Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Dr Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr Asri. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Surat Terbuka Kepada YB Anwar Ibrahim Dari Dr Asri

SURAT TERBUKA UNTUK YANG BERHORMAT DSAI


Dr. Mohd Asri
Zainul Abidin


 Saya baru sahaja membaca kenyataan YB DSAI bahawa kenyataan menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid Ibrahim yang membuat gesaan yang sama. DSAI menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat. Izinkan saya menyebut beberapa perkara;

1. Untuk pengetahuan DSAI, secara peribadi saya tidak memusuhi DS. Bahkan saya simpati dengan keadaan beliau sekarang. DS sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan DS. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi DS. Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang.

2. DSAI, biasanya apabila saya ingin melontarkan pandangan politik yang besar, saya akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang –bagi saya- tajam dan kritis. Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral. Tapi dalam isu ‘pengunduran DSAI’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya. Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid. Pada awal moderator Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar.

3. Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari website saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam website saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’. Bukan kenyataan exclusive untuk mereka. Sebaliknya, Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan.

4. Saya pun tidak tahu bahawa Dato Zaid Ibrahim dan Saudara Mustafa Kamil Ayyub akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu. Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka.

5. Jasa, sumbangan dan kesan DSAI dalam bidang politik akan tetap dikenang dan menjadi sejarah tanahair. Di sudut pemikiran Islam, DSAI jauh lebih luas dari banyak pihak. Dari sudut pidato, DSAI masih mantap. Dari sudut umur, DSAI belum terlalu tua dalam politik. Namun, bagi saya jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira. Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa. Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh.

6. Kita tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan dalam negara ini. Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternative pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya.

7. Apapun, saya tetap bersimpati dengan pergolakan akhir PKR, parti DSAI. Namun, hal ini memang boleh dijangkakan oleh ramai pemerhati dari awal lagi. Bukanlah hak saya mencampuri parti DSAI. Tetapi hak saya memberikan harapan atau pandangan kepada Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang kerana mereka mendapat peruntukan negara dan mereka penentu masa depan rakyat.

8. Apa yang berlaku, anggaplah itu pendapat saya secara peribadi. Bukan pandangan hukum, bukan juga satu paksaan. Pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Bak kata YB Nurul Izzah, biarlah rakyat dan parti yang menentukan. Pandangan insan terdedah kepada salah dan silap. Apatahlagi pandangan insan kerdil seperti saya. Namun, masa yang berjalan dan peristiwa yang bakal terjadi akan memperlihatkan sejauh manakah kebenaran sesuatu andaian atau ramalan. Jika satu hari DSAI dapat bukti saya silap dalam andaian tersebut, maka rakyat tahu saya membuat andaian yang tidak tepat dan dengan redhanya saya akan berkata ‘andaian saya salah!’. Jika sebaliknya, maka jawapannya pun sebaliknya.

9. Sebagai muslim, apa yang penting bagi saya, hubungan ukhuwwah islamiyyah antara saya dan DSAI harap tidak terputus. Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi. Saya telah sms secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiyyah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi –seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.

Dengan ini, saya harap kenyataan media DSAI itu dapat dilihat sekali lagi. Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada DSAI, Alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara muslim. Wassalam.

Mohd Asri Zainul Abidin
9 Nov 2010, 3.30 p.m

Thursday, August 26, 2010

Isu Khutbah Jumaat: Dr Asri VS Harussani

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;
1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan-“assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:
“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut:“Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”.Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.
7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).
8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).
9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:
“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.
10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:
“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).
Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.
Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Monday, July 26, 2010

Saya Ingin Memuji Tun Siti Hasmah Mohd Ali - Dr Asri

Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr. Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran wajah Tun Siti yang paling indah yang saya lihat ialah ketika beliau memakai telekung untuk solat. Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di IJN. Tun Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. MasyaAllah, wajah Tun Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah nenek saya yang sudah kembali ke rahmatullah.

Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat terhadap berbagai perkara khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah..

Jika kita masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun Siti. Wajahnya yang tidak sombong, gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi. Ya! Ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa dengan penuh kemegahan pun beliau tetap bersikap sebagai seorang isteri yang tidak menyibuk diri menjadi ‘menteri tambahan’. Orang tidak memperkatakan tentang sikap suka campur tangan beliau dalam urusan politik, tidak beliau dibenci kerana berlebih-lebihan dalam gaya dan cara. Tun Siti sangat sederhana sehingga sekarang. Saya sendiri pernah mendengar Tun Mahathir bersungut kerana lama menunggu Tun Siti di kereta dan cuaca agak sejuk. Ketika itu di London. Saya masih ingat jawapan Tun Siti: “ada orang hendak bercakap dengan kita, takkan kita hendak tinggalkan”. Masa itu ada rakyat Malaysia di London yang datang berbual dengan Tun Siti ketika beliau hendak turun dari Malaysia Hall.

Saturday, July 17, 2010

Subsidi Rakyat Miskin Di Rampas, Pembesar Negara Bermewah Harta Negara

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kekesalannya terhadap kenaikan harga "5-dalam-1" bagi tujuan penjimatan subsidi sedangkan pada masa yang sama terdapat pelbagai pembaziran.

"...di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas," katanya.

"Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibu bapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang. "Mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah.

"Tengah malam kelmarin, kerajaan
menaikkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG). Langkah tiba-tiba itu ternyata mengundang kemarahan banyak pihak, terutamanya pembangkang.

Menulis dalam blognya semalam, Dr Mohd Asri menempelak "golongan bangsawan dan pembesar yang bersenang-lenang dengan kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat".

Sedangkan, menurut artikel berjudul 'Menangisi kenaikan harga barang' itu lagi, orang miskin kini menangis ekoran harga makanan yang semakin tinggi.

Friday, July 16, 2010

Tak Mungkin Saya Masuk UMNO - Dr Asri

KOTA BHARU - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sebelum ini diura-urakan untuk menyertai UMNO membuat pengakuan bahawa beliau belum bercita-cita menyertai parti itu.

Berucap di Majlis Wacana Perdana Bolehkah Melayu Bersatu di Kota Bharu semalam, Dr Mohd Asri yang sebelum ini dilanda pelbagai spekulasi menyatakan beliau tidak pernah membuat kenyataan dia berminat menyertai UMNO.

“Saya tak pernah kata nak masuk (UMNO) orang yang kata dan sehingga saat ini saya tidak bercita-cita nak masuk UMNO,” katanya ketika menjawab soalan yang dilontarkan Moderator Majlis, Profesor Madya Mohammad Agus Yusof.

Selain Dr Mohd Asri, wacana yang diselangi perdebatan itu disertai oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Pengerusi Biro agama Pemuda UMNO, Afandi Yusoff dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (Jasa), Lokman Nor Adam.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri adalah antara nama yang dikaitkan bersama 40 ulama muda yang menyerahkan borang permohonan untuk menjadi ahli UMNO dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu ketika ditemui selepas majlis tersebut, Dr Mohd Asri berkata buat masa ini beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik, namun tidak mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan.

Ditanya adakah beliau lebih terdorong untuk bersama Pas, bekas mufti itu mengakui beliau mempunyai hubungan rapat dengan bekas Presiden Pas, Almarhum Fadzil Noor namun masih belum berminat menyertai parti itu.

“Kita tak tahu masa depan, dengan apa yang saya faham, saya tidak menyertai mana-mana parti termasuk UMNO, memandai saya berbaik dengan pemimpin Pas dan UMNO, cukup ahli parti yang ada, saya masuk jadi serabut saja,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan nya, Dr Mohd Asri yang mengulas mengenai konsep perpaduan politik Melayu berkata, adalah lebih penting untuk memperkembangkan prinsip perpaduan Islam dengan tidak mengira bangsa dan keturunan.

Dalam masa yang sama katanya, masyarakat perlu mengakui bahawa konsep kenegaraan memerlukan parti politik selain membuat perimbangan bahawa konsep perpaduan bukan saja untuk mendapatkan kerajaan semata-mata.

“Semasa membuat perjumpaan di London bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi sendiri menyebut perlu wujudnya Pas, kalau tidak rosak UMNO.

“Kita mesti ada imbangan, mungkin ada yang tidak berpolitik, saya tak gemar bercakap soal perpaduan politik degan mengutamakan kerajaan federalisma, bila kuatnya UMNO bererti Melayu kuat dan bila Pas kuatnya Melayu itu kuat,” katanya.