Oleh - Abdul Aziz Bari
Model Ekonomi Baru (MEB) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib di sebuah hotel lima bintang 30 Mac lalu. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa model untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu ditiru dari idea Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang beliau kemukakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.
Setakat ini masih belum begitu jelas apakah sebenarnya MEB itu; khususnya dalam konteks dan kerangka DEB. Perkasa sudah pun membuat bising dan berasa ragu tentang apa yang dianggap sebagai ancaman kepada nasib dan masa depan Melayu di dalam MEB.
Perkasa juga dilaporkan bimbang dengan cadangan penubuhan suruhanjaya untuk memastikan hak sama rata: Datuk Ibrahim Ali kata ini bertentangan dengan ketetapan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut kedudukan istimewa Melayu.
Rasa tidak senang itu dipukul oleh seorang anggota kabinet, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz. Katanya tidak mungkin suruhanjaya itu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan. Sejak awal lagi Nazri memang tidak senang dengan penubuhan dan aktiviti Perkasa; sesuatu yang berbeza dari sikap yang ditunjukkan Najib.
Dalam pada itu dua minggu lalu Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Najib mendengar kata Perkasa.
Saya fikir penubuhan suruhanjaya yang dicadangkan di bawah MEB itu membuang duit rakyat sebagaimana Suhakam. Meskipun saya tidak nafikan kebaikannya, tetapi ini tidaklah seberapa. Dan saya fikir badan-badan seperti ini sepatutnya tidak perlu diwujudkan jika Perlembagaan dihormati dan dilaksanakan.
Pembaziran sebegini berlaku apabila mahkamah jadi seperti apa yang kita lihat sekarang. Inilah antara contoh yang jelas menunjukkan betapa wang dan masa rakyat membazir jika mahkamah gagal berfungsi. Bayangkan berapa banyak masa dan wang yang selamat sekiranya peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dikuatkuasakan oleh mahkamah dengan tegas.
Berbalik kepada isu MEB tadi nampaknya kerajaan mengulangi apa yang berlaku pada DEB. Kekaburan, ketidaktentuan dan segala macam kontroversi menyelubungi DEB kerana ia tidak pernah dibentangkan. Contohnya kita tidak tahu mengapa dan bagaimana angka atau kuota 30 peratus itu timbul. Seperti juga angka 2020 yang menjadi sasaran wawasan pentadbiran Mahathir pada pertengahan 1990an dulu.
Selepas DEB muncul pada 1970 timbul pula isu kontrak sosial yang menjelma pada pertengahan 1980an. Isu yang dibangkitkan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad – bekas setiausaha politik Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak – makin mengusutkan wacana DEB.
Sebaik-baiknya dasar dan tindakan penting kerajaan dikemukakan kepada Parlimen dalam bentuk kertas putih supaya Ahli-ahli Parlimen dapat membincangkannya dengan teliti. Saya tidak faham mengapa ia tidak dilakukan sedangkan dalam sistem kita, Parlimen penting.
Selain menjadi pembuat undang-undang, Parlimen juga adalah tempat dan mekanisme mengawal kerajaan yang memerintah, yakni eksekutif. Jika kerajaan gagal Parlimen boleh membuangnya melalui undi tidak percaya.
Ini semua adalah tuntutan dan inti sari kerajaan berkabinet sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(3). Najib tidak patut bimbang kerana Barisan Nasional mempunyai majoriti yang cukup untuk mempertahankan dasar-dasarnya di situ.
Barisan menuduh Pakatan Rakyat sentiasa mencari salah dan tidak konstruktif. Soalnya apakah Barisan mengambil sikap yang dituntutnya itu di negeri-negeri yang mereka jadi pembangkang? Saya fikir memberi wang tunai kepada warga emas sebagaimana dilakukan Pakatan di Pulau Pinang adalah baik. Tetapi Barisan mengutuknya.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, malah dilaporkan memberi takziah kepada warga emas di negeri itu. Barisan juga tidak menyokong sepenuhnya tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menuntut wang royalti minyak meskipun ia baik untuk rakyat negeri itu.
Tetapi tidak mengapalah kerana kerja mengkritik dan mengutuk itu memang tugas dan mungkin hak pembangkang. Kerja mereka memang menyusahkan kerajaan yang memerintah. Asalkan ia dilakukan dalam kerangka dibenarkan, tindakan mereka tidak boleh dipersoalkan. Terpulanglah kepada rakyat terbanyak untuk menilainya.
Dalam konteks Perlembagaan, itulah kenyataan yang mesti diterima dalam apa yang dikatakan kerajaan bertanggungjawab atau kerajaan berkabinet; yakni sebuah kerajaan yang dilantik dan dipantau di dalam Dewan.
Apakah MEB tidak sah? Tidak semestinya begitu. tetapi meskipun soal sah atau sebaliknya tidak timbul ia menunjukkan betapa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak berani berdepan dengan Parlimen.
Ini ganjil kerana dalam demokrasi berparlimen kerajaan dibentuk atas dasar majoriti. Kumpulan majoriti – bermakna lebih ramai - tidak sepatutnya takut kepada kumpulan minoriti yang dalam konteks Dewan Rakyat ialah Ahli-ahli Parlimen Pakatan.
Membentangkan sebuah dasar yang penting di hotel dan tidak di Parlimen juga tidak kena kerana ia menunjukkan sikap tidak menghormati Parlimen. Jika begini sikap kerajaan terhadap Dewan, apa sudah jadi dengan cita-cita hendak menjadikan Parlimen kita kelas pertama?
* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.
No comments:
Post a Comment