Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, September 15, 2010

Air Suam RM1, Restoran Dokenakan Tindakan

Sebuah restoran makanan laut di Tanjong Tokong di Geogetown yang menjual air suam pada harga RM1 segelas akan dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan.

Ketua pegawai penguatkuasa KPDNKK negeri M Guna Selan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai tindakan restoran itu mengenakan bayaran bagi air suam, walaupun harganya tidak terdapat dalam menu.

Selain itu, beliau berkata pelanggan tetap dikenakan bayaran bagi air suam walaupun mereka memesan makanan dan minuman lain.

"Semalam, sepasukan pegawai penguatkuasa kita menyiasat dakwaan itu dan mengunjungi restoran berkenaan serta meminta segelas air suam, pegawai berkenaan juga telah dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi segelas air suam itu," katanya hari ini.

Guna Selan berkata semua restoran diwajibkan mempamerkan tanda harga bagi semua makanan dan minuman, walaupun ia bukan barang kawalan.

Beliau berkata peniaga juga perlu meletakkan harga yang munasabah agar pengguna tidak berasa mereka diperdaya.

Katanya, KPDNKK akan mengambil tindakan terhadap pemilik restoran itu mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Penandaan Harga Peruncit) 1993, Akta Kawalan Harga 1946 kerana gagal meletak atau mempamerkan tanda harga.

"Jika disabitkan kesalahan, peniaga secara individu, boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment