KUALA LUMPUR, 22 Mac: Tohmahan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kehadiran Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak hanyalah sebagai pengacau (hantu jembalang) adalah tidak adil dan amat mengelirukan.
Kenyataan itu mempamerkan sikap pemimpin-pemimpin tertinggi Umno BN yang tidak demokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Malaysia.
“Ianya juga seolah-olah ingin memperbodohkan rakyat agar terus menyokong BN,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Sesungguhnya, kata beliau dari tindakan Muhyiddin itu terselit rasa takut pemimpin-pemimpin tertinggi BN akan ditolak oleh rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini.
“Mungkin juga beliau mula rasa tertekan melihatkan sambutan hangat rakyat terhadap PR di Sarawak,” ujarnya.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan pembentukan pelbagai parti politik untuk memperjuangkan hak-hak dan kesejahteraan rakyat.
Malah, ujarnya BN sendiri adalah gabungan antara beberapa banyak parti-parti politik kaum.
Perlembagaan juga menjamin hak-hak tersebut, tiada sesiapapun yang boleh menafikannya.
Oleh itu, tambahnya tidak timbul sebarang masalah terhadap kehadiran Pakatan Rakyat di Sarawak.
Sebenarnya, tambah beliau dari sudut Perlembagaan ahli-ahli dan penyokong PR di Sarawak berhak terlibat terus dalam kancah politik negeri itu.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Sarawak untuk berusaha mencapai taraf hidup yang lebih baik serta membuat perubahan demi mencapai matlamat tersebut.
“Juga menjadi agenda utama PR untuk mengajak seluruh rakyat Sarawak bersama-sama berjuang membuat perubahan untuk mencapai matlamat yang lebih gemilang,” ujarnya.
Katanya lagi, PR yakin bahawa rakyat Sarawak mampu berubah.
No comments:
Post a Comment