Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, February 2, 2011

PERUTUSAN SELAMAT TAHUN BARU CINA DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Di kesempatan ini ingin saya ucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian
Kuaile kepada semua rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua. Semoga
Tahun Baru Cina di raikan dengan suasana yang mesra dan meriah. Tahun
ini adalah tahun arnab, ianya melambangkan sifat-sifat yang
peka,bijaksana, diplomatik lagi berseni.

Justeru, perayaan ini seharusnya disambut dalam suasana yang boleh
menjalin perpaduan tulin di antara segenap lapisan masyarakat dan
kepelbagaian kaum. Hanya dengan keharmonian sejati maka agenda besar
membina sebuah masyarakat bertamadun akan tercapai.

Saya yakin sambutan pada tahun ini adalah dalam suasana yang cukup
sederhana. Ekonomi negara yang belum keluar dari kekangan kemelesetan
pasti terus menekan rakyat. Apatah lagi kegagalan kerajaan mengawal
kenaikan harga barangan akibat dari kenaikan harga petrolium nampaknya
terus melonjakkan kos sara hidup.

KEADILAN yang berpegang atas panji Pakatan Rakyat akan terus
memperjuangkan hak dan kepedulian kepada rakyat. Buku jingga yang kita
galur sebagai tanda aras janji dan iltizam perjuangan, telah kita
sebarluaskan agar rakyat melihat jelas program merakyatkan ekonomi
negara.

Tahun ini adalah tahun penentu memandangkan besar kemungkinan
pilihanraya umum mungkin diadakan. Inilah masanya rakyat membuat
keputusan samada mahu terus dengan kesempitan ekonomi, kekangan
berpolitik dan adu domba perkauman atau bersedia membina Malaysia yang
maju ke hadapan. Pakatan Rakyat adalah pilihan bagi menjana kehidupan
yang mencerminkan sebuah negara yang benar benar merdeka dari segi
politik, ekonomi dan sosial.

Gong Xi Fa Chai, Xian Nien How

Dr Wan Azizah Wan Ismai

No comments:

Post a Comment