Best Ever, Tolong Klik Sini!

Friday, May 31, 2013

Bekas MB Selangor Bakal Dipenjara


KUALA LUMPUR, 30 Mei — Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya hari ini.

The Star Online melaporkan dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusannya.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan.


Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Dis, 2011.

Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr Mohamad Khir dengan pertuduhan itu.

Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di pasaran.

Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.
Menurut mahkamah, RM3.5 juta yang dibayar oleh bekas menteri besar bagi hartanah itu adalah satu pertimbangan tidak wajar.

Azahar menjelaskan panel telah meneliti secara mendalam enam alasan utama yang diutarakan terutamanya oleh pihak perayu (Dr Mohamad Khir) mengapa rayuan tersebut seharusnya dibenarkan.

Pertama, isu sama ada perayu merupakan seorang penjawat awam sepertimana diperuntukkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, kedua sama ada bayaran RM3.5 juta untuk hartanah tersebut mencukupi atau tidak, ketiga sama ada perayu mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan penjual hartanah terbabit Shamsuddin Hayroni (SP2), keempat sama ada SP2 merupakan rakan sepenjenayah, kelima kredibiliti SP2 dan keenam sama ada pihak pendakwaan berjaya menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Untuk isu pertama, Dr Mohamad Khir selaku ahli lembaga serta pengerusi PKNS telah menjalankan banyak menunaikan tanggungjawab ekskutifnya dan beliau termasuk dalam tafsiran sebagai penjawat awam.

Bagi isu kedua, beliau berkata perayu memang telah menunjukkan minat terhadap hartanah tersebut sejak 2004 dan akhirnya Shamsuddin bersetuju untuk menjualnya pada harga RM3.5 juta untuk menjaga kepentingan perniagaannya di mana beliau membuat banyak berurusan terutamanya dengan PKNS.

"Transaksi tersebut dibuat bukan di atas dasar 'willing buyer and willing seller' di mana SP2 telah membeli haratanah tersebut pada harga RM7 juta," jelas Azahar dipetik dari agensi berita nasional Bernama.

Dr Mohamad Khir, 48, dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Beliau yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Azahar berkata hujah peguam perayu bahawa penilaian hartanah yang dibuat juruperunding dari Rahim & Co sebanyak RM3.5 juta yang dibuat berdasarkan nilai pasaran, tidak boleh mengikat mahkamah dan ia perlu ditaksirkan berdasarkan kepada penilaian keseluruhan fakta transaksi hartanah tersebut.

Mengenai isu bahawa SP2 (Shamsuddin) adalah rakan sejenayah, Azahar menjelaskan bahawa hakim perbicaraan telah mendapati SP2 merupakan seorang saksi yang berkredibiliti serta bukan mengambil bahagian dalam jenayah itu secara sukarela.

Azahar berkata SP2 pada asalnya (pada 2004) ketika Dr Mohamad Khir menunjukkan minat terhadap hartanah terbabit, telah menawarkan harga RM6.5 juta dan terpaksa bersetuju kepada harga yang lebih rendah kemudiannya kerana untuk menjaga kepentingan perniagaannya sebagai kontraktor.

"Selain itu, saksi-saksi yang dipanggil oleh pihak perayu di peringkat pembelaannya telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah, serta pembantu peribadi perayu juga telah memberikan keterangan bercanggah," jelas Azhar.

Dr Mohamad Khir yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding hari ini dan bersalaman dengan penyokongnya yang hadir di mahkamah.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu pemberita beliau akan memfailkan satu notis rayuan di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan esok.

No comments:

Post a Comment