Best Ever, Tolong Klik Sini!

Thursday, January 30, 2014

Ketenangan Khalid Ibrahim Meresahkan Lawan

 
 Tiga jam selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di Kajang, para pemerhati masih bingung memahami kesannya.
Pengumuman itu dilakukan ketika spekulasi hangat diperkatakan Anwar bakal menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun keadaan di pejabat menteri besar masih tenang, berbeza dengan ribut taufan kata-kata dan spekulasi di luar.

Kedatangan Malaysiakini kira-kira jam 2.30 petang itu disambut dengan berita dari pembantu beliau bahawa Khalid sibuk dengan mesyuarat di rumah beliau sendiri sejak jam 8 pagi.
Kemudian beliau bergegas ke ibu pejabat PKR bagi mengumumkan pencalonan Anwar sebelum terus ke temujanji bersama media bagi menjelaskan keadaan semasa.

Pembantu beliau yang melayan pasukan Malaysiakini berkata, Khalid mahu terus bersama kami walaupun baru selesai mengadakan temubual dengan media lain dan menunda makan tengah harinya.


Di sebalik penampilan beliau yang terkenal dengan kurang kemas itu, Khalid amat tenang dan bersedia dengan gaya biasa beliau.

"Saya fikir saya boleh lihat perbezaan antara dunia korporat dan dunia politik. Dalam dunia korporat, saya turun mengalami turun naik.

"Tapi di dunia politik, turun naik ini jauh lebih laju dari dunia perniagaan," kata beliau mengenai hari itu.

Bukan secara mudah
Soalan yang terngiang di fikiran semua orang, bagaimanapun bukan apa yang dipelajari Khalid dalam politik tetapi adakah beliau akan kekal sebagai menteri besar jika Anwar menang pilihan raya.

Beliau terus menjawab: "50-50"

"Dia (Anwar) boleh cakap 'Saya perlukan awak' atau 'saya tak perlukan awak'."


Khalid bagaimanapun pantas berkata hal ini  bukan mudah berdasarkan sejarah politik istana negara ini.
Menurut beliau, perlembagaan Selangor menyatakan Sultan mempunyai kuasa istimewa memilih calon sendiri walaupun calon yang dicadangkan mendapat sokongan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Apa maksudnya? Baginda boleh kata 'boleh beri beta orang lain?'. Kita lihat kembali sejarah di Perlis, Terengganu, Kedah dan Pahang. Ia perkara biasa.

"(Sultan) mungkin tidak menerima calon (menteri besar) baru.. Dan anda pun tahu mungkin bukan hanya satu kumpulan. Akan ada tiga lagi kumpulan lain melobi jawatan itu.

"Ada elemen ketidakpastian. Amat naif untuk berkata ia (pertukaran menteri besar) pasti kerana politik istana mempunyai dinamiknya sendiri," kata beliau.

Sebelum ini, pentadbiran Khalid dikatakan bertelagah dengan istana Selangor tetapi pemerhati kini umumnya bersetuju beliau mempunyai hubungan kerja baik dengan sultan.

Anwar Mr X?
Tanpa berselindung, Khalid mengaku tidak akan mempertahankan kuasa beliau sekiranya diminta berbuat demikian oleh Anwar sendiri dan tidak akan mensabotaj pilihan parti melalui hubungannya istana beliau.

"Sepanjang yang saya peduli, jika parti beri nama 'Mr X'... Sebagai tukang penghantar, saya akan hantar (mesej kepada istana). Tiada isu."

Sekarang, 'Mr X' yang dispekulasikan menggantikan Khalid tidak lain, tidak bukan ialah Anwar sendiri. Hal ini, kata penganalisis, bagi menenangkan tekanan ke atas Khalid dari pesaing beliau dalam parti sendiri.

Ini mungkin menjadi sebab mengapa Khalid menghormati mereka yang boleh menggantikan beliau.
Menurut beliau, Anwar ialah 'political animal' (makhluk politik) paling berpengalaman dikenalinya dan keupayaan beliau membaca situasi dan menukar 'situasi janggal' kepada peluang tidak mampu diatasi.

"Saya sedang cuba mengadaptasi, dan saya harus memahami beliau (Anwar) atau saya tidak akan mencapai objektif saya. Dia juga harus memahami saya untuk bersama dengan saya. Ia perkara bersama... Ia mempunyai kerumitan tersendiri dan bukan perkara biasa."

Beliau berkata dalam kemarahan terhadap Anwar, orang ramai tidak menyedari risiko yang diambil Anwar dalam mengambil posisi yang dilihat lebih 'rendah' dari status beliau.

"Beliau (Anwar) turut mengambil risiko kerana jika gagal, ia melibatkan kerja keras selama 20 tahun. Risiko ini lebih besar dari orang lain.

"Beliau akan ke sana tanpa hamparan permaidani merah. Anda perlu hargai perkara itu. Fakta yang beliau sanggup ambil risiko itu juga penting."

Khalid menambah bahawa selepas perjuangan lama beliau, tidak logik dikatakan matlamat Anwar dalam penghujung perjuangan beliau ialah berada di Selangor.

"Tetapi sukar bagi kita melihat perkara sebagaimana dilihat 'political animal' ini.

"Anda lihat Anwar dari segi pengalaman hidup beliau, kita tak boleh bayangkan itu. Ini perbezaannya...Ini sebab anda perlu lihat hal ini dari perspektif beliau. Saya tidak fikir anda akan faham sepenuhnya.

"Ia seperti cuba memahami (Nelson) Mandela. Jika saya dipenjara selama 25 tahun di tempat yang sejuk dan teruk, perkara pertama yang saya buat lepas berkuasa adalah cari mereka yang memenjarakan saya dulu dan memberi mereka 'pengalaman' sama," kata beliau.

3 harimau di atas gunung
Khalid berkata walaupun ramai rakyat yang marah kerana parti menggunakan pilihan raya kecil bagi menyelesaikan pertikaian dalaman, ini semua sebahagian dari penilaian dan evolusi politik.

"Orang ramai perlu faham yang satu masa nanti mereka boleh tanya parti: 'Adakah anda buat apa yang kami mahu?' Dan parti perlu berubah.

"Tiada parti politik yang stabil. Walaupun Komunis...Walau di Korea Utara, pakcik (Presiden) sudah hilang! Mana kestabilannya?

"Jika isu dalaman ditangani untuk jadi lebih baik, ia baik untuk rakyat," kata beliau.

Khalid berkata walaupun pertikaian dalaman adalah perkara normal, beliau berharap wujud kematangan lebih baik dan 'etika tertentu' untuk menanganinya.
"Sebenarnya, perniagaan yang berjaya hanya dilakukan dengan satu salam tangan. Bukannya dengan ratusan muka surat perjanjian. Lebih banyak perniagaan dilakukan dengan cara demikian (salam) lebih cepat kita buat kerja, Sama dengan politik," kata beliau.

Beliau mengaku yang Anwar, beliau sendiri dan pesaingnya, ketua PKR Selangor Azmin Ali (atas) masih tidak mencapai tahap sedemikian tetapi boleh menerima perbezaan masing-masing.

Satu pepatah Cina mengatakan tidak boleh ada dua harimau dalam gunung yang sama dan dengan kehadiran Anwar, Selangor kini ada lebih dari 'dua harimau.'

"Kita tunggu..dan lihat apa yang akan berlaku," jawab beliau dengan senyuman tenang.

No comments:

Post a Comment