KUALA LUMPUR, 24 Mac — Di sebalik pendedahan rakaman video seks kononnya melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR), PAS mendakwa parti itu pernah didampingi beberapa orang mendakwa mewakili Umno-BN baru-baru ini meminta mereka memujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak lagi aktif dalam perikatan tersebut.
The Malaysian Insider difahamkan beberapa pemimpin kaan PAS diminta agar menyampaikan mesej tersebut dan menjadi “orang tengah” bagi membolehkan misi memastikan Anwar tidak lagi aktif berpolitik menjadi kenyataan.
“Permintaan mereka mudah sahaja, mereka dakwa mereka mewakili Umno, BN dan mereka hanya tidak mahu Datuk Seri Anwar aktif dalam Pakatan Rakyat, bermakna tidak mahu dia berada dalam politik arus perdana,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.
Sumber itu juga mendakwa mereka juga tidak mengesahkan sama ada mereka benar-benar dari Umno-BN.
Menurut sumber itu, permintaan tersebut dibuat kira-kira sebulan lalu dengan mendakwa “akan ada satu kejutan” dalam waktu terdekat berkaitan dengan imej Ketua Pembangkang berkenaan.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin PAS dikatakan tidak mahu melayan permintaan untuk menyampaikan “mesej” tersebut kepada Anwar.
Pun begitu, umum diketahui bahawa wujud pendapat berbelah bahagi mengenai peranan Anwar dalam PR sejak kebelakangan ini, cuma tidak diperkatakan secara terbuka.
Difahamkan persekitaran tersebut digunakan untuk memujuk PAS sebagai orang perantara untuk memenuhi misi terbaru ini.
“Pemimpin-pemimpin PAS telah mengambil pendirian tegas tidak akan berbuat demikian,” kata beliau yang mengakui tidak terkejut dengan perkembangan semasa - pendedahan rakaman video seks kononnya melibat pemimpin PR terbabit.
“Mereka tidak kisah jika Pakatan diketuai oleh orang lain tetapi bukan Datuk Seri Anwar, itu permintaan mereka,” kata sumber itu lagi.
Anwar sejak dibebaskan daripada penjara pada 2004 dilihat sebagai pengikat dan penghubung kepada PAS dan DAP bersama PKR mewujudkan kerjasama menjelang pilihan raya umum 2008, yang akhirnya membawa kepada pembentukan PR.
Kerjasama itu membawa kepada penafian majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan jatuhnya empat lagi kerajaan negeri sebagai tambahan kepada Kelantan. Negeri-negeri itu ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak manakala pilihan raya umum nasional dijangka diadakan tahun ini.
Kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pendedahan video lucah memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan pelacur sebagai amalan politik kotor dan bermotif politik menjelang pilihan raya negeri Sarawak.
Isnin lalu, satu kumpulan yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Datuk T, mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.
Sehari selepas itu, Anwar membuat laporan polis berhubung rakaman video aksi seks itu dan menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video tersebut.
“Ini adalah serangan mengaibkan, melampau dan bermotif politik ke atas karakter serta reputasi saya dan keluarga saya,” kata Anwar dalam laporan polisnya.
Misteri “Datuk T” terjawab semalam apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah, seorang ahli perniagaan, mengaku beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara Isnin lalu.
Pendedahan itu dibuat pada satu sidang media bersama bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Shazryl juga mendedahkan bahawa “Datuk T” sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, Rahim dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, yang tidak hadir pada persidangan akhbar itu.
Dalam kenyataannya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan pendedahan tersebut tidak ada kaitan dengan Umno.
Katanya, tiga individu berkenaan bertindak atas kapasiti mereka sendiri dan langsung tiada kaitan dengan Umno.
No comments:
Post a Comment