Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Tok Guru Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Tok Guru Nik Aziz. Show all posts

Wednesday, February 2, 2011

Rusuhan Mesir Perlu Dijadikan Iktibar - Nik Aziz


KOTA BHARU 2 FEB: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi peringatan kepada pimpinan seluruh dunia supaya mengambil iktibar daripada kebangkitan rakyat Mesir.

Ujarnya, pergolakan yang berlaku di Mesir harus dijadikan pengajaran supaya pemimpin tidak perlu bermegah dengan kemenangan kerana ia akan memberikan kesan buruk jika rakyat dizalimi.

Harakah.daily net semalam melaporkan, Menteri Besar Kelantan itu sebagai berkata, kezaliman rejim Hosni Mubarak terbukti dengan kemenangan besar beliau yang dicemari dengan penyelewengan setiap kali pilihanraya.

Katanya, kemenangan mencapai 99 peratus merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat.

“Dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding dalam pilihanraya.

“Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini,” ujarnya.

Katanya lagi, rusuhan yang berlaku memberikan satu mesej yang jelas kepada mereka yang telah menzalimi rakyat kerana rakyat bukan mudah untuk diperkotak-katikkan.

“Mula-mula boleh la menipu, tapi bila dah lama rakyat sudah tidak boleh bertahan lagi,” ujarnya.

Wednesday, December 15, 2010

Raja-Raja Melayu (Ketua Agama Islam) Disaran Guna Al-Quran Selesai Masalah

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.

“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.

“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.

Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.

“Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.

“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.

“Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.

“Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.

“Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.

“Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.

Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

“Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.

“Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.

“Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.

Monday, November 15, 2010

Anwar Ibrahim, Wan Azizah Dan Nik Aziz Tersenarai Dalam 500 Individu Paling Berpengaruh Dunia 2010



KUALA LUMPUR 13 NOV : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat tersenarai dalam 500 Individu Muslim Paling Berpengaruh Dunia untuk tahun 2010.

Buku ' The Most Influential Muslims 2010' Edisi ketiga itu diterbitkan oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre.

Dalam laporan itu Anwar disifatkan sebagai seorang ahli politik yang dikenali di peringkat global dengan pendirian Islam serta sangat berpengaruh kalangan generasi muda.

"Empat buah negeri di bawah kerajaan Malaysia berada di penguasaan Anwar. Jika Anwar memimpin dalam pilihanraya yang adil, Anwar akan memenangi pilihanraya umum 2013 ini.

" his excellency dr anwar Ibrahim is a Malaysian politician of global stature. He is the former deputy prime minister of Malaysia, former finance minister and is currently the leader of the Malaysian opposition coalition.He is well-known for his liberal Islamic stance on politics, and is incredibly influential as a leader and role model for young people. Ibrahim's coalition now controls four of 13 state governments. If led by Anwar, it would have a fair chance of winning the next national election in 2013."

Sementara itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut disenaraikan untuk tahun 2010.

"Dr Wan Azizah Wan Ismail is the president of Parti Keadilan Rakyat (People's Justice Party). She was Leader of the Opposition Party until she stepped down for Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat juga antara yang tersenarai dalam 500 individu Paling Berpengaruh 2010.

Menurut buku itu, Nik Aziz disifatkan sebagai pemimpin yang sudah memerintah Kelantan 20 tahun yang mempunyai sokongan ahli PAS hampir 1 juta ahli.

"Nik Aziz telah memerintah negeri Kelantan kira-kira 20 tahun dan beliau memegang kuasa yang sangat penting dalam tempoh berkenaan di mana sokongan ahli PAS hampir satu juta ahli"

"Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat is a Malaysian politician, an Islamic scholar and has been the chief minister of the State of Kelantan for the past 20 years. He holds the position of Mursyidul Am-the religious guide-within the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS). As the religious guide of the Pan-Malaysian Islamic Party, Nik Mat is the spiritual leader of Malaysian Islamic politics and holds very important sway over the tenor of politics in the nation. Nik Mat's fundamentalist party has close to one million members and enjoys strong support from the northern rural and conservative states such as Kelantan and Terengganu."

The Most Influential Muslim 2010 dibahagikan kepada 15 kategori ,antaranya kategori ulama, politik, cendekiawan, pemuda, media, sains, teknologi, perubatan, undang-undang, seni dan radikal.

Penyenaraian ini bukti kepimpinan politik dan peranan besar yang disumbangkan tokoh tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Wednesday, October 13, 2010

Hikmah Sebalik Kejadian: Tok Guru Nik Aziz Ke Mekah Bersama Baginda Sultan Kelantan

HASRAT Tok Guruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan fardu haji tahun lepas yang terhalang atas kehendak Allah juga inysaAllah akan tertunai pada musim haji kali ini. Tok Guru dijangka akan berangkat ke Makkah awal bulan depan. Tarikh pemergian beliau masih belum ditetapkan.

Maklumat yang diterima dari sumber tertentu sama dengan maklumat yang diterima dari Kuala Lumpur. Jadual penerbangan beliau sedang diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Seorang kakitangan Tabung Haji memberi tahu tarikh pemergian itu sekitar 9 atau 10 November. Ini bermakna selepas pilihan raya kecil Galas sekiranya ia berlaku pada 4 Nov.

Apa lebih mengharukan dan manisnya lagi pemergian beliau bersama dengan Tuanku Sultan Mohamed Ke- V. Samada pemergian itu bersama atau satu rombongan tidak dapat disahkan. Sumber-sumber memberi tahu Sultan Mohamad Ke V juga akan berangkat menunaikan haji pada tahun ini.

Ada hikmah besar kenapa Allah menggerak hati orang tertentu mencetuskan isu pemergian Tok Guru ke Makkah tahun selepas sehingga beliau membatalkan pemergian itu dalam keadaan sedih. Rupa-rupanya Tok Guru akan mengeliling Kaabah bersama banginda Sultan Mohamad Ke V, Tengku Mohammad Faris Petra.

Sama-sama kita mendoakan semoga Tok Guru diberikan kesihatan dan kekuatan untuk ke Makkah. Muda-mudahan tidak adalah pula sesiapa yang cuba mempolitikkan pemergian beliau kali ini. Selamat berangkat Tok Guru!
MSO

Thursday, August 19, 2010

Nik Aziz: Disini Dinar Dan Dirham, Disana Dengki Dan Dendam

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan,itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkarayang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampakhebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yangbersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan matawang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika UMNO / BN enggan memulakan,jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah matawang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasiini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan.Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak.Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistemwang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya,seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untukmempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hariini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya mata wang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulahnilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirhamini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikian seorang timbalan menteri, apapula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkandengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan goldcoin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketikadahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling KijangEmas seberat 1 auns harganya ialah RM1, 082.00. Hari ini pada tarikh 1 Julai2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.00. Ertinya jika seseorangmelabur sebanyak RM 108,200.00 dengan membeli seratus keping Kijang Emas padatahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400.00. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiranini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbanganyang rugi RM535 Juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duititu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usahakerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnisyang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai 'aparteid agama'.Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagiwanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnyabertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baikdari anda, Insya-allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dandendam!

Akhir kata, jikadatanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadhan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surahal-Furqan yang bermaksud : "Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu(ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabilaorang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yangmengandung) keselamatan."

Salam Ramadhan.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 8 Ramadhan 1431H / 18 Ogos2010M

Mata Wang Syariah: Nik Aziz Bidas Sikap Kerajaan UMNO Barisan Nasional

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempersoalkan tindakan pusat dan pemimpin Umno yang “menghentam” kerajaan Kelantan yang melancarkan penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di negeri itu minggu lalu.

Nik Aziz berkata Umno akan terus membangkang apa sahaja usaha baik yang dilakukan kerajaan negeri untuk rakyat di negeri itu.

“Kadang-kadang tingkah laku pemimpin Umno mudah untuk dijangka, apa saja yang baik datang dari Kelantan pasti akan dibangkang habis-habisan oleh Umno.

“Sebut sahaja usaha baik yang dilakukan kerajaan Kelantan, berduyun-duyun pemimpin Umno menunjukkan cerdik memberi komen,” kata beliau dalam kenyaatan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, sejak PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 sehingga kini ada sahaja bangkangan yang dibuat kerajaan pusat.

“Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’, akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya.

“Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru,” katanya.


Mursyidul Am PAS itu berkata, bantahan terbaru yang dibuat terhadap kerajaan Kelantan adalah mengenai penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di negeri itu.

“Bila kerajaan negeri lancarkan penggunaan penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham, maka bersatulah pemimpin Umno untuk menghentam langkah ini.

“Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta kerajaan pusat dan pemimpin Umno menghentam kerajaan Kelantan,” katanya.

Nik Aziz juga mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang menghalang usaha kerajaan negeri Kelantan untuk membuat perubahan dalam pembangunan ekonomi negeri itu.

“Saya ingin nyatakan, apa salahnya jika Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika kerajaan pusat atau pemimpin Umno enggan memulakannya, janganlah menidakkan usaha pihak lain,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan mata wang syariah bukan mata wang, tetapi hanya pengenalan kepada sistem pertukaran barang.

“Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini.

“Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan. Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak.

“Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan bilion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti,” tegasnya.

Minggu lalu Nik Aziz melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa berkata pelancaran mata wang syariah tersebut adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu.

Namun Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengingatkan kerajaan Kelantan tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan baru seperti penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham tanpa merujuk kepada pusat.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kenyataan Nik Aziz bahawa dinar emas dan dirham perak itu akan dijadikan sebagai mata wang alternatif adalah jelas melanggar peraturan Bank Negara.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata hanya Bank Negara yang boleh mengeluarkan wang yang diiktiraf dan sah di negara ini.

Tuesday, July 20, 2010

Pakatan Tubuhkan TIRAM untuk Kutip RM20 Juta Tawan Putrajaya

Pakatan Rakyat akan melancarkan Tabung Impian Rakyat (TIRAM) bernilai RM20 juta bagi mempersiapkan diri mereka ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi TIRAM, Datuk Husam Musa berkata, pelancaran tabung itu akan dibuat pada 7 Ogos ini di Stadium Melawati Shah Alam dengan dihadiri pemimpin kanan Pakatan.

"Sehingga kini, Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Nik Aziz sudah mengesahkan penyertaan mereka," kata Husam yang dipetik oleh
Harakahdaily.

Katanya, pelancaran tabung berkenaan akan dibuat dalam bentuk majlis makan malam untuk pungutan derma dengan mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta.

Mei lalu, Husam pernah menyatakan hasrat mengumpul dana RM20 juta sebagai dana Pakatan Rakyat dalam perjalanan menawan Putrajaya.

MenurutHarkahdaily, cadangan menubuhkan tabung itu diperolehinya setelah dia didakwa berjaya menggunakan peruntukan RM4 juta menyingkir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan melemahkan Umno Kelantan pada pilihan raya umum 2008.

Tuduhan berkenaan dibuat bekas pembantunya, Syed Azidi Aziz atau lebih dikenali dengan nama Kickdefella.

"Kalau sebelum ini orang tuduh saya belanjakan RM4 juta untuk menghadapi pilihan raya 2008...terbukti dalam pilihan raya itu kita berjaya walaupun tuduhan itu tidak semestinya betul.

"Sekarang kita akan kumpulkan RM20 juta untuk ke Putrajaya," katanya lagi.

Husam yang juga exco kerajaan Kelantan, sebelum ini juga membuat penjelasan bahawa PAS mahupun kerajaan negeri tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4 juta seperti yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas perdana menteri itu.

Katnya, PAS sejak dari dulu mendapat bantuan kewangan dari sumbangan ahli-ahli mereka untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Sunday, July 18, 2010

Nik Aziz - Politik Melayu Kukuh Jika UMNO Kembali ke Dasar Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.

"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh."PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat. - Bernama

Sunday, June 13, 2010

Nik Aziz Tonjol Keperibadian Ulama Unggul Dengan Pertahan Najib.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegur sikap perwakilan dalam muktamar parti itu yang menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai isteri kepada Rosmah Mansur.

Katanya, tindakan itu boleh menyakitkan hati orang lain dan menyebabkan perasaan dendam.

"Hendak suka bolehlah, tetapi menyakitkan hati. Bila sakitkan hati apa jadi? "Hanya (mewujudkan) dendam sahaja akhirnya," katanya yang juga menteri besar Kelantan.

Semalam, ketika sesi perbahasan usul di muktamar PAS ke-56 di Pengkalan Chepa, seorang perwakilannya memperli Najib sebagai isteri kepada Rosmah.

Di kalangan penyokong pembangkang, perkara tersebut sering menjadi bahan gurauan, dipercayai ekoran penampilan Rosmah dilihat lebih 'agresif' berbanding isteri perdana menteri lain sebelumnya.

Menyampaikan ucapan penangguhannya tengah hari ini, Nik Aziz menjelaskan Islam mengajar umatnya memanggil seseorang itu dengan gelaran yang paling disukai dan amat disenanginya.

"Bila hendak sebut nama orang, kita (mesti) sebut nama yang paling disukainya, (misalnya) pakcik, ayah haji, yang amat berhormat."(Kesimpulannya) katalah pekataan yang amat disenangi," tambahnya.

Menurut menteri besar lagi, perkara itu selari dengan landasan hikmah dan dasar kesederhanaan dalam Islam.

Thursday, May 6, 2010

Titah Sultan Selangor: Hujah Zaid Pertahan Nik Aziz

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim berkata mungkin ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada tafsiran titah Sultan Selangor bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

'Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu," tulisnya dalam
blog di bawah tajuk 'Beza arahan dan pandangan peribadi'.

Menurut Zaid, titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja.

"Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik?

"Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?" soal Zaid.

Menurutnya, titah itu adalah pendapat peribadi baginda dan bukan arahan, perintah atau “decree”.

'Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

'Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya.

'Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik - untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja," tegasnya.

Oleh itu, tegas Zaid, tidak timbul soal mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak.

"Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor.

"Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

'Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian.

'Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

'Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

"Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan Umno, maka mesti Najib bela. 'Sepatutnya perdana menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

"Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik," tulis Zaid.

Tuesday, April 6, 2010

Wednesday, March 24, 2010

Ezam Sesumpah Dalam Kotak Suruh Nik Aziz Jauhi Anwar Ibrahim

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor tidak mengenali Anwar sebenarnya.

Kerana tidak kenal itulah menyebabkan sikap beliau berubah-ubah atau kluk-klek, sekejap sokong dan sekejap lagi menentang Anwar.

“Saya pun kenal juga (Anwar Ibrahim). Dia kenal, saya pun kenal. Jadi tak usahlah mendakwa yang pelik-pelik sangat.

“Saya boleh terima nasihat dia, tetapi (jangan) sampai kepada peringkat (seolah-olah) macam saya tidak kenal siapa Anwar Ibrahim. Saya kenal Anwar semasa dia berada dalam ABIM lagi.

“Saya terima nasihat dia (Izam), tetapi saya juga menasihatkan dia jangan banyak ubah pandangan.

“Ini kerana kalau dia kenal Anwar Ibrahim, kenapa dahulu dia mendekati tetapi sekarang kenapa pula dia lawan. Ini menunjukkan dia tidak kenal. Namun saya kenal Anwar Ibrahim dahulu sampai sekarang.

“Izam tidak kenal, sebab itulah dia (bersikap) sekali rapat, sekali marah, itu menunjukkan tidak kenal,” tegasnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Nik Aziz mengulas nasihat mantan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Izam Mohd Nor supaya (Nik Aziz) menjauhi Anwar Ibrahim.

Ini kerana, mengikut dakwaan Izam bahawa dia lebih mengenali siapa dia Anwar Ibrahim.

Friday, March 12, 2010

MB, Exco, Pegawai Basah Kuyup Tunaikan Solat Istiqa'

KOTA BARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,
Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.
Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.
Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.
Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.
“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.
“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.
“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.
“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.
“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.
Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.
Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.
Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

Tuesday, February 9, 2010

Benarkan Wanita Sertai Tilawah Al-Quran Diperhalusi

Persatuan Qari dan Qariah Negeri Kelantan menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk mengkaji semula larangan ke atas wanita dari menyertai tilawah al-Quran.

Penasihat persatuan itu, Nik Jaafar Nik Ismail berkata langkah penarikan balik larangan berkenaan membolehkan mutu bacaan al-Quran di Kelantan dipertingkatkan di samping melahirkan golongan pelapis dalam bidang al-Quran, termasuk di kalangan wanita.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Sabtu lalu mencadangkan agar kajian dibuat tentang kemungkinan menarik balik larangan itu.

Bagaimanapun, Nik Aziz mahu pihak persatuan itu berunding dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah, bagi membincangkan soal teknikal dan peraturan dalam tilawah itu.

Kerajaan negeri menguatkuasakan larangan itu sejak 1990 kerana menganggap
suara wanita aurat, oleh itu tidak wajar dipertandingkan. - Bernama

Tuesday, December 15, 2009

Tokoh Ulama Dunia Pulau Persidangan Perpaduan Ummah Anjuran Malaysia

Dua ulama terkemuka memulaukan Persidangan Perpaduan Ummah Antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini kerana enggan terperangkap dalam komplot mencanang Presiden Umno Najib Abdul Razak sebagai pemimpin Dunia Islam.

Shaykh Dr Tawfik Ramadan Al-Bouti dari Universiti Damsyik dan Habib al-Jifri dari Yayasan Tabah Emiriah Arab Bersatu menolak perlawaan ke persidangan anjuran Yayasan Ramadan itu.

Keputusan diambil setelah melihat senarai jemputan ke persidangan itu mengambil-kira faktor kepartian.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dijemput meskipun mereka disenaraikan antara 500 pemimpin Islam paling berpengaruh abad ini.

“Apabila persidangan itu berlangsung di Malaysia tanpa mengundang Anwar dan Nik aziz jelas melambangkan persidangan itu tidak lengkap dalam membicarakan tajuk yang ingin dibincangkan,"katanya Mustafa.

Ketiadaan Habib dan Shaykh Dr Tawfik menjejaskan kredibiliti persidangan ini.Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat Mustafa Kamil Ayub berkata sikap kerajaan ini menunjukkan pemerintah tidak bersedia membincangkan isu perpaduan ummah.

“Dalam konteks dunia Islam lain sama ada dalam persoalan umat di palastin hamas atau di Afghanista serta beberapa negara islam lain komitmen serta peranan beliau amat dirasakan dalam pebagai prosok negara Islam lain,”katanya.
Persidangan tersebut disokong kerajaan Malaysia dan dilihat sebagai usaha terdesak membina kredibiliti Najib yang terpalit dengan isu pembunuhan model Mongolia Altantuya Shariibuu dan rasuah kontrak ketenteraan.
Turut berucap pada persidangan itu ialah Timbalan Najib, Muhyiddin Yassin dan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Nik Aziz Sudi Dilantik Mursidul Am Pakatan Rakyat

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam. "Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya"."Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya.

Saturday, December 5, 2009

Betul-Betul Puluhan Ribu Menyokong Tuan Guru Nik Aziz


Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya. Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.



Monday, November 23, 2009

Menantu Letak Jawatan Kerana Tekanan Politik

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepadaMalaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Teguran Terbuka Kepada Tok Guru Nik Aziz

TUMPAT 22 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.
''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.
"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat.
"Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.
Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor.
Terbaru ialah mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim ini dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.
Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi.
"Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.
"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.
"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.
Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam.
Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.
"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.
"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam.
"Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya.
Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan.

Saturday, November 21, 2009

PAS Kelantan Tidak Mahu Campur Isu Berkaitan Nik Aziz

PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan ia tidak ada kena mengenai soal politik.

Setiausaha Badan Perhubungannya Mohd Zaki Ibrahim berkata parti itu yakin Nik Aziz mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.

"PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.

Mengenai khabar angin Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam blog tertentu, beliau berkata: "Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini)."

Pada mesyuarat itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan.