Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Sultan Sharafuddin Idris Shah. Show all posts
Showing posts with label Sultan Sharafuddin Idris Shah. Show all posts

Thursday, May 6, 2010

PADAT Perlu Komersialkan Adat Melayu dan Warisan Selangor

Sultan Selangor semalam bertitah bahawa adat dan warisan yang diamal sejak turun temurun perlu dipelihara dan dipraktikkan oleh semua kaum agar Selangor menjadi sebuah negeri yang mempunyai budaya sopan santun dan budi bahasa yang tinggi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah apa yang dikatakan adab adalah menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain berbudi bahasa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah orang lain.

Sultan Selangor bertitah baginda menyentuh isu adab kerana dewasa ini gejala 'kurang beradab' berleluasa di kalangan masyarakat di negeri ini kononnya kerana masyarakat moden.

"Sayangnya kurang beradab ini dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan profesional. Kurang beradab bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi," titah Baginda pada perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini, malam semalam.

Baginda bertitah masyarakat berbilang kaum di negeri ini juga perlu memahami dan menghormati adat resam semua kaum bagi mengelakkan berlaku salah faham atau kekeliruan sekaligus mewujudkan kaharmonian dan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya adab yang diamalkan oleh nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterap dalam sistem pembelajaran.

Baginda turut meminta Padat yang dilancarkan malam ini supaya bukan sahaja memelihara adat dan warisan Melayu di Selangor tetapi turut menunjukkan betapa pentingnya adab dalam masyarakat berbilang kaum.

"Beta mengharapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian, persembahan dan penonjolan Adat Melayu dan Warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui usaha penyelidikan.

"Beta sedar adalah tidak mudah untuk menonjolkan intipati adat budaya yang bersusurgalurkan warisan negeri Selangor sepenuhnya," titah baginda.

Bagi mencapai matlamat ini, Baginda menyarankan Padat menjejaki dan mengenalpasti sumber-sumber Adat Budaya dan Warisan Selangor seterusnya melakukan penyelidikan saintifik ke atas penemuan-penemuan itu.

Titah Sultan Selangor: Hujah Zaid Pertahan Nik Aziz

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim berkata mungkin ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada tafsiran titah Sultan Selangor bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

'Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu," tulisnya dalam
blog di bawah tajuk 'Beza arahan dan pandangan peribadi'.

Menurut Zaid, titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja.

"Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik?

"Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?" soal Zaid.

Menurutnya, titah itu adalah pendapat peribadi baginda dan bukan arahan, perintah atau “decree”.

'Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

'Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya.

'Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik - untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja," tegasnya.

Oleh itu, tegas Zaid, tidak timbul soal mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak.

"Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor.

"Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

'Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian.

'Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

'Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

"Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan Umno, maka mesti Najib bela. 'Sepatutnya perdana menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

"Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik," tulis Zaid.

Monday, April 12, 2010

Sultan Selnagor Gembira Pencapaian Kerajaan Negeri

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya menunjukkan pelbagai peningkatan dalam tempoh dua tahun memerintah negeri ini.

"Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat kerana genap dua tahun selepas pilihan raya umum, semua Yang Berhormat bersemangat dalam memberi perkhidmatan terbaik," titah baginda.

Baginda juga menganggap kejayaan dalam dua tahun ini ialah prestasi tadbir urus kerajaan Selangor hingga mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara pada tahun lalu. Pengiktirafan itu sekali gus meyakinkan Sultan Sharafuddin bahawa kerajaan negeri pada masa ini, dapat mentadbir Selangor dengan baik. Titah baginda, kerajaan yang baik, telus dan bertanggungjawab yang dilaungkan kepimpinan kerajaan sekali gus membentuk paradigma baru dalam menyampaikan mesej keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Baginda turut gembira kerana kebanyakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dapat merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai pendekatan yang dibuat. Antaranya ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, program SPIES, pengagihan 10 peratus keuntungan kepada mereka yang berhak, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang, skim pinjaman mikrokredit, pembagunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dan pembangunan projek teknologi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali Ke-12 pagi tadi. Sultan Sharafuddin bertitah kepada semua wakil rakyat supaya dapat memberikan khidmat terbaik selari dengan amanah yang diberikan rakyat.

"Beta berharap Dewan ini menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat. Mulakanlah dengan niat untuk bekerja dengan jujur, ikhlas dan betul dan berilah kerjasama yang perlu kepada pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah segala bentuk isu peribadi akibat perbezaan politik perlu diketepikan untuk rakyat kerana mahu melihat kerajaan Selangor mendapat manfaat dan menjalankan amanah rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa amalan check and balance perlu bagi memastikan semua kepentingan diteliti. Beta mahu semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik," titah baginda lagi.

Sunday, December 13, 2009

Sultan Selangor Bimbang Situasi Semasa Di Negeri Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bimbang terhadap situasi semasa di negeri ini yang didapatinya meletakkan agenda politik mengatasi agenda pembangunan negeri.

Baginda bertitah perkara-perkara kecil di negeri Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat di negeri itu menjadi keliru.

Justeru, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.

"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soalsoal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi serta sentiasa mempercayai dan bekerjasama bersama penjawat-penjawat awam lain yang berkhidmat di negeri itu.

"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (pada pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap perbezaan fahaman politik tidak akan menjadi satu alasan kepada rakyat di Selangor untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan hidup bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

"Beta ingin menasihatkan rakyat negeri Selangor ini, jika ada perkara yang (mereka) tidak berpuas hati, hendaklah disalurkan pendapat atau rintihan mengikut saluran-saluran yang disediakan, mengikut undang-undang bagi dibincang dan diselesaikan ke tahap yang memuaskan hati," titah baginda.

Titah baginda, rakyat di negeri Selangor juga harus bebas bergerak dan tidak merasa takut atau khuatir terhadap keselamatan diri, harta benda dan keluarga.

Justeru, baginda menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar terus menjalankan tugas-tugas mereka dengan penuh azam dan komitmen bagi menghapuskan jenayah di Selangor.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan waris-waris dan kerabat Diraja Selangor supaya sentiasa menjaga nama baik dan tidak melakukan sesuatu yang akan menjejaskan imej serta kedudukan mereka sebagai kaum kerabat diraja.

"Reputasi dan nama baik hendaklah sentiasa dipelihara daripada perkara-perkara negatif kerana nama yang baik adalah satu aset yang berharga kepada individu dan juga institusi Istana Selangor," titah baginda. -BERNAMA