Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Zahid Hamidi. Show all posts
Showing posts with label Zahid Hamidi. Show all posts

Friday, August 20, 2010

UMNO Gelisah Penerimaan Rakyat Terhadap Kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng menegaskan, siasatan awal menunjukkan tiada masjid di negeri itu yang menggunakan nama beliau dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Saya baru dimaklumkan, saya sudah pun menghubungi YB Abdul Malik (Kassim, Pengerusi Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri), dan beliau memberitahu saya tadi bahawa memang tiada perkara seperti yang didakwa oleh Datuk Zahid Hamidi... tiada masjid yang menggunakan saya,” kata Lim pada majlis berbuka puasa dengan media di sini hari ini.

Bagaimanapun Lim yang juga Setiausaha Agung DAP memberitahu, beliau telah mengarahkan Abdul Malik agar menjalankan siasatan mendalam berhubung dakwaan Zahid, yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Umno Pulau Pinang hari ini.

“Jika dakwaan Zahid benar, saya telah mengarahkan agar tindakan tegas diambil ke atas pegawai-pegawai yang terlibat,” kata beliau.

Tambah Lim, sekiranya dakwaan Zahid tidak benar, beliau mahu Naib Presiden Umno itu memohon maaf secara terbuka.


“Saya tidak sedar dan tidak mengetahui wujudnya penggunaan nama saya dalam khutbah kedua solat Jumaat sebagaimana didakwa, dan sudah tentu nama saya tidak harus, tidak boleh digunakan... ini melibatkan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Terdahulu laporan Bernama menyebut Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Tuanku Mizan.

Zahid mendakwa penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

The Malaysian Insider difahamkan ada masjid yang pernah menyebut nama Ketua Menteri apabila kerajaan negeri memutuskan pendiriannya menentang lesen sukan judi yang diluluskan oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Selain itu, Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.

“Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Lim menghadiri majlis pengagihan wang zakat pula, kata Ketua Menteri, beliau hanya menghadiri majlis penyerahan sumbangan Ehya’ Ramadan peringkat Pulau Pinang 2010 yang diadakan di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan.

“Sumbangan disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Pakatan), bukannya saya... ini sumbangan daripada kerajaan negeri, saya hadir sebagai ketua kerajaan negeri,” kata beliau sambil menambah, ini kali pertama kerajaan negeri menyediakan sumbangan sempena bulan Ramadan.

“Sumbangan ini tidak pernah diberikan oleh kerajaan negeri masa lalu di bawah Barisan Nasional, sebanyak hampir suku juta ringgit disampaikan untuk masjid dan surau menjalankan aktiviti semasa bulan Ramadan,” katanya.

Isu Scorpene: Kenyataan Balas Nurul Izzah Kepada Zahid Hamidi

Kenyataan saya dalam temubual bersama KOMPAS adalah berdasarkan jawapan rasmi Menteri Pertahanan pada 17 Mac 2010 bahawa kapal KD Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami masalah teknikal.

Justeru, saya sedia disiasat oleh pihak polis dan saya berharap permulaan siasatan ini akan membawa kepada isu-isu berkait lain terutamanya dalamsoal pembelian yang diberi kepada syarikat pilihan serta penyelenggaraan kapal selam tersebut dan siasatan yang sedang dilangsungkan oleh pihak perundangan Perancis terhadap kapal selam yang sama.

Menyebut tentang imej dan keselamatan negara, yang kononnya terjejas daripada kenyataan saya, ingin saya bangkitkan kenyataan Menteri di parlimen pada hari yang sama yang menyatakan bahawa masalah teknikal sebegini juga dihadapi oleh banyak negara lain di seluruh dunia. Kalau maklumat tentang status selaman mana-mana kapal selam di seluruh dunia dapat diperolehi secara terbuka, di manakah rasionalnya bahawa kenyataan saya menggugat keselamatan negara?

Pada hemat saya, kenyataan yang menggugat keselamatan negara adalah kenyataan seperti dibuat pada 6 Ogos 2010 bertajuk Kapal selam sertai latihan terbitan Bernama, di mana diakui bahawa Latihan Kemahiran Laut yang lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun telah dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan.

Bercakap tentang imej dan keselamatan yang menjadi asas Laporan Polis Tentera Laut Diraja Malaysia,apakah mungkin reaksi musuh-musuh negara apabila diketahui umum bahawa TLDM hanya melakukan latihan sekali setahun atas alasan berjimat cermat? Sedangkan prinsip dasar pertahanan adalah persediaan, dan persediaan ini merangkumi latihan yang mencukupi.

Saya bimbang, sebagai negara yang mempunyai sempadan laut yang luas, Malaysia hanya menjalankan Latihan Kemahiran Laut setahun sekali. Saya percaya kebimbangan saya ini turut dikongsi pegawai-pegawai TLDM khususnya dan juga seluruh pasukan keselamatan.

Di dalam hasrat untuk berjimat cermat, saya desak Kementerian Pertahanan untuk melakukan kajian menyeluruh kepada skop perbelanjaan dan pembelian yang dilakukan oleh Kementerian, seperti lawatan-lawatan ke luar negara, dan acara-acara dan pembelian-pembelian yang tidak berkaitan dengan latihan diteliti supaya penjimatan sebenar dapat dibuat demi memastikan latihan TLDM, khusunya Latihan Kemahiran Laut tidak dikorbankan.

Bukankah penderhaka sebenar adalah mereka yang menggunakan dana negara untuk membayar kos penyelenggaraan tinggi untuk syarikat anak emas pilihan dan pembelian alatan ataupun kos projek yang berganda demi memenuhi poket-poket mereka yang terpilih? Kalau benar Menteri Pertahanan seorang patriot, kenapa beliau tidak menyokong siasatan SPRM terhadap bayaran komisyen lebih RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd untuk pembelian kapal selam Scorpene seperti yang dinyatakan oleh Speaker Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu?


Zahid: Jangan politikkan isu pertahanan negara

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua anggota Parlimen dan pemimpin politik tidakmempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada hakikat sebenar.

“Walaupun kita sering berbeza pendapat tetapi biar perkara (kenyataan) yang benar, jangan sampai menjejaskan imej negara terutama yang melibatkan aset pertahanan negara,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata wakil semua parti politik seharusnya tidak mempolitikkan isu pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Selasa terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.

Bercakap kepada pemberita selepas berbuka puasa di Masjid Jamek Sungai Keli di sini malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh anggota parlimen PKR itu adalah perbuatan tidak beretika dan bermaruah malah boleh dianggap sebagai perderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia.

Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lepas.

“Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat harus mempunyai tataetika mengenai sesuatu yang benar mengenai negara tetapi cara beliau memburukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan yang amat jijik,” kata Ahmad Zahid.

Malay Mail pula dalam artikel pada 7 Julai lepas melaporkan kedudukan KD Tunku Abdul Rahman yang mengalami kerosakan dan tidak boleh menyelam.

“Saya telah beberapa kali memberi penjelasan di Parlimen kedudukan sebenar kapal selam itu boleh menyelam, kalau tidak bagaimana boleh menyelam dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar, Sabah,” tambah Menteri Pertahanan. — Bernama

Thursday, April 29, 2010

Kes Enjin Jet Hilang: Pegawai Kanan Saman ATM RM 5Juta

Seorang bekas jeneral dan empat pegawai kanan lain telah menyaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pemberhentian salah atas kes kecurian dua enjin jet pejuang yang hilang, kata peguam mereka hari ini.
Pada bulan Januari lalu, seorang sarjan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan seorang peniaga telah dituduh menyebabkan kehilangan enjin yang bernilai $ 29 juta dollar Amerika (RM93 juta), pada masa yang sama Peguam Negara berkata tiada pegawai tentera kanan yang terlibat.
Namun, Brigadier-Genl Abdul Hadi Abdul Khatab dan empat pegawai senior lain - Mej Rusli Ibrahim, Mej Noor Zeelan Draman, Leftenan Kolonel Mohamed Ariff Mohd Daud dan Kolonel Mohamad Sani Sumarnak telah mengadu, mereka dipaksa supaya bersara berkait isu tersebut, kata peguam Mohammad Zalil.
"Majlis tersebut telah meminta mereka memberikan keterangan untuk menjawab tuduhan salah laku dan kelalaian atas kecurian yang berlaku pada tahun 2007, mereka memberikan keterangan dan menafikan segala tuduhan tetapi kemudian mereka dipaksa bersara," kata Zalil.
Menurut Zalil, kelima-lima pegawai ATM menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta kerana mereka merasakan pemberhentian mereka membawa maksud tersirat, bahawa mereka telah menipu kerajaan

Kes saman tersebut akan didengar di mahkamah pada 21 April, katanya.
Kerajaan Malaysia menghadapi pelbagai kritikan dan tuduhan amalan rasuah selepas dua enjin F-5E jet Northrop dilaporkan dicuri dari sebuah pengkalan udara tentera pada tahun 2007 dan dijual di pasaran gelap untuk sebuah syarikat Amerika Selatan.
Kedua-dua enjin tersebut dikesan, dihantar ke Uruguay pada bulan Februari dan pihak berwajib berkata mereka sedang mengusahakan untuk membawanya pulang ke Malaysia
Beberapa Negara yang menghadapi sekatan senjata AS termasuk Iran, Sudan dan Venezuela, memiliki pesawat pejuang F-5 yang menggunakan enjin lama.

Jet pejuang tersebut terbang buat pertama kalinya pada tahun 1963 dan syarikat pengeluarnya Northrop telah menghentikan pengeluaran sejak tahun 1989.

Wednesday, April 28, 2010

Hassan Ali Buat laporan Polis Terhadap Zahid Hamidi dan Utusan Melayu

Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini membuat laporan polis terhadap dua pemimpin Umno serta akhbar Utusan Malaysia yang didakwa melempar fitnah terhadapnya.

Dr Hasan berkata, beliau membuat laporan polis di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketiga-tiga pihak tersebut.
Beliau membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam pada kira-kira jam 4 petang ini dengan ditemani peguam Mohd Khairuddin Othman.

Dua pemimpin Umno itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Zainal Abidin Sakom.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata, khutbah yang disampaikan Hasan itu berbaur politik."Beliau menuduh saya memberi khutbah berbaur politik, kononnya saya terlupa membaca selawat menyebabkan tidak sah fardhu Jumaat pada hari itu.

"Saya (juga) dituduh menderhakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana saya tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa.

"Saya diberitahu, Datuk Zainal Abidin Sakom melalui berita nasional yang disiarkan oleh Klasik Nasional, telah memberi komen yang serupa seperti apa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan itu juga, Dr Hasan mendakwa kenyataan mereka boleh mencetus ketegangan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau mendakwa tuduhan itu juga boleh mencemarkan reputasinya sebagai exco hal ehwal Selangor dan pentadbiran baru negeri Selangor yang tegas melaksanakan peraturan surau dan masjid sebagai zon bebas politik.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media sebelum membuat laporan polis tersebut, Dr Hasan berkata beliau tidak melanggar apa-apa enakmen mengenai pengembangan agama Islam di Selangor berkaitan khutbah yang disampaikannya itu.

Katanya, beliau sememangnya telah membaca selawat seperti dirukunkan untuk menyampaikan khutbah."Ada memang ada (baca selawat). Saya yakin 100 peratus," katanya ketika ditanya.

Tambahnya pegawai JAIS yang membuat pemantauan ke atas khutbahnya itu juga mengesahkan beliau tidak melakukan kesalahan itu.

Jelasnya, beliau berkata demikian berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian. "Selepas berunding dengan peguam, saya rasa kita patut buat laporan polis untuk ambil tindakan undang-undang ke atas Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Zainal Abidin Sakom," katanya.

"Pada masa sama, (laporan ke atas Utusan) sebab saya nampak Utusan Malaysia ada unsur putar belit kenyataan," katanya.
"JAIS sudah keluarkan kenyataan, saya nak sebutkan seperti yang dilaporkan Sinar Harian, bertajuk 'Khutbah Hasan Ali bersih dari politik',' katanya sambil menambah beliau berpengalaman 40 tahun membaca khutbah.
"Semenjak dua tahun pentadbiran (Selangor bawah Pakatan Rakyat), tiap-tiap minggu saya akan baca khutbah di seluruh Selangor, kecuali apabila saya berada di luar negara," katanya.

Menjawab soalan, beliau tidak menolak andaian bahawa dakwaan ke atasnya itu berkaitan dengan kempen pilihan raya yang berlangsung di Hulu Selangor.

"Ia berlaku pada peringkat akhir kempen tapi saya tidak boleh katakan ia berkait secara langsung dengan politik.

Thursday, December 24, 2009

London to United States dan Kini Argentina: Laju Enjin Jet Terbang

Setelah 2 tahun dari 2007 pasukan polis Malaysia siasat. Tup tup dapat pulak sekarang ni. Dulu masa diam-diam 1Malaysia tak tahu susah pulak siasatnya. Sekarang dah bingit 1Malaysia baru jumpa. Wahhh, memang bertuah! Baru nampak efisyen kan..

Enjin jet pesawat supersonik F5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dicuri dalam satu sindiket dalaman dua tahun lalu telah ditemui - di Argentina. Sehubungan dengan itu, beberapa pegawai kanan TUDM, termasuk jeneral dijangka akan disoal siasat oleh pihak polis. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berkata, pihaknya masih perlu menyoal siasat beberapa pegawai tinggi TUDM termasuk beberapa jeneral walaupun empat orang termasuk tiga dari kalangan staf rendah telahpun ditahan (dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin).

“Kita perlu menyoal siasat pegawai-pegawai tinggi kerana bukanlah mudah untuk menyeludup keluar enjin yang sebegitu besar tanpa perlepasan atau dokumentasi yang betul.

“Pihak polis setakat ini telah merampas dan menemui beberapa dokumen berkaitan dengan penjualan enjin pesawat itu termasuklah dokumen berkaitan penghantarannya keluar dari negara ini,’’ kata beliau.

Adalah difahamkan, enjin turbo jet General Electric J85-21A itu -- untuk kegunaan pesawat F-5E Tiger 11 satu tempat duduk dan RF-5E Tigereye - telah dibawa keluar menerusi Pelabuhan Klang ke sebuah negara ketiga sebelum ia tiba ke destinasi akhir iaitu di Argentina.

Difahamkan juga kesemua dokumen yang berjaya dirampas oleh polis adalah dokumen asal dan asli dan bukannya dipalsukan untuk tujuan penjualan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, enjin yang dicuri itu telah disedari hilang dari Pangkalan Udara Sungai Besi sewaktu rutin pemeriksaan penyelenggaraan. Turut hilang ialah rekod penyelenggaraan dan juga servis enjin berkenaan.