum pada sidang media akan datang.