Best Ever, Tolong Klik Sini!

Sunday, October 17, 2010

600 Guru Diberhentikan! Gunalah Duit Bajet Untuk Pendidikan Itu

600 GSTT Kedah tidak disambung kontrak

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menggesa Kementerian Pelajaran menyambung semula kontrak 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini.

Pengerusinya, Zuraidi Rahim berkata, mereka yang akan tamat kontrak pada 16 dan 30 Oktober ini tidak dapat menyambung perkhidmatan seperti rakan sejawatan di negeri lain.

Sehubungan itu, beliau berharap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi perhatian serius terhadap masalah kumpulan itu.

“Kami berharap mereka dapat mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) walaupun sudah ditamatkan dua tahun lalu,” katanya kepada media selepas menerima borang daripada guru terbabit di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan, guru GSTT menunjukkan prestasi amat baik dan diperakui pengetua sekolah tempat mereka mengajar.

“Ini menunjukkan guru sandaran mempunyai kualiti baik dan kementerian perlu mengambil langkah menyerap mereka menjadi guru tetap bagi membolehkan mereka terus menyumbang bakti mereka kepada masyarakat,” katanya.

Seorang daripada guru GSTT, Amir Hamzah Harun, 33, berkata beliau amat terkilan apabila mendapat tahu kontraknya ditamatkan dan tidak boleh disambung seperti yang dibuatnya sebelum ini.

“Saya berharap rayuan kami sebagai guru sandaran melalui GPMS mendapat perhatian dan masalah ini diselesaikan segera,” katanya.

Ruhaiza Kadir, 29, pula telah berkhidmat sebagai guru sandaran lebih tujuh tahun tetapi tidak pernah mendapat status guru tetap walaupun memohon melalui Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI).

“Saya berharap akan mendapat pembelaan sewajarnya demi memastikan perkhidmatan kami dalam bidang pendidikan tidak terhenti begitu sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment