Pakatan Rakyat telah memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan
aman Black 505 di Padang Merbok yang mulanya dijadualkan pada 15 Jun
2013 dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut oleh pihak berkuasa.
Penganjur juga menerima nasihat kepimpinan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) untuk tidak mengadakannya di Dataran Merdeka, walaupun itu adalah
tempat perhimpunan yang dituntut oleh banyak pihak.
Saya mengambil kira rayuan pihak-pihak yang telah pun mempunyai perancangan program di Padang Merbok pada 15 Jun 2013.
Setelah
berbincang dengan IPD Dang Wangi, penganjur membuat keputusan untuk
menukar tarikh perhimpunan aman Black 505 Padang Merbok ke minggu yang
seterusnya iaitu pada 22 Jun 2013 bermula jam 12 tengahari.
Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun
2013 telah pun dibuat pada hari Jumaat 7 Jun 2013, iaitu 2 hari selepas
permohonan pertama dibuat.
DBKL juga telah mengesahkan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7
Jun 2013, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan
acara di Padang Merbok pada 22 Jun 2013.
Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah
Persekutuan bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini.
Saya ingin mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan bahawa majoriti
besar rakyat di Wilayah Persekutuan bersama-sama Pakatan Rakyat dan
beliau perlulah menghormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang mahu
berhimpun secara aman di Padang Merbok yang merupakan padang milik
rakyat.
Notis kepada IPD Dang Wangi akan dibuat esok dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut oleh PDRM.
Ini adalah ketetapan akhir dan tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan oleh DBKL.
Perhimpunan aman #black505 akan diadakan pada tarikh 22 Jun 2013
(Sabtu) bermula jam 12 tengahari di Padang Merbok. Rakyat Malaysia yang
cintakan kebenaran dan menolak penipuan pilihanraya diseru turun
beramai-ramai untuk menuntut 3 perkara:
1. Keseluruhan ahli SPR meletakkan jawatan serta-merta dan ahli-ahli
SPR yang baru akan dilantik secara bersama dengan Pakatan Rakyat dan
kumpulan civil society yang mewakili rakyat;
2. Pilihanraya semula di 30 kawasan Parlimen bila mana dibuktikan berlaku penyelewengan;
3. Hentikan sebarang usaha untuk meminda undang-undang pilihanraya
atau persempadanan semula sehinggalah ahli-ahli SPR baru yang adil
dilantik secara bersama seperti tuntutan (1)
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
No comments:
Post a Comment