Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, October 6, 2010

Khalid Ibrahim Pertimbang Taja Yayasan Reformis

SHAH ALAM 5 Okt - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang mempertimbangkan kertas cadangan yang disediakan sekumpulan aktivis reformis bagi penubuhan Yayasan Reformis yang diumumkan Februari lalu dengan peruntukan RM100,000.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata dalam pertemuan antara beliau bersama kira-kira 15 anggota reformis pada Ramadhan lalu, mereka menyatakan hasrat agar kerajaan negeri mengiktiraf kumpulan ini sebagai pejuang yang pernah menyumbang bakti dalam membentuk gerakan reformasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
"Ketika MB mengumumkan mengenai peruntukan ini, masa itu saya belum lagi berada di sini (menjadi Setpol).
"Jadi sekarang saya yang buat susulan dengan memanggil mereka sebab saya sebahagian daripada mereka dahulu.
"Kesemua mereka datangnya dari gerakan massa, mereka jugalah yang melahirkan pembentukan perarakan jalanan bermula sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu.
"Kedatangan mereka dengan dua tujuan, satunya supaya kerajaan negeri isyhtiharkan kumpulan mereka dan mohon kerajaan negeri untuk menyalur bantuan dalam bentuk bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas mereka secara lebih berkesan.
"Jadi adalah baiknya kerajaan negeri di bawah inisiatif MB membantu reformis serta menghidupkan semula sejarah pembentukan gerakan reformasi sebelum ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Faekah berkata Menteri Besar telah menunjukkan reaksi positif terhadap penubuhan Yayasan Reformasi.
"Dia (Khalid) kata dia nak bagi, dia akan bagi," kata Faekah lagi.
Bagaimanapun, jelas Faekah beliau pernah menyuarakan alternatif lain bagi membantu golongan reformis terbabit. Kata beliau, menerusi Bantuan Blueprint Kerajaan Negeri Selangor, mereka (kumpulan reformis) malah boleh menjana pendapatan daripada bantuan ini kerana sebahagian besar di kalangan mereka merupakan peniaga kecil.
"Kebetulan, pada pertemuan saya bersama mereka, MB baru sahaja melancarkan Skim Mikrokredit, jadi saya cadangkan juga kepada mereka supaya membuat permohonan bantuan itu," kata beliau.
Pada Februari lalu, satu majlis dialog di antara aktivis reformis bersama Menteri Besar telah diadakan. Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ikon reformasi dan perjuangan rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perjumpaan yang berlangsung hampir empat jam di kediaman rasmi Menteri Besar itu dihadiri seramai 150 anggota.
Semuanya menjurus kepada ‘bicara hati’ pejuang jalanan yang sekian lama memperjudikan nasib mereka menentang kezaliman rejim Umno-BN yang berterusan menzalimi Anwar bermula konspirasi pertama pada 1998 sehingga sejarah hitam itu kini berulang kembali.
Malah ada di kalangan mereka terpaksa melalui perjalanan hidup getir setelah diberhentikan kerja oleh majikan kerana menentang keadilan yang diperjuangkan aktivis ini.

No comments:

Post a Comment