Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Abdul Aziz Bari. Show all posts
Showing posts with label Abdul Aziz Bari. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Zaid Ibrahim Perlu Bertindak Profesionall - Aziz Bari

Sebagai seorang ahli politik yang bergerak dalam satu pasukan, Datuk Zaid Ibrahim tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak melulu hanya kerana tidak berpuas hati tentang beberapa perkara dalam parti lalu membuka ruang kepada musuh untuk menyerang PKR dan Pakatan Rakyat, ujar Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Sebagai ahli parti beliau boleh bercakap apa yang dia hendak. Tetapi saya rasa sebagai pemain dalam pasukan dia kena bertanggungjawab dan cerdik sikitlah.

“Jadi saya tidak fikir apa yang dilakukan oleh Zaid itu sebagai tindakan yang bijaksana. Maknanya dia tidak puas hati, dia bakar kapal,” ujar Aziz.

Aziz yang juga pensyarah undang-undang berkata, Zaid perlu bertindak profesional jika ada pun ketidakpuasan hati dalam isu pemilihan parti misalnya, kerana sebagai seorang yang dikatakan komited dengan perjuangan, tindakan beliau juga hendaklah rasional dan mendokong perjuangan parti.

Menurut Aziz, semua maklum dalam soal pemilihan ada kelemahan kerana ini kali pertama dan PKR berhadapan dengan ahli-ahli yang tidak biasa dengan
proses ini selain daripada sabotaj luar dan sebagainya, dan dia(Zaid) kena bersabarlah.

“Sebagai seorang yang kononnya komited dengan perjuangan

mendemokrasikan Malaysia baru, dia tidak sepatutnya mengambil jalan ini kerana ini akan menjadi bahan kepada musuh-musuh atau mereka yang tidak mahu berubah ini.

“Jadi saya rasa Zaid telah tersilap besar dan dia dengan tidak semena-mena menyediakan peluru untuk mereka yang tidak suka demokrasi, yang tidak suka
pembaharuan Malaysia,” tambah Aziz lagi.

Selepas membuat keputusan mengejut semalam dengan meletakkan semua jawatan dalam parti dan menarik diri dari pemilihan PKR, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini, turut mengecam supaya Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berundur dari parti.

Ia turut mengundang reaksi dari Aziz.

“Siapa dia untuk menyuruh orang lain keluar. Dia boleh kata begitu sebagai seorang ahli parti tetapi saya fikir satu perkara yang lucu lah apa yang dia minta itu. Orang akan kata, siapa Zaid untuk menyuruh Datuk Seri Anwar keluar dari parti.

“Datuk Zaid kena tahu siapa dia. Jangan semberono, main hentam sahaja. Apa yang berlaku ini pun tidak begitu ceria untuk masa depan dia dalam politik,” kata Aziz lagi.

Tambah Aziz, walaupun beliau tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku dalam parti itu, namun beliau percaya, bahawa setiap ahli parti mestilah mempunyai iltizam yang kuat untuk membawa perubahan kepada negara dan tidak goyah ketika berhadapan dengan masalah.

Dalam nada sinis, Aziz seolah-olah memberi peringatan kepada Zaid agar kembali merenung matlamat asal pemimpin itu.

“Saya rasa kita sepatutnya tidak lupa dengan gambar besar untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah, daripada penipuan,daripada tekanan, daripada ISA dan sebagainya. Dan saya rasa, apa yang Zaid lakukan hari ini, ialah sesuatu yang berlawanan dengan apa yang disebut sewaktu meninggalkan Umno.

“Sepatutnya sebagai seorang yang komited dengan parti dan perjuangan, dia semestinya tidak buat begitu,” jelasnya kepada Tv Selangor.

Bahkan menurut Aziz, tindakan seumpana itu menjadikan Zaid tidak ada bedanya dengan mereka yang keluar dari PKR kerana tidak mempunyai semangat juang dan matlamat yang jelas dalam parti.

Malah ujarnya, tindakan kurang bijaksana Zaid itu tidak akan meninggalkan sebarang kesan kepada parti melainkan kepada diri beliau sendiri.

” Dalam jangka masa panjang saya rasa tidak ada apa-apa. Sedangkan orang seperti Datuk Onn Jaafar dan orang seperti Tengku Razaleigh Hamzah sekalipun, tidak jadi apa setelah meninggalkan parti mereka, jadi siapalah Datuk Zaid ini kan…. Saya tidak fikir apa yang dilakukan beliau mendatangkan masalah pada parti. Saya rasa yang menerima risiko negatif itu dia sendiri,” katanya.

Tuesday, April 13, 2010

Najib, Kenapa takut Bentang Di Parlimen?

Oleh - Abdul Aziz Bari

Model Ekonomi Baru (MEB) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib di sebuah hotel lima bintang 30 Mac lalu. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa model untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu ditiru dari idea Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang beliau kemukakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Setakat ini masih belum begitu jelas apakah sebenarnya MEB itu; khususnya dalam konteks dan kerangka DEB. Perkasa sudah pun membuat bising dan berasa ragu tentang apa yang dianggap sebagai ancaman kepada nasib dan masa depan Melayu di dalam MEB.

Perkasa juga dilaporkan bimbang dengan cadangan penubuhan suruhanjaya untuk memastikan hak sama rata: Datuk Ibrahim Ali kata ini bertentangan dengan ketetapan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut kedudukan istimewa Melayu.

Rasa tidak senang itu dipukul oleh seorang anggota kabinet, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz. Katanya tidak mungkin suruhanjaya itu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan. Sejak awal lagi Nazri memang tidak senang dengan penubuhan dan aktiviti Perkasa; sesuatu yang berbeza dari sikap yang ditunjukkan Najib.

Dalam pada itu dua minggu lalu Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Najib mendengar kata Perkasa.

Saya fikir penubuhan suruhanjaya yang dicadangkan di bawah MEB itu membuang duit rakyat sebagaimana Suhakam. Meskipun saya tidak nafikan kebaikannya, tetapi ini tidaklah seberapa. Dan saya fikir badan-badan seperti ini sepatutnya tidak perlu diwujudkan jika Perlembagaan dihormati dan dilaksanakan.

Pembaziran sebegini berlaku apabila mahkamah jadi seperti apa yang kita lihat sekarang. Inilah antara contoh yang jelas menunjukkan betapa wang dan masa rakyat membazir jika mahkamah gagal berfungsi. Bayangkan berapa banyak masa dan wang yang selamat sekiranya peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dikuatkuasakan oleh mahkamah dengan tegas.

Berbalik kepada isu MEB tadi nampaknya kerajaan mengulangi apa yang berlaku pada DEB. Kekaburan, ketidaktentuan dan segala macam kontroversi menyelubungi DEB kerana ia tidak pernah dibentangkan. Contohnya kita tidak tahu mengapa dan bagaimana angka atau kuota 30 peratus itu timbul. Seperti juga angka 2020 yang menjadi sasaran wawasan pentadbiran Mahathir pada pertengahan 1990an dulu.

Selepas DEB muncul pada 1970 timbul pula isu kontrak sosial yang menjelma pada pertengahan 1980an. Isu yang dibangkitkan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad – bekas setiausaha politik Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak – makin mengusutkan wacana DEB.

Sebaik-baiknya dasar dan tindakan penting kerajaan dikemukakan kepada Parlimen dalam bentuk kertas putih supaya Ahli-ahli Parlimen dapat membincangkannya dengan teliti. Saya tidak faham mengapa ia tidak dilakukan sedangkan dalam sistem kita, Parlimen penting.

Selain menjadi pembuat undang-undang, Parlimen juga adalah tempat dan mekanisme mengawal kerajaan yang memerintah, yakni eksekutif. Jika kerajaan gagal Parlimen boleh membuangnya melalui undi tidak percaya.

Ini semua adalah tuntutan dan inti sari kerajaan berkabinet sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(3). Najib tidak patut bimbang kerana Barisan Nasional mempunyai majoriti yang cukup untuk mempertahankan dasar-dasarnya di situ.

Barisan menuduh Pakatan Rakyat sentiasa mencari salah dan tidak konstruktif. Soalnya apakah Barisan mengambil sikap yang dituntutnya itu di negeri-negeri yang mereka jadi pembangkang? Saya fikir memberi wang tunai kepada warga emas sebagaimana dilakukan Pakatan di Pulau Pinang adalah baik. Tetapi Barisan mengutuknya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, malah dilaporkan memberi takziah kepada warga emas di negeri itu. Barisan juga tidak menyokong sepenuhnya tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menuntut wang royalti minyak meskipun ia baik untuk rakyat negeri itu.

Tetapi tidak mengapalah kerana kerja mengkritik dan mengutuk itu memang tugas dan mungkin hak pembangkang. Kerja mereka memang menyusahkan kerajaan yang memerintah. Asalkan ia dilakukan dalam kerangka dibenarkan, tindakan mereka tidak boleh dipersoalkan. Terpulanglah kepada rakyat terbanyak untuk menilainya.

Dalam konteks Perlembagaan, itulah kenyataan yang mesti diterima dalam apa yang dikatakan kerajaan bertanggungjawab atau kerajaan berkabinet; yakni sebuah kerajaan yang dilantik dan dipantau di dalam Dewan.

Apakah MEB tidak sah? Tidak semestinya begitu. tetapi meskipun soal sah atau sebaliknya tidak timbul ia menunjukkan betapa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak berani berdepan dengan Parlimen.

Ini ganjil kerana dalam demokrasi berparlimen kerajaan dibentuk atas dasar majoriti. Kumpulan majoriti – bermakna lebih ramai - tidak sepatutnya takut kepada kumpulan minoriti yang dalam konteks Dewan Rakyat ialah Ahli-ahli Parlimen Pakatan.

Membentangkan sebuah dasar yang penting di hotel dan tidak di Parlimen juga tidak kena kerana ia menunjukkan sikap tidak menghormati Parlimen. Jika begini sikap kerajaan terhadap Dewan, apa sudah jadi dengan cita-cita hendak menjadikan Parlimen kita kelas pertama?


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.