Pada hari ini 12 Feb 2014, genaplah 65 tahun syahidnya Imam Hassan
al-Banna dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi Mesir khususnya dan
seluruh dunia amnya. Beliau meninggal dunia pada 12 Februari 1949.
Beliau merupakan pengasas gerakan Islam Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan pada Mac 1928 di bandar Ismailiyyah.
Latar belakang
Nama
sebenarnya ialah Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna dilahirkan
pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah,
Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah).
Hassan al-Banna
merupakan anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad Ibn
Abdul Rahman al-Banna ialah seorang ulama, imam, guru dan pengarang
beberapa buah kitab hadis dan fiqah perundangan Islam yang berkelulusan
Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang
bersopan santun,pemurah,merendah diri dan tingkah laku yang menarik.
Namun beliau hanya bekerja sebagai tukang jam di desa al-Mahmudiya untuk
menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakan untuk mengkaji,
menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Quran dan
hadis kepada penduduk tempatan.
Sebagai seorang ulama. Sheikh
Ahmad Ibn Abdul Rahman al-Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar
di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari sunnah
Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di
rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian
dalam perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam
kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan,
keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi oleh Hassan
al-Banna.
Kepimpinan Hassan al-Banna
Sifat
kepimpinan Hassan al-Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah
rendah. Beliau menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah
al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada
peringkat ini beliau telah meghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan
oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyah. Melalui pertubuhan
ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan
peranan penting dalam penubuhan Ikhwanul-Muslimin.
Keluarga
Hassan al-Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran
Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz al-Quran dalam usia
yang begitu muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Beliau
telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana
kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.
Semasa di
Kaherah, Hassan al-Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan
aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal
Attartuk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan
pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan
pengaruh Islam. Beliau kemudian mengangotai pertubuhan Jamait al-Makram
al-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan
ini, Hassan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata
pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai.
Pada
peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan
tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib,Muhammad Rashid
Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Menubuhkan Ikhwan Al-Muslimin
Pada
Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima
orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan
mati kerana Islam. Di rumah itu Jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan.
Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta
berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar
Ismailiyah.
Setelah berkhidmat selam 19 tahun dalam bidang
perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusum
kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat bandar. Pengalaman ahli
jemaah yag dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwanul Muslimin sebuah
gerakan yang berpengaruh.
Pengharaman Ikhwanul Muslimin dan Pembunuhan Hassan al-Banna
Pengaruh
Ikhwanul Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di
bawah Noqrashi Pasha daripada Parti al-Safdi. Pada 8 November 1948,
beliau telah mengharamkan Ikhwanul Muslimin atas tuduhan merancang satu
pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwanul Muslimin
menghantar beribu-ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Isreal
seolah-olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000
diarahkan supaya dibubarkan.
Dengan alasan untuk mengendurkan
ketegangan antara Ikhwanul Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan
menjemput Hassan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam’iyyah
al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah
untuk membunuh beliau.
Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hassan
al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami
kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu
Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding,
tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.
Akhirnya
setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk
pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang
tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka
terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan itu.
Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut.
Walaupun terkena tujuh tembakan, Hassan al-Banna masih mampu berjalan
masuk semula ke pejabat Jam’iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil
ambulans untuk membawa mereka ke hospital.
Setibanya di hospital
Qasral ‘Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan
tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hassan al-Banna.
Pada pukul 12.50 tengah malam, Hassan al-Banna menghembuskan nafas yang
terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.
Peristiwa itu berlaku
pada tanggal 12 Februari 1949 dan ia telah meninggalkan sejarah hitam
serta pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama. Pada
tarikh itulah, dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang
menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya.
Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil
konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok,
pemerintah Mesir pada ketika itu.
No comments:
Post a Comment