Bekas pemimpin kesatuan sekerja hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad, yang didakwanya sering memburuk-burukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya bertanding menentang bekas timbalannya itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bekas presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmood berkata ketua umum PKR itu "telah lama dizalimi" oleh bekas perdana menteri tersebut dengan pelbagai cara dan patut dibela.
"Mahathir mendakwa beliau banyak berjasa kepada negara termasuk bangsa Melayu.
"Untuk memastikan sama ada benar beliau seorang yang banyak berjasa kepada rakyat terutama orang Melayu dan negara ini, dan masih mendapat sokongan daripada rakyat, wajarlah Mahathir bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 ini menentang Anwar," katanya di sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini
"Saya yakin rakyat akan menjadi hakim yang adil dalam pertandingan ini," tambah Nordin, yang pernah menganggotai majlis ekonomi negara pada 1990.
Selain itu, Nordin berpendapat, mantan perdana menteri itu juga kini semakin kuat menyerang Anwar walaupun telah bersara daripada politik.
Tambahnya, pertandingan dua tokoh politik itu juga dapat menguji kekuatan dan populariti Anwar untuk mengambil alih kepimpinan negara.
Nordin juga turut mencadangkan agar Mahathir dan Anwar bertanding di Parlimen Permatang Pauh.
"Takdirnya, kalau Mahathir kalah (di Permatang Pauh) tidaklah beliau berasa rendah diri kerana kawasan ini adalah kubu kuat Anwar.
"Kalau bertanding di Kubang Pasu dan Mahathir kalah, maka jatuhlah status ketokohan beliau.
"Kalau tak setuju juga, mereka boleh bertanding di mana-mana kawasan atau di Kuala Lumpur. Saya yakin Anwar di mana-mana akan diterima rakyat," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment