Best Ever, Tolong Klik Sini!

Friday, August 20, 2010

Isu Scorpene: Kenyataan Balas Nurul Izzah Kepada Zahid Hamidi

Kenyataan saya dalam temubual bersama KOMPAS adalah berdasarkan jawapan rasmi Menteri Pertahanan pada 17 Mac 2010 bahawa kapal KD Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami masalah teknikal.

Justeru, saya sedia disiasat oleh pihak polis dan saya berharap permulaan siasatan ini akan membawa kepada isu-isu berkait lain terutamanya dalamsoal pembelian yang diberi kepada syarikat pilihan serta penyelenggaraan kapal selam tersebut dan siasatan yang sedang dilangsungkan oleh pihak perundangan Perancis terhadap kapal selam yang sama.

Menyebut tentang imej dan keselamatan negara, yang kononnya terjejas daripada kenyataan saya, ingin saya bangkitkan kenyataan Menteri di parlimen pada hari yang sama yang menyatakan bahawa masalah teknikal sebegini juga dihadapi oleh banyak negara lain di seluruh dunia. Kalau maklumat tentang status selaman mana-mana kapal selam di seluruh dunia dapat diperolehi secara terbuka, di manakah rasionalnya bahawa kenyataan saya menggugat keselamatan negara?

Pada hemat saya, kenyataan yang menggugat keselamatan negara adalah kenyataan seperti dibuat pada 6 Ogos 2010 bertajuk Kapal selam sertai latihan terbitan Bernama, di mana diakui bahawa Latihan Kemahiran Laut yang lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun telah dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan.

Bercakap tentang imej dan keselamatan yang menjadi asas Laporan Polis Tentera Laut Diraja Malaysia,apakah mungkin reaksi musuh-musuh negara apabila diketahui umum bahawa TLDM hanya melakukan latihan sekali setahun atas alasan berjimat cermat? Sedangkan prinsip dasar pertahanan adalah persediaan, dan persediaan ini merangkumi latihan yang mencukupi.

Saya bimbang, sebagai negara yang mempunyai sempadan laut yang luas, Malaysia hanya menjalankan Latihan Kemahiran Laut setahun sekali. Saya percaya kebimbangan saya ini turut dikongsi pegawai-pegawai TLDM khususnya dan juga seluruh pasukan keselamatan.

Di dalam hasrat untuk berjimat cermat, saya desak Kementerian Pertahanan untuk melakukan kajian menyeluruh kepada skop perbelanjaan dan pembelian yang dilakukan oleh Kementerian, seperti lawatan-lawatan ke luar negara, dan acara-acara dan pembelian-pembelian yang tidak berkaitan dengan latihan diteliti supaya penjimatan sebenar dapat dibuat demi memastikan latihan TLDM, khusunya Latihan Kemahiran Laut tidak dikorbankan.

Bukankah penderhaka sebenar adalah mereka yang menggunakan dana negara untuk membayar kos penyelenggaraan tinggi untuk syarikat anak emas pilihan dan pembelian alatan ataupun kos projek yang berganda demi memenuhi poket-poket mereka yang terpilih? Kalau benar Menteri Pertahanan seorang patriot, kenapa beliau tidak menyokong siasatan SPRM terhadap bayaran komisyen lebih RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd untuk pembelian kapal selam Scorpene seperti yang dinyatakan oleh Speaker Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu?


Zahid: Jangan politikkan isu pertahanan negara

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua anggota Parlimen dan pemimpin politik tidakmempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada hakikat sebenar.

“Walaupun kita sering berbeza pendapat tetapi biar perkara (kenyataan) yang benar, jangan sampai menjejaskan imej negara terutama yang melibatkan aset pertahanan negara,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata wakil semua parti politik seharusnya tidak mempolitikkan isu pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Selasa terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.

Bercakap kepada pemberita selepas berbuka puasa di Masjid Jamek Sungai Keli di sini malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh anggota parlimen PKR itu adalah perbuatan tidak beretika dan bermaruah malah boleh dianggap sebagai perderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia.

Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lepas.

“Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat harus mempunyai tataetika mengenai sesuatu yang benar mengenai negara tetapi cara beliau memburukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan yang amat jijik,” kata Ahmad Zahid.

Malay Mail pula dalam artikel pada 7 Julai lepas melaporkan kedudukan KD Tunku Abdul Rahman yang mengalami kerosakan dan tidak boleh menyelam.

“Saya telah beberapa kali memberi penjelasan di Parlimen kedudukan sebenar kapal selam itu boleh menyelam, kalau tidak bagaimana boleh menyelam dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar, Sabah,” tambah Menteri Pertahanan. — Bernama

1 comment:

  1. Saya tidak pernah mendengar kelemahan atau mungkin masalah teknikal biasa sistem pertahanan negara dibincangkan secara terbuka oleh mana2 negara lain. Kita perlu tahu sesetengah perkara disebut sebagai top secret dan confidential dan ini perlu difahami dan dihormati oleh semua pihak. Jangan sampai untuk tujuan politik semata2 etika ini diabaikan. Perlu professional dan tahu batas2 berpolitik.

    ReplyDelete