Best Ever, Tolong Klik Sini!

Thursday, September 29, 2011

Fitnah II - Kenyataan Pembelaan Anwar Ibrahim Dari Kandang Mahkamah


DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN
PERBICARAAN JENAYAH NO: 45-9-2009

PENDAKWA RAYA

LAWAN

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

KENYATAAN DARI KANDANG MAHKAMAH

Nama saya Anwar Bin Ibrahim. Saya adalah Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Pada tahun 1990-an, saya merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah saya dipecat pada September 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad setelah saya enggan meletak jawatan. Beliau telah memberikan kata dua kepada saya samada meletak jawatan serta-merta atau berdepan dengan akibat buruk termasuklah pertuduhan jenayah bagi salahlaku seks dan tuduhan rasuah.

Saya enggan tunduk kepada ugutan tersebut dan segala-galanya bergejolak. Penyingkiran saya secara zalim dan mengaibkan dirancang serentak dengan serangan ganas media yang dikuasai sepenuhnya oleh Dr. Mahathir. Peristiwa ini meledakkan demonstrasi secara besar-besaran di seluruh negara dan mencetuskan gerakan pembaharuan (islah) yang dikenali dalam sejarah negara kita sebagai era Reformasi.

Selepas beberapa siri perbicaraan pameran dan palsu yang telah mengenepikan undang-undang serta keterangan dan tatacara jenayah yang dicabuli sewenang-wenangnya oleh pihak pendakwaan dan mahkamah, saya telah disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.


TUDUHAN TERHADAP SAYA

Saya secara tegas menafikan tuduhan terhadap saya. Dengan penuh yakin saya ingin menyatakan pada mana-mana ketika bahawasanya saya tidak pernah melakukan sebarang perlakuan seks dengan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Tanpa sebarang keraguan saya menegaskan bahawa dakwaan beliau adalah satu fitnah jahat dan satu pendustaan keji.

Dakwaan ini merupakan satu cubaan keji dan hina untuk menjatuhkan nama baik saya dan mengaibkan maruah keluarga saya. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk ugutan penjara untuk 20 tahun lagi. Namun percayalah saya tidak akan menyerah dan dengarlah ikrar saya, mereka tidak akan dapat menundukkan saya untuk sujud mengalah. Malah ia akan memperteguh keyakinan untuk meneruskan perjuangan sehingga kebenaran terserlah akhirnya. Betapa sekalipun badai melanda, namun menyerah  tidak sekali.

Merujuk Jean Racine, penyair agung Perancis dalam karya beliau, Phaedra:

“Kalian harus tahu bahawa saya tidak sedikit pun gentar dengan kezaliman yang kalian lakukan bahkan ianya memperkukuh tekad untuk memelihara maruah diri dan nama baik saya.”

Insha-Allah, saya sedia pertahankannya dengan jiwa raga saya. Kata-kata Nelson Mandela yang diungkapkan dari kandang mahkamah ketika perbicaraan sumbang dan palsu yang terkenal sebagai “Perbicaraan Rivonia 1963” di bawah rejim Apartheid:

“Saya telah berjuang menentang ketuanan kulit putih dan saya telah menentang ketuanan kulit hitam. Saya mengidamkan kewujudan masyarakat demokratik dan merdeka di mana rakyat dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dengan peluang yang setara. Ia merupakan cita-cita murni yang saya perjuangkan dalam kehidupan ini namun jika terpaksa, saya sanggup mati demi mempertahankannya.”

Pada tahun 1998, dengan mata ditutup dan tangan digari, saya telah dibelasah kejam oleh Ketua Polis Negara dan dibiarkan terdampar hampir mati dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman. Alhamdulillah, masih terdapat beberapa orang anggota polis yang menunjukkan simpati dan prihatin cuba membantu saya pada ketika itu setelah kecederaan parah.

Kemudiannya, terdedah muslihat untuk menutup kes tersebut oleh Abdul Gani Patail (kini Peguam Negara) dan Musa Hassan (Ketua Polis Negara tatkala saya didakwa dalam pertuduhan kini). Perkara ini dilakukan dengan pengetahuan Dato’ Yusuf Zainal Abidin, ketua pihak pendakwaan dan beliau turut bersubahat dengan mereka.

Semua nama-nama tersebut terkait secara langsung ataupun tidak langsung dengan perbicaraan pameran dan palsu 1998. Muslihat mereka bertambah dahsyat manakala mereka bersekongkol menyembunyikan keterangan bersabit skandal mata lebam dan percubaan menghalang proses pengadilan. Kesemua mereka ini merupakan orang-orang yang sama terlibat dengan giatnya dalam pendakwaan terhadap saya. Seperti mana yang disebut, res ipsa loquitur (sudah terang lagi bersuluh), namun dalam hal ini, saya tidak berbicara tentang kecuaian tetapi pembuktian jenayah dalam perancangan jahat dan konspirasi “paling keji”.

Keadaan sedemikian memaksa saya memilih untuk membuat kenyataan dari kandang mahkamah. Dan dalam kenyataan ini, saya dengan sedaya upaya melafazkan dengan benar untuk menangkis fitnah, penipuan dan muslihat jahat yang telah dikisahkan selama ini. Memetik Shakespeare:

“Dan mari kami gegarkan ke telinga kamu sekali lagi,
Setelah sekian lama terlindung daripada ceritera kami...”

Sejak dari awal lagi perbicaraan ini dinafikan padang sama rata malah dikendalikan secara tidak saksama kendati kuasa dan muslihat pendakwaan.





Pihak Pendakwaan Gagal Melaksanakan Tugas Dengan Profesional

1)      Meskipun hal yang dianggap biasa dalam prosiding jenayah tidak terpenuhi dalam kes saya, pihak pendakwaan tuntas enggan menyerahkan bahan-bahan penting buat pembelaan saya, termasuk:

a)      senarai saksi pendakwaan;
b)      nota pemeriksaan utama yang dicatat oleh pegawai perubatan mengenai pengadu di Hospital Kuala Lumpur (HKL);
c)      kenyataan saksi (termasuk pengadu) dan;
d)      sampel forensik dan bahan-bahan untuk pemeriksaan dan pengesahan yang bebas.

Semua ini telah menyebabkan asas pembelaan saya terbatas malah menyebabkan ketidakadilan yang parah. Secara waras, satu-satunya kesimpulan yang dapat dirumuskan seseorang itu daripada kedegilan pendakwa dalam tindakan jahat ini bahawasanya terdapat muslihat tangan-tangan tersembunyi dan pastilah ianya bertentangan dengan perintah Tuhan.

2)      Kegagalan Yang Arif untuk menegur kenyataan pihak yang bermusuh dengan saya yang mengulas mengenai aspek-aspek perbicaraan ini dengan maksud menghina dan mengaibkan saya. Perkara  tersebut termasuklah persoalan sama ada saya patut memberi sampel DNA atau tidak; menyalahkan pihak pembelaan kononnya sengaja melengahkan prosiding ini; dan menghebahkan maklumat yang tertakluk atas perintah larangan. Ulasan-ulasan umum ini telah dibuat tanpa menghiraukan perintah Yang Arif.

Ulasan tersebut dibuat oleh para pemimpin tokoh politik UMNO, termasuk Dato’ Sri Najib dan dirancang melalui kawalan media cetak dan elektronik seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The New Straits Times dan TV3. Singgungan yang berterusan oleh Perdana Menteri dan pemimpin UMNO dalam media dan sanggahan negatif mengenai perkembangan perbicaraan jelas bermaksud mempengaruhi Yang Arif dan menggambarkan motif politik di sebalik pertuduhan itu.

3)      Tindakan terbaru secara angkuh pada hari Selasa dan Rabu lalu di TV3 yang menyiarkan rakaman wawancara pengadu menyebut perkara-perkara yang jelas menghina prosiding berkenaan perbicaraan ini. Secara khusus, gambaran pengadu sebagai mangsa yang merupakan seorang Muslim yang warak dan bertaqwa yang bersedia mengangkat sumpah (mubahalah) dengan menggunakan kalimat dari Al-Quran.

4)      Tetapi kebenaran terserlah ketika perbicaraan ini sedang berlangsung. Si pengadu yang sudah bertunang tanpa malu berselingkuh dengan anggota pasukan pendakwaan. Selain hubungan sulit ini menjejaskan kewibawaan pasukan pendakwa, topeng keluhuran budi pekerti si pengadu hancur berkecai disebabkan terdedah skandal hubungan sulit dengan pendakwaraya wanita yang juga merupakan tunangan orang.

5)      Kendati begitu, si pengadu dengan bantuan seluruh jentera dakyah UMNO dan media mereka telah mencanangkan fitnah terhadap saya. Hakikatnya kesemua usaha ini dibuat untuk menghina saya dengan perkiraan mempengaruhi perjalanan prosiding dan mengancam saksi-saksi perbicaraan ini. Di sebalik kesemua pencerobohan ketara ini, Yang Arif tuntas gagal bertindak terhadap sebarang tindakan menghina mahkamah.

Kewajipan suci seorang hakim tidak sekadar bersemayam di atas kerusi tetapi melaksanakan tanggungjawab termasuk mengeluarkan notis terhadap sesiapa saja yang mencabar kewibawaan keadilan. Saya teringatkan bidalan Latin:

 “Judex Habere Dabet Duos Sales, Salem Sapicutiae, Ne Sit Insipidus, Et Salem Conscientiea, Ne Sit Diabolous” (Seorang hakim harus mengecap dua garam, garam kebijaksanaan; seandainya tawar dan garam suara nurani, seandainya dia terjebak ciri syaitan).

Jawatan seorang hakim merupakan antara yang paling mulia di negara ini. Hakim ialah suara penggubal undang-undang dan badan untuk melaksanakan keadilan. Beliau memastikan  keseimbangan di antara eksekutif dan rakyat.

Malah yang paling utama sekali dalam menjalankan tugasnya, seorang hakim wajib insaf akan perintah Allah:

“...jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” – (Surah Al-Maidah : 8)

Ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1942, dalam Liversidge lawan Anderson, Lord Atkin berkesempatan untuk menegaskan dalam House of Lords:

Salah satu tunggak Kebebasan yang telah diterima pakai sekian lama bahawa seorang hakim itu tidak selayaknya mengagungkan mana-mana individu serta berada di kalangan subjek dan sebarang menghalang sesiapa sahaja termasuk percubaaan menceroboh oleh penguasa terhadap kebebasan beliau. Maka waspadalah terhadap apa juga tindakan paksaan yang diwajarkan undang-undang.”

Merujuk kepada kes saya, Yang Arif sesungguhnya telah menyaksikan sikap permusuhan pihak pendakwaan dan sesungguhnya ianya tidak mengurangkan bidang kuasa Yang Arif terutama demi memelihara kewibawaan mahkamah dari terus dihina. Malangnya kami merasa bingung mengapa Yang Arif memilih untuk tidak berbuat demikian. Apa yang berlaku bukanlah tradisi terbaik badan kehakiman. Dalam perbicaraan pembunuhan Banting sekarang ini, Yang Arif Datuk Akhtar Tahir mengambil tanggungjawab untuk memanggil penerbit televisyen tempatan atas klip yang ditayangkan semasa slot Buletin Utama yang berkaitan dengan pembelaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Dato’ Sosilawati Lawiyah dan tiga yang lain. Keratan laporan akhbar dilampirkan bersama. Yang Arif Datuk Akhtar Tahir dengan berani memperlihatkan kegigihan kehakiman atas nama hak asasi dan memenuhi syarat penting perbicaraan yang adil.

Lebih menakjubkan, manakala skandalTimbalan Pendakwaraya Farah Azlina Latiff terdedah mempunyai hubungan sulit dengan Mohd Saiful Bukhari tidak langsung diambilkira oleh Yang Arif. Perilaku sumbang tersebut sewajarnya memaksa Yang Arif bertindak lantaran ia menjejaskan hak saya dibicara secara adil. Sebagai salah seorang anggota pasukan  pendakwaan, Farah Azlina Latiff akan mempunyai maklumat berkaitan kertas siasatan justeru Mohd Saiful Bukhari akan – menerusi hubungan sulit ini – akan memperolehi semua kenyataan yang diberikan saksi-saksi, termasuk saksi alibi saya.

Yang Arif malah tidak menyanggah Farah Azlina Latiff kerana mengadakan hubungan sulit dengan Mohd Saiful Bukhari. Apa yang telah dilakukan hanyalah membawa keluar Farah Azlina Latiff daripada pasukan pendakwaan atas permintaan pendakwa yang sekaligus mengesahkan secara terbuka kewujudan hubungan terlarang itu. Farah Azlina Latiff tidak menafikan dakwaan yang dikenakan terhadap beliau. Begitu juga Mohd Saiful Bukhari tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk menafikan hubungan jelek itu.

Peguam Negara telah secara terbuka menyatakan sebab-sebab yang akan diberikan kemudian terhadap hubungan sulit tersebut. Namun sehingga kini belum terdapat sebarang penjelasan disediakan meskipun terdapat maklumat di sebaliknya.Yang Arif di akhir kes pendakwaan memutuskan bahawa kesaksian Mohd Saiful Bukhari adalah benar dan berwibawa. Saya petik kenyataan Yang Arif seperti berikut:

“Tiada satu pun daripada pemeriksaan balas yang panjang ke atas Mohd Saiful Bukhari atau daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan lainnya yang boleh ditafsirkan bahawa keterangan Mohd Saiful Bukhari sebagai sesuatu yang meragukan. Saya menemukan keterangan Mohd Saiful Bukhari sebagai kukuh. Beliau telah dengan benar dan tanpa menokok tambah atau memperbesar-besarkan keterangan yang diceritakannya secara terperinci setiap minit bagaimana beliau telah diliwat ole tertuduh pada tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.  Saya mendapati beliau seorang saksi yang benar dan keterangannya adalah berwibawa serta seandainya diterima akan mengukuhkan kesemua fakta-fakta yang diperlukan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh.”

Para peguam saya menegaskan Yang Arif telah dengan ini menghakimi saya dari awal lagi sebelum pengadilan sebenar. Yang Arif sepatutnya hanya memutuskan keabsahan keterangan akan siapakah yang bercakap benar pada saat penggulungan pembelaan, di mana saya dijangka akan memberi keterangan secara bersumpah. Para peguam saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun merujuk kepada petikan di atas secara berasingan. Mereka menumpukan perhatian terhadap perkara nyata sama ada saksi itu benar atau tidak, akan diputuskan pada penggulungan hujah kes pembelaan. Peruntukan-peruntukan dalam Seksyen 182A(1) Kanun Acara Jenayah menyediakan panduan kepada seorang hakim tetapi ia tidak dipatuhi. Seksyen tersebut perlu diulangi di sini. Ia menyatakan:

“Pada penggulungan perbicaraan, mahkamah hendaklah menimbangkan kesemua keterangan yang dikemukakan sebelumnya dan hendaklah memastikan sama ada pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.”

Berdasarkan apa yang dihuraikan di atas, saya sesungguhnya telah dinafikan ruang membela diri secara keterangan bersumpah. Bermakna tindakan tersebut gagal memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil serta menjamin kesaksamaan.


Mahkamah Rayuan Bertindak Sumbang

Permohonan saya ke Mahkamah Rayuan supaya Yang Arif menarik diri atas alasan membuat penghakiman awal yang akan mengakibatkan penghakiman berat sebelah telah pun didengar pada 6 Julai 2011. Satu salinan perintah tersebut dilampirkan bersama-sama ini. Tiada penghakiman bertulis dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Julai lalu. Rayuan tersebut telah ditolak sekaligus berdasarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa rayuan tersebut bukannya satu perintah muktamad. Demikian alasan yang diberikan mahkamah terbuka. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang dari itu. Mahkamah Rayuan malah mengambil masa tidak lebih dari lima minit untuk melupuskan rayuan tersebut.

Anehnya tanpa pengetahuan saya atau para peguam saya, pada waktu yang sama terdapat penghakiman setebal 40 halaman atas nama Yang Arif Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak juga bertarikh 6 Julai 2011. Satu salinan penghakiman itu dilampirkan bersama-sama kenyataan ini.

Persoalannya ialah, mengapa Mahkamah Rayuan tidak membaca 91 perenggan keputusan penghakiman bertarikh 6 Julai pada hari tersebut? Jelas sekali, penghakiman tersebut berada di tangan beliau pada 6 Julai tetapi secara rahsia telah disembunyikan daripada pengetahuan saya dan awam. Surat bertarikh 11 Ogos 2011 kepada para peguam saya beserta satu salinan penghakiman turut dilampirkan dalam kenyataan ini. Seperti biasa, Yang Arif pastinya memperolehi manfaat membaca penghakiman tersebut yang pastinya akan tambah memburukkan lagi sikap berat sebelah Yang Arif terhadap saya. Penghakiman tersebut merupakan satu serangan terbuka terhadap saya dan akan saya rujuk selanjutnya. Memadai ditegaskan kini bahawa penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut yang ditulis selepas 6 Julai 2011 dan mengandungi kritikan keras terhadap saya tanpa peluang untuk menjawabnya.

Ini menimbulkan persoalan: rayuan itu telah ditolak in limine (segera), berdasarkan alasan bahawa keputusan Yang Arif tersebut itu bukanlah ‘perintah muktamad’. Sepatutnya perkara itu telah berakhir kerana ia akur bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk melayan rayuan itu. [Yang Arif Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak membisu semasa penghujahan terhadap bantahan awal]. Penghujahan penghakiman tersebut tidak menyentuh alasan dan faktor lainnya. Itu saja keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Julai lalu tanpa menambah sedikit pun. Bantahan awal tersebut dirujuk, tetapi tidak sebagai bahagian utama penghakiman. Bahagian utama penghakiman itu melangkau lebih jauh lagi. Ia sekadar digunakan untuk menyerang saya.

Jika begitu, mengapa Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap saya sepanjang penghakiman tersebut? Beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian malah ini merupakan penyalahgunaan kuasa kehakiman ketara  atau sebenarnya satu muslihat mengampu penguasa politik? Tidak ada lagi hujah munasabah untuk menjelaskan mengapa beliau melancarkan serangan keji terhadap saya dengan menyatakan dalam perenggan seperti berikut:

‘[5]      Kes ini akan tercatat dalam sejarah. Ia akan tersenarai sebagai satu-satunya kes di dalam negara kita atau dalam lingkungan negara-negara Komanwel di mana perayu selaku tertuduh secara berterusan dan konsisten memfailkan satu demi satu permohonan untuk menggugurkan hakim perbicaraan daripada terus mendengar dan menyambungkan pendengaran perbicaraan liwat yang sedang berlangsung.

[6]        Si perayu seolah-olah mencuba sedaya upaya melengahkan perbicaraan kes liwatnya atas alasan yang hanya diketahui oleh dirinya sendiri, ini mengecewakan pihak pendakwa dan menimbulkan kejengkelan masyarakat awam.

[15]      Ia merupakan suatu kritikan yang tidak munasabah [terhadap hakim yang arif] bermaksud untuk menipu dan mengelirukan masyarakat awam. Adalah mudah untuk mengkritik tetapi sentiasa sukar untuk mewajarkan.

[18]      Adalah amat sukar untuk kami menerima Notis Usulan yang difailkan berdasarkan  kepercayaan tulen bahawa hakim perbicaraan bersikap tidak adil terhadap perayu.

[49]      Pertuduhan diperihalkan secara jelas apa yang dilakukan perayu kepada Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan [SP1]. [Adalah prinsip asas dalam undang-undang bahawa keterangan, bukan pertuduhan, yang akan membuktikan kesalahan].

[50]      Perbicaraan ini dilengah-lengahkan tanpa kewajaran. Ia mendapat liputan luas media.

[56]      Setelah memaparkan sikap jelik yang bercanggah dengan etika kehakiman, Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak kini tanpa segan silu berleter mengenai kewibawaan sistem kehakiman yang baik. Namun apa yang kedengaran tidak lebih dari suara sumbang berat sebelah:

            “Prasyarat sistem kehakiman yang baik adalah kebebasan dan tidak berat sebelah. Bagi sistem kehakiman yang kukuh dan berkesan, kesaksamaan para hakim amatlah penting. Namun tidak dinafikan bahawa keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman juga dibentuk dan diacu melalui  penampilan.”

Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak telah meremehkan penghakiman hakim-hakim di Mahkamah Rayuan termasuk Richard Malanjum, kini Hakim Besar (Sabah dan Sarawak). Walaupun dia tidak mempunyai bidangkuasa untuk berbuat demikian. Singgungan tersebut jelas bermaksud menghina mereka apabila menyatakan:

‘[72]    Rowstead tidak menganggap “bahaya sebenar berat sebelah” sebagai hujah dalam menentukan sama ada JC yang arif sepatutnya menarik dirinya sekalipun Mahkamah Persekutuan telah awal-awal lagi menggunakan hujah tersebut dalam kes berikut:

(a)    Majlis Perbandaran Pulau Pinang lwn Syarikat Bekerjasama-sama Serbaguna Sungai Gelugor dengan Tanggungan [1993] 3 MLJ 1, FC; dan

(b)   Mohamed Ezam bin Mohd Nor & lain-lain lwn Ketua Polis Negara [2002] 1 MLJ 321, FC

[73]      Berikutnya cadangan Rowstead bahawa permohonan penarikan diri hakim untuk didengar oleh seorang hakim lain adalah agak radikal. Kami menegaskan permohonan penarikan diri dalam kes seperti ini, wajar didengar di peringkat permulaan oleh hakim perbicaraan, selanjutnya oleh mahkamah ini.

[74]      Rowstead tidak membuat pertimbangan atau mengambilkira Seksyen 3 dari Akta Keadilan Jenayah (CJA) yang dibaca bersama Seksyen 50(1)(a) CJA dan Penyata Penjelasan tambahan.

[75]      ‘Permohonan penarikan diri yang disebut di dalam Notis Usul mengambilkira perbicaraan panjang yang dan memperlihatkan muslihat si perayu di setiap sudut dan sisi dalam usahanya untuk menjejaskan perjalanan kes perbicaraan jenayah pihak perayu bagi suatu kesalahan meliwat SP1. Kes ini adalah ibu kepada semua perbicaraan di Malaysia.

[Sesungguhnya saya berhak untuk menggunakan kesemua ruang perundangan yang ada. Tidak terdapat sebarang usaha untuk dari mana-mana pihak untuk menghalang saya dari berbuat demikian dengan memohon suatu perintah bagi mengisytiharkan saya terlibat dalam tuntutan guaman yang mendangkalkan.]

Seperti yang dirujuk sebelumnya dalam kenyataan ini, Yang Arif pastinya berpeluang membaca penghakiman ini setelah ia diedarkan melalui surat bertarikh 11 Ogos 2011. Ini bermakna Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak mendakwa saya sebagai berperibadi buruk.

Berdasarkan perkara tersebut , apakah mungkin saya dijamin dibicarakan secara adil atau seolah-olah mendapat imbasan perbicaraan yang adil? Lantaran itu hakim sekarang terheret memperkukuh sikap berat sebelah  terhadap saya?

Apakah munasabah untuk saya memberi keterangan bersumpah apabila Timbalan Pendakwa Raya memiliki penghakiman yang sama yang boleh digunakan terhadap saya dalam pemeriksaan balas? Yang Arif tidak boleh mengenepikan apa yang telah disampaikan oleh Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak dalam penghakiman bertarikh 6 Julai 2011 memandangkan ianya suatu penghakiman yang panjang.

Sesungguhnya ini adalah satu skandal!

Tambahan pula, mengapa penghakiman tersebut tidak dibacakan di mahkamah terbuka meskipun ia ditulis selepas tengah malam pada 5 Julai 2011, supaya saya dapat membalas dan mematahkan kesemua dakwaan yang dibuat oleh Datuk Haji Abdul Malik Bin Haji Ishak terhadap saya?

Prinsip asas dalam perundangan adalah seseorang tidak harus dihakimi tanpa diberi peluang pembelaan. Tiada sesiapa menyangkal hakikat tersebut. Seawal 12 Ogos 1999, Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di tanah air ini dalam Insas Bhd dan Anor lwn Ayer Molek Rubber Company Bhd dan lain-lain, selepas merujuk sumber undang-undang berkaitan persoalan tersebut, memutuskan:

‘Singgungan menyelar Mahkamah Rayuan terhadap Mahkamah Tinggi, pemohon dan peguam mereka patut dilupuskan dari penghakiman Mahkamah Rayuan, kerana ia menjurus untuk mengheret dan mencemar seluruh pentadbiran undang-undang. Penghakiman harus berteraskan hukum dan tidak wajar menyimpang daripada kewarasan, kesederhanaan dan berhemah. Ia juga tidak seharusnya memaparkan emosi dan hilang pertimbangan seperti yang dipaparkan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan.’

Merujuk kepada kes di Mahkamah Agung India, State of Pradesh lwn Mohd Naim, Mahkamah Persekutuan mengambil kira penghakiman tersebut;

‘Seandainya terdapat satu teras dalam pentadbiran keadilan, ianya adalah perkara berikut: kebebasan para hakim mesti dikekalkan dan mereka mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugas secara bebas, tanpa rasa takut dan tanpa campur tangan sesiapa pun termasuk oleh mahkamah ini. Pada masa yang sama, tatkala menyatakan pendapat mereka, para hakim dan majistret mesti didasari pertimbangan keadilan, kesaksamaan dan kekangan diri. Sering berlaku manakala kenyataan yang terlalu umum didapati bercanggah dengan tujuan asal ianya dibuat. Prinsip kehakiman mengakui bahawa kenyataan menyelar individu atau penguasa sewajarnya diberi pertimbangan oleh mahkamah sekiranya : (a) Pihak yang dibicarakan atau kelakuannya masih dalam pertimbangan mahkamah mempunyai peluang untuk menjelas atau membela dirinya; (b) sama ada terdapat keterangan jelas mengenai tingkah lakunya yang mewajarkan kenyataan tersebut dikeluarkan dan (c) sama ada ianya perlu untuk maksud membuat keputusan kes itu, sebagai sebahagian daripadanya, untuk mencela perilaku tersebut. Juga diakui bahawa pengumuman kehakiman mestilah berdasarkan hukum dan biasanya tidak menyimpang daripada kewarasan, kesederhanaan dan berhemah.’

Dalam kes Insas, Mahkamah Persekutuan menerima pakai apa yang disebut dalam AM Mathur lwn Pramod Kumar Gupta & lain-lain tatkala menolak semakan petisyen lemah yang mengandungi kata-kata menghina terhadap Encik AM Mathur, peguam kanan dan juga mantan Ketua Peguam Negeri. Mahkamah justeru memperakui,

‘Kekangan dan disiplin kehakiman diperlukan untuk pentadbiran keadilan yang teratur sepertimana keberkesanan pasukan tentera. Kewajipan kekangan, merendah diri dalam menyempurnakan tugas harus menjadi tema malar segar kepada para hakim kita. Mutu penghakiman adalah penting seperti juga langkah mempertahan kebebasan badan kehakiman. Kekangan kehakiman dalam hal ini mungkin lebih baik dikenali sebagai rasa hormat kehakiman, iaitu rasa hormat oleh badan kehakiman. Rasa hormat kepada orang-orang yang dihadapkan ke mahkamah serta lain-lain institusi negara; pihak eksekutif dan badan perundangan. Sewajarnya terdapat sikap saling hormat menghormati. Apabila teras ini gagal dipertahan atau apabila pengadu dan orang awam percaya bahawa hakim berkenaan telah gagal dalam memelihara prinsp-prinsip tersebut; ia akan menjejaskan kewibawaan para hakim mahupun proses kehakiman. Sesungguhnya jawatan hakim amat berkuasa. Para hakim bukan sahaja mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengikat, keputusan mereka mengabsahkan penggunaan kuasa oleh pegawai lainnya. Para hakim mempunyai kuasa muktamad dan kuasa tersebut tidak boleh dipertikai. Namun mereka tidak boleh menyalahgunakan kuasa mereka dengan ulasan keterlaluan, teguran kasar yang tidak sopan mengkritik peguam dan saksi-saksi. Kami akui bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk bertindak dengan bebas berdasarkan keyakinan mereka terhadap sebarang perkara yang dikemukakan kepada mereka untuk diputuskan, namun menjadi prinsip umum bahawa demi menjamin keluhuran pentadbiran keadilan, maka dihalang  membuat kenyataan menghina terhadap individu atau pihak berkuasa yang di dalam pertimbangan melainkan jika ia benar-benar perlu untuk membantu keputusan mahkamah dengan menyinggung perlakuan mereka.’

Ketua Hakim India, Bhagwati  dalam State of Madya Pradesh & lain-lain lwn Nandlal & lain-lain, tatkala menolak keras kecaman hakim, menyatakan:

‘Sebagai kesimpulan kita boleh perhatikan bahawasanya para hakim tidak harus menggunakan bahasa yang kesat dan leteran mengutuk dalam mengkritik kelakuan pihak-pihak atau saksi-saksi mereka. Mereka mesti bertindak dengan waras, sederhana dan kekangan diri. Mereka harus tawaduk mengakui mereka bukanlah serba sempurna dan apa-apa kecaman keras dan cacian yang dilemparkan oleh mereka terhadap mana-mana pihak boleh disalah anggap serta tidak wajar dan tidak berasas. Justeru mereka boleh menyebabkan kemudaratan serta mengakibatkan ketidakadilan. Dalam kes ini, pemerhatian yang dibuat dan kecaman yang dinyatakan oleh Bam Lal J sama sekali tidak berasas dan tidak munasabah dan tidak wajar dibuat.’

Maka dalam keadaan sedemikian, bagaimana mungkin saya memberikan keterangan bersumpah?

Tatkala mengeluarkan perintah agar saksi-saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan untuk ditemuduga di mahkamah, Yang Arif telah secara terbuka dalam mahkamah ini memberikan ruang mudah kepada saksi-saksi tersebut bahawa mereka boleh menolak untuk ditemuramah. Ini menjejaskan proses keadilan. Yang Arif melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seseorang yang memikul amanah menegakkan keadilan. Malah, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Sri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan SAC Dato’ Rodhwan Ismail yang dipaparkan sebagai berperanan penting dalam keterangan SP1 datang ke bilik temuduga mengulangi hujah yang sama iaitu, “Kami tidak bersedia untuk ditemubual”. Perdana Menteri malah menyebut Yang Arif mencadangkan kemungkinan tersebut. Oleh kerana mereka merupakan saksi penting, pihak pembelaan terpaksa memilih untuk mengeluarkan perintah sapina untuk memaksa mereka hadir ke mahkamah. Keputusan Yang Arif itu memaksa saya untuk tidak memberi keterangan secara bersumpah. Saya tegaskan sesungguhnya saya terlah bersedia dan sanggup memberikan keterangan bersumpah, akan tetapi kecacatan yang dipaksakan ke atas saya, di mana tatacara Yang Arif mengendalikan perbicaraan ini dan bagaimana penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Julai 2011 yang telah sampai ke pengetahuan Yang Arif berkenaan perkara yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Sesungguhnya perbicaraan saya ini suatu konspirasi politik dan sewajarnya Yang Arif tidak terjerumus ke dalam kancah dengan mencadangkan saksi-saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan boleh menolak untuk ditemuduga. Ini bukan dalam bidangkuasa Yang Arif untuk mencadangkan sedemikian.

Saksi alibi saya yang telah dimaklumkan kepada pihak pendakwa juga tersenarai dalam senarai saksi pendakwa yang tidak dibekalkan kepada peguam pembela. Mereka adalah saksi alibi pembelaan. Saya dimaklumkan hal ini pertama kali berlaku.

Malah pemilik unit 11-5-2, Haji Hasanuddin Abd Hamid telah diganggu secara berterusan di mana kenyataan beliau telah dirakam selama tiga puluh jam. Perkara ini dijelaskan apabila beliau telah ditemubual oleh para peguam di hadapan saya. Siasatan polis telah dengan sengaja merencat pembelaan saya.

Ianya suatu persendaan tatkala pihak pendakwaan menawarkan pada penggulungan kes mereka seorang saksi alibi bernama Fitria Binti Dipan tetapi menurut pengakuan mereka sendiri tidak dapat dikesan!

DAKWAAN PENGADU ADALAH REKAAN SEMATA-MATA

Seperti yang saya katakan sejak awal lagi, saya menafikan segala tuduhan yang direka pengadu terhadap saya.

Pengadu menyatakan dalam keterangannya pada 26 Jun, 2008, beliau tiba di Kondominium Desa Damansara pada jam 2:45 petang untuk membincangkan urusan kerja dan menyerahkan dokumen yang dikirimkan Ibrahim Yaakob [Ketua Staf saya] kepada saya. Katanya lagi dia memberhentikan vannya di pos keselamatan dan menyebut nama kod 'Mokhtar' kepada pengawal kondominium sebelum dibenarkan masuk. Dia meletakkan kenderaannya dan mengambil lif untuk ke Unit 11-5-1 di mana saya dikatakan berada di meja makan di ruang tamu. Dia mengatakan bahawa dia duduk di meja yang sama dan memulakan perbincangan. Beliau memberitahu mahkamah tentang bagaimana kesatnya saya meminta seks.

Perkara berikut terdapat di dalam lampiran.

Apabila disoal, beliau menjawab bahawa SP1 merasa marah dan takut dan tidak bersedia untuk melakukannya, akan tetapi tetapi kerana saya kelihatan marah, dia akhirnya akur. Perlu diperhatikan pada peringkat ini pengadu boleh, berdasarkan pengakuannya sendiri ketika pemeriksaan utama (examination-in-chief), meninggalkan bilik kerana tidak ada sebarang bukti percubaan oleh saya untuk mengunci pintu dari dalam.

Dia juga mendakwa bahawa dia diarahkan masuk ke bilik tidur dan bahawa dia masuk kerana takut. Bahkan di peringkat ini, pengadu berpeluang untuk meninggalkan ruang tamu, walaubagaimanapun dia tidak berbuat demikian. Bukti selebihnya menunjukkan bahawa pengadu mempunyai segala peluang dan kesempatan untuk melarikan diri tetapi dia tidak berbuat demikian. Alasannya kerana beliau takut. Namun alasan tersebut itu bertentangan dengan segala fakta. Beliau adalah seorang lelaki di awal dua puluhan, enam kaki, mempunyai fizikal yang sihat serta cergas dan mempunyai hubungan dengan pegawai atasan polis dan golongan elit politik, di samping dengan akses kepada lingkungan dalaman kekuasaan. Tambahan lagi, beliau pernah menjadi mahasiswa operatif UMNO yang penting, menjalani latihan rapi yang dikendalikan Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri. Manakala saya seorang lelaki berusia 60 tahun, mempunyai sejarah kecederaan belakang dan telah menjalani pembedahan belakang yang besar dan juga tidak memegang apa-apa posisi kuasa. Jika benar saya boleh memberikan apa-apa jenis pengaruh yang tidak wajar atau tekanan mental kepadanya, ini boleh dengan mudahnya diselesaikan dengan satu panggilan telefon kepada kenalan-kenalannya yang mempunyai kuasa itu. Berkenaan dengan ketakutan terhadap kecederaan fizikal, adalah sesuatu yang memerlukan khayalan yang jauh untuk mencadangkan bahawa saya boleh menyebabkan apa-apa kecederaan fizikal kepadanya.

Ketika pemeriksaan balas, bukti penting yang berikut telah didapatkan daripada pengadu. Beliau mengakui bahawa dia membawa bersamanya pelincir dan telah secara sukarela dan tanpa teragak-agak menggunakannya. Beliau mendakwa bahawa berlaku persetubuhan dan ia adalah menyakitkan dan kasar. Walau bagaimanapun, ini jelas tidak mempunyai sandaran dalam bukti-bukti perubatan oleh pihak pendakwa bahawa adanya carikan atau koyakan. Selepas perbuatan yang dikatakan itu, beliau memberi keterangan bahawa dia telah duduk untuk minum dan berbual mesra dengan saya. Yang menakjubkan, tiada usaha yang dibuat oleh pengadu untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Sebaliknya, beliau menghadiri satu acara PKR pada hari esoknya. Pada sebelah malam, beliau menyertai mesyuarat Anwar Ibrahim Club di rumah saya tanpa menunjukkan sebarang tanda ketidakselesaan sama ada emosi atau fizikal apatah lagi trauma. Sebaliknya, beliau menjalankan urusannya dengan cara yang tenang dan yakin. Oleh itu, kelakuannya benar-benar tidak konsisten dengan dakwaannya.

Dalam apa jua keadaan, dia tidak membuat laporan polis dan tidak mendapatkan rawatan perubatan, walaupun dua hari sebelum perbuatan yang dikatakan itu, beliau telah bertemu dengan Dato’ Sri Najib dan Rosmah serta telah bercakap di telefon dengan Musa Hassan dan bertemu dengan Rodhwan di sebuah hotel.

Adalah jelas, dari keterangan di atas, bahawa pengadu telah berbohong walaupun Y.A., dengan terdapat bukti sebaliknya yang menyakinkan, mendapati dia seorang saksi yang benar pada penutup kes pihak pendakwa. Ini bertentangan dengan logik akal, apatah lagi undang-undang.

Kemudian lagi, keterangan pakar berkaitan DNA yang dibawa sepanjang kes pendakwa melalui PW4, Dr Seah Lay Hong dan PW5, Nor Aidora bt Saedon sangat dipersoalkan kerana maklumat penting berkaitan analisis DNA oleh kedua-dua saksi itu yang sepatutnya diberikan kepada mahkamah tetapi secara mencurigakan mereka berdua tidak memberitahu maklumat tersebut sedangkan mereka mengesahkan kewujudan maklumat itu. Kemungkinan bahawa sampel yang dianalisis telah tercemar dan ditempatkan tidak langsung diambil kira walaupun kemungkinan itu begitu jelas sekiranya analisis dilakukan menurut garis panduan yang ditetapkan oleh komuniti forensik antarabangsa. Panduan antarabangsa tidak dipedulikan, terang-terangan diabaikan oleh PW4 dan PW5 untuk menyesuaikannya demi kes pendakwaan. Adalah jelas jika kemungkinan yang dinyatakan itu diperiksa, kesimpulan yang dicapai akan sangat berbeza kerana air mani pengadu telah dijumpai dalam duburnya sendiri, ada bukti yang jelas bahawa terdapat spesimen selain dari Lelaki Y di sekeliling punggung pengadu, kawasan rektum bawah dan atas dan terdapat bukti-bukti yang jelas sampel telah diceroboh  sebelum dihantar untuk analisis. Dalam keadaan sedemikian, integriti sampel tersebut sudah pasti dicurigai. Tambahan pula, integriti PW4 juga dipersoalkan kerana dia dengan mudah menolak kemungkinan yang sangat tinggi bahawa sampel yang dihantar kepadanya sudah mengalami kemerosotan ke tahap tertentu sebelum sampai kepadanya. Hakikatnya sampel yang dihantar untuk analisis bukanlah yang telah diambil daripada pengadu.

Perbicaraan dalam Perbicaraan

Tindakan seperti Gestapo ketika saya ditahan dan seterusnya penahanan dan soal siasat oleh polis semua menampakkan tangan-tangan kekuasaan politik yang merencanakan. Apakah yang menyebabkan perlunya untuk menghantar sekumpulan komando bertopeng untuk melaksanakan penangkapan jika bukan satu percubaan mempamerkan kuasa politik dan untuk memaparkan dendam kesumat? Fakta-fakta yang mengejutkan ini benar-benar telah diabaikan oleh Y.A.

Y.A.telah membuat ketetapan yang awal untuk menolak bagi mendapatkan semula item-item tertentu termasuk botol air, tuala Good Morning, ubat gigi dari lokap di IPK, Kuala Lumpur di mana saya telah ditahan semalaman dari 16.7.08 hingga 17.7.08. Walau bagaimanapun, anda telah mengubah ketetapan ini kemudiannya yang merupakan sesuatu yang paling mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun dalam Bicara dalam Bicara, saya telah merujuk kepada peranan Taufik dan Supt. Jude Pereira, pendakwa telah memilih hanya untuk memanggil Taufik dalam bantahan dalam Bicara dalam Bicara. Taufik cuba untuk menghasilkan salinan fotostat waran tangkap yang hanya ditanda sebagai ID dan oleh itu, tidak boleh dianggap sebagai keterangan dalam Bicara dalam Bicara. Satu salinan fotostat dokumen tidak boleh diterima sebagai keterangan dalam mahkamah. Dalam Bicara dalam Bicara bukti utama bagi dokumen itu sepatutnya telah diberikan jika rekod asal telah hilang atau musnah.

Pihak pendakwa tidak dapat menutup kelemahan dengan mengeluarkan waran tangkap asal sewaktu perbicaraan utama. Ia adalah bukti bahawa 3 salinan waran tangkap berada dalam milikan Supt. Jude Pereira. Bukti waran tangkap terdapat semasa Bicara dalam Bicara.


Malah, Supt. Jude Periera, di mana peranannya yang telah dibangkitkan oleh saya semasa Bicara dalam Bicara, memilih untuk tidak memberi keterangan serta salinan asal waran tangkap Bicara dalam Bicara.

Tatkala Bicara dalam Bicara lah, Supt. Jude Periera sepatutnya memberi keterangan. Adalah jelas menyalahi undang-undang bagi mahkamah untuk menerima keterangan Supt. Jude Periera ketika perbicaraan umum dengan tujuan untuk menyangkal bukti saya dalam Bicara dalam Bicara bahawa profil DNA dari tuala Good Morning, berus gigi dan botol air mineral  telah diperolehi dengan kaedah-kaedah yang tidak adil dan cara yang salah dan oleh kerana itu penahanan saya adalah  menyalahi undang-undang.

Malah, keterangan Supt. Jude Pereira dalam perbicaraan umum mengesahkan bahawa terdapat ketidakpatuhan kepada Peraturan 20 Peraturan-peraturan Lokap, 1953 bahawa saya, selepas saya ditangkap pada 16.7.08, telah tidak diletakkan di dalam lokap dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi di hari berikutnya. Peruntukan-peruntukan Peraturan 20 adalah mandatori.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, membawa saya ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) adalah melanggar Peraturan 20. Justeru mendapatkan profil DNA daripada item-item yang dinyatakan tadi oleh pihak polis merupakan cara yang salah dan kaedah yang tidak adil. Ini diburukkan lagi dengan bukti-bukti bahawa Supt. Jude Periera dalam perbicaraan umum menyatakan bahawa dia tidak mengarahkan anggota polis yang menjaga lokap untuk tidak menyentuh barang yang dinyatakan walaupun anggota polis dalam perbicaraan umum sebelum Bicara dalam Bicara, jelas berkata bahawa Supt. Jude Periera telah berbuat demikian.

Makanya, Supt. Jude Periera, dalam keterangan bersumpah dalam perbicaraan utama, menyokong dakwaan pembela bahawa kaedah yang tidak adil dan cara yang tidak adil telah digunakan oleh pihak polis untuk mendapatkan profil DNA daripada item-item yang dinyatakan itu.

Daripada perintah yang dibuat oleh mahkamah untuk tidak menerima barang-barang itu, adalah jelas ia adalah berdasarkan kepada cara dan kaedah yang tidak adil yang digunakan oleh polis dengan maksud bahawa dengan helah dan tipu daya pihak polis cuba untuk mendapatkan bukti DNA itu.

Dalam apa jua keadaan, daripada keterangan DSP Taufik yang diberikan dalam Bicara dalam Bicara dan perbicaraan umum, alasan penahanan tidak diberikan olehnya kepada saya di Segambut kerana jelas bercanggah dengan keterangan S.N. Nair dan saya sendiri.

Soal mencabar bukti yang diberikan dalam perbicaraan utama oleh DSP Taufik dan Supt. Jude Periera tidak timbul. Penegasan yang dibuat secara bersumpah oleh saya bahawa saya telah ditangkap dengan kaedah yang tidak adil dan menyalahi undang-undang dan cara yang tidak adil yang telah digunakan untuk mendapatkan profil DNA dalam Bicara yang dalam Bicara langsung tidak dicabar oleh pihak pendakwaan dengan membawa bukti yang sah di sisi undang-undang untuk membantah penegasan itu. Malah, Y.A. sewajarnya membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap pihak pendakwaan kerana mereka gagal untuk berbuat demikian.

BUKTI FORENSIK

Kes pendakwaan bergantungkepadaketeranganDNA,iaitu kononnya"penemuan cecair air mani" atau "sperma".  Ia merupakan satu-satunya bukti forensik pihak pendakwaa, malah keseluruhan kes mereka bergantung kepada “keterangan” ini. Namun, asas pembuktian pihak pendakwa goyah, akan tetapiinitidakmenghalang mereka untuk bersubahat dengankekuasaan serta kemudiannyamelancarkankempenmemburuk-burukkansaya.

Hakikatnya tidak ada sebarang bukti sama sekali, DNA atau lain-lainnya, yang pernah dijumpai di tempat perlakuan tersebut dikatakan terjadi, tidak di kamar mandi, bilik tidur, permaidani atau di tempat lain di mana bukti itu sepatutnya telah dijumpai.
Supt. Pereira, walaupun telah diarahkan untuk menyimpan sampel HKL(ditandakan B1 ke B10) ke dalam peti sejuk, dengan sengaja melanggar arahan Dr Siew Sheue Fong (Doktor Forensik HKL) serta mengakui beliau telah melakukan pelanggaran serius terhadap IGSO, apabila beliau dengan sengaja menyimpan sampel HKL dalam kabinet pejabatnya selama kira-kira 43jam sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia. (malah beliau menyatakan bertanggungjawab sepenuhnya kerana melanggar IGSO).  Kita harus sedar bahawa kononnya perlakuan liwat itu didakwa berlaku dua hari sebelum sampel itu diambil. Di tambah lagi dengan kelewatan selama 43jam untuk menyerahkannya kepada ahli kimia, bermakna sampel itu sudah berusia sekurang-kurangnya 90jam sebelum ia diperiksa ahli kimia tersebut. Tidak syak lagi, telah berlaku kemerosotoan mutu spesimen. Namun, pihak pendakwaan tetap menyatakan sebaliknya.
Dalam apa jua keadaan, kelewatan selama 43jam untuk menyerahkan sampel itu kepada ahli kimia menyebabkan integriti sampel tersebut dipersoal, kerana ianya telah rosak akibat bakteria. Selain itu,dengan tidak menyimpan sampel di simpanan barang kes polis(yang mana hanya Supt Jude Pereira sahaja punya akses), beliau telah dengan sengaja melanggar peraturan IGSO serta memberi peluang  kepada mereka yang lain untuk punyai akses kepada sampel itu dan dengan mudah untuk mensabotaj sampel tersebut. Kenapa hal ini dipandang sebelah mata?
Supt Jude Pereira tidak ada alasan yang munasabah samada yang didasari undang-undang atau berasaskan amalan untuk membukaP27(sebuah beg besar kalis rosak, mengandungi ke semua sampel HKL yang telah ditutup dan yang telah diserahkan kepada beliau). Sampel-sampel itu ditandai dengan B1 sehingga B10.Ternyata tindakan tersebut merupakan upaya untuk memperolehi sampel-sampel tertentu kerana ianya tidak kalis sabotaj dan sengaja ditutup dengan pita mudah tanggal serta penutup kertas mudah tanggal HKL.
Dr Siew Sheue Fong, tatkala di mahkamah, sentiasa enggan untuk merujuk nota perubatan beliau semasa pemeriksaan balas walaupun seringkali gagal mengingati butir-butir terperinci. Ketika waktu rehat misalnya, beliau kelihatan mencuri-curi melihat notanya. Doktor ini tidak jujur dan tidak berlaku adil terhadap kerjayanya yang menuntut beliau bersikap adil serta bebas. Seringkali pula kedua-dua mereka, DrSiew dan Dr Mohd Razali Ibrahims engaja enggan menjawab soalan-soalan penting yang dikemukakan oleh peguam saya. Meskipun begitu, keterangan Dr Siew dan Dr Razali telah diterima tanpa ragu.
Dr Seah Lay Hong (Ahli Kimia) memberi keterangan bahawa apabila beliau menerima 12sampel HKL, ada 2 sampel yang ditanda ianya diambil pada tarikh berbeza, beliau mengaku tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkan penjelasan daripada Dr Siew. Beliau mengaku bahawa beliau percaya Dr Siew. Peguam saya tuntas membantah tindakan yang melanggari garis panduan makmal antarabangsa dan peraturan Jabatan Kimia Malaysia tersebut . Walaupun tindakan itu dan kegagalan untuk mematuhi peraturan yang ketat didedahkan, keterangan DrSeah telah diterima sepenuhnya sedangkan ianya sepatutnya ditolak sama sekali kerana tidak cekap dan kecuaian yang melampau.
Keterangan yang dikemukakan pembelaan membongkar kepalsuan hujah pendakwa yang dikatakan mempunyai bukti  “cecair air mani” atau “sperma”. Ianya tidak berasas sama sekali. Bukti tersebut hanyalah rekaan pihak pendakwa semata-mata. Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan sejarah serta rekod pihak pendakwaan sebelum ini. Jikalah benar pihak pendakwa punya bukti forensik seperti yang diperkatakan sudah pasti bukti-bukti tersebut akan dijaga rapi, tidak seperti yang saya ungkapkan di atas, bahawa betapa cuainya mereka mengendalikan sampel-sampel tersebut.

RINGKASAN
Tuan Yang Arif telah gagal untuk memastikan perbicaraan yang adil seperti yang ditunjukkan, antara lain, oleh contoh-contoh berikut:
1.Keengganan anda semasa perbicaraan ini untuk memerintahkan bahan-bahan penting diberikan kepada pembelaan saya, sungguhpun kebanyakannya  anda fikir sebagai relevan, malahan tuntutan keadilan mengkehendaki  anda agar sepatutnya memerintahkan ia boleh diberikan sebelum perbicaraan. Kegagalan anda berlaku adil dan menggunakan budi bicara kehakiman terhadap perintah pendedahan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang Malaysia tetapi melanggar piawaian antarabangsa  sesebuah negara moden yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
2.Keengganan anda untuk mengambil peduli dan bertindak sewajarnya dengan menuntut pertanggungjawaban terhadap perbuatan mereka yang terang-terangan membocor dan menerbitkan melalui media permohonan pendakwaan sebelum perkara itu didengar di mahkamah. Anda juga bersikap acuh tidak acuh terhadap bantahan saya di atas segala pencerobohan ini.  Ini telah dengan sengaja atau tanpa disedari memudahkan konspirasi untuk memburuk-burukkan saya di khalayak awam sedangkan ketika itu perbicaraan sedang berlangsung.
3.Kegagalan anda untuk memerintahkan saksi-saksi penting  bagi pembelaan saya untuk hadir perbicaraan memberikan keterangan, di mana penglibatan mereka cukup nyata dan jelas terhadap isu-isu berkaitan perbicaraan dan melalui pengakuan bersumpah serta diakui oleh kenyataan-kenyataan yang dibuat saksi-saksi ini kepada media. Saksi-saksi ini berkaitan dengan keadaan di mana si pengadu datang untuk membuat aduan awal berkaitan saya. Semua keterangan ini berkaitan si pengadu.
4.Anda mendapati si pengadu sebagai "seorang saksi benar" pada penggulungan kes pendakwaan. Ini jelas sikap menghukum yang berat sebalah terhadap saya. Oleh yang demikian, anda telah menafikan hak perlembagaan saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan kerana itu melayakkan saya untuk dilepaskan tanpa syarat serta tuduhan terhadap saya digugurkan. Tanpa menghiraukan perkara ini, anda bukan sahaja gagal untuk mengeluarkan perintah pembebasan saya tetapi telah menolak bulat-bulat penarikan diri anda daripada terus mengadili perbicaraan ini.
5. Untuk anda menyimpulkan si pengadu ialah seorang saksi benar tanpa terlebih dahulu mendengar keterangan pembelaan akan menyebabkan penerusan perbicaraan ini menjadi usaha sia-sia. Apalah gunanya untuk saya mengemukakan keterangan untuk menunjukkan bahawa si pengadu sebenarnya pembohong jika anda telah mendapati"dia seorang saksi yang benar" serta keterangannya boleh dipercayai dan muktamad, oleh yang demikian ia tidak dapat disangkal? Ia tidak dapat dipertahankan dan undang-undang tidak membenarkan anda melakukan apa yang anda telah lakukan.
6. Penemuan anda bahawa si pengadu telah memperkuat keterangan dirinya dengan membuat aduan kepada doktor-doktor perubatan terhadap serangan seksual merupakan suatu kesilapan yang amat nyata. Selain itu, ia mengenepikan penemuan klinikal bahawa tiadanya penembusan. Anda juga gagal untuk menyoal kenapa pendakwaan tanpa sebab yang jelas enggan memanggil pegawai perubatan yang pertama memeriksa si pengadu untuk memberi keterangan di mahkamah. Apakah tidak terlintas di fikiran anda bahawa kegagalan ini berpunca daripada niat untuk menyembunyikan bukti yang tidak berpihak kepada pihak pendakwaan?
7.Anda menerima bulat-bulat bukti forensik yang menguatkan keterangan daripada si pengadu dalam keadaan terdapat kebimbangan yang jelas bagaimana sampel-sampel tersebut diperolehi, dilabel, disimpan dan dianalisa.

KESIMPULAN
Keseluruhan proses ini hanyalah satu rekayasa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk melenyapkan saya dari medan politik dengan cara memenjarakan saya. Oleh itu, saya nyatakan di sini bahawa saya sudah hilang kepercayaan terhadap perbicaraan ini sungguhpun pasukan peguam pembela berusaha keras membuktikan betapa saya sebenarnya tidak bersalah. Sudah saya katakan dari awal lagi ini bukanlah perbicaraan jenayah. Ianya satu rekayasa semata-mata untuk memastikan saya tidak mencabar mereka dari terus berkuasa.
Pada tahun 1998, Tun DrMahathir Mohamad taksub dengan manipulasi ala Machiavelli- politik menghalalkan cara- mengerah segenap kekuasaan negara memfitnah saya. Beliau berjaya menghumban saya ke penjara selama 15 tahun sungguhpun saya tidak bersalah. Itulah penindasan dan kezaliman yang dikenakan ke atas saya. Dan itulah juga bentuk penindasan dan kezaliman yang berterusan.
Dato’ Sri Najib Tun Razak menuruti jejak mentornya, menggunakan segenap kekuatan dan aparat kekusaan samada melalui media, polis, peguam negara dan badan kehakiman untuk merencat perlaksanaan keadilan dan melenyapkan saya dari terus berjuang.
Usaha untuk menghumban saya ke penjara menjadi keutamaan selepas kejayaan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum tahun 2008. Kebimbangan mereka menjadi kenyataan apabila sekatan undang-undang yang menghalang saya dari bertanding berakhir seterusnya membolehkan saya bertanding kembali dan menang. Kemenangan pilihanraya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh itu disusuli pula dengan terpilihnya saya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian ianya bukan sekadar kebetulan apabila konspirasi ini muncul tiga bulan selepas kejayaan Mac 2008 dan dakwaan terhadap saya dibuat hanya sebulan sebelum saya bertanding kerusi parlimen Permatang Pauh. Rentetan peristiwa yang terungkap sebelum pendakwaan dibuat menjadi bukti bahawa fitnah mutakhir ini dicedok daripada skrip fitnah 1998. Hanya pada episod terbaru ini, tiada episod hitam mata lebam dan rakan subahat melakukan jenayah. Pada episod kedua ini, para konspirator telah melakukan beberapa perubahan plot agar ianya kelihatan lebih teratur. Fitnah terbaru kali ini menampilkan si pengadu sebagai seorang mangsa yang tidak berdaya. Ini dibuat setelah menyedari kaedah pengakuan ala Stalin dan kaedah mengheret mangsa-mangsa ke khalayak awam sebagai mereka yang bertaubat dan menyesali perbuatan terkutuk yang dilakukan sebelum ini sukar diterima malahan dicemuh rakyat.
Kerana itu semasa keseluruhan pertanyaan pendakwa terhadap pengadu, pihak pendakwa sedaya upaya berusaha melakar gambaran kononnya si pengadu ini seorang anak muda yang lemah, naif dan tidak berdosa. Si pengadu digambarkan sebagai seorang yang menyatakan kebenaran serta kesaksiannya perlu dipercayai walaupun bukti menyatakan sebaliknya. Hakikatnya si pengadu hanyalah seorang yang disingkir dari universiti, diambil bekerja secara sambilan untuk menolong Ketua Staf saya dan semata-mata digunakan sebagai bidak catur demi niat jahat mereka terhadap saya. Namun mahkamah memutuskan selepas penggulungan kes pendakwaan bahawa dia sesungguhnya seorang saksi yang benar.
Konspirasi ini dirancang teliti dan melibatkan Perdana Menteri sendiri dan isterinya Rosmah Mansor. Berdasarkan pengakuan si pengadu, dia telah menemui Perdana Menteri dan isterinya di kediaman mereka dan di situlah dia mengadu kononnya menjadi mangsa jenayah seksual. Kenyataan awal Dato’ Sri Najib bahawa beliau telah bertemu dengan pengadu semata-mata untuk berbincang mengenai biasiswa merupakan satu dusta dan hanya ditarik balik selepas pendedahan dibuat melalui media sosial dan blog-blog internet. Dato’ Sri Najib dan Rosmah agak ketara tidak mahu kelihatan dekat atau terlibat dengan konspirasi ini apatah lagi lantaran penglibatan mereka dalam beberapa skandal lain yang telah dibangkitkan di parlimen. Sehingga kini dokumen-dokumen tersebut belum dinafikan. Ternyata pertaruhan dalam konspirasi ini mahal harganya. Maka konspirasi ini direncana teliti agar tidak menemui jalan buntu. Kemungkinan tersebut lebih nyata manakala BN yang dipimpin UMNO kian tergugat dan mungkin kehilangan kuasa kepada Pakatan Rakyat.
Pertuduhan utama konspirasi ini adalah untuk merekayasa fitnah terhadap saya kononnya melakukan liwat. Mereka berhasrat memburukkan peribadi dan kewibawaan saya menjelang kempen menjelang pilihanraya kecil tersebut. Bagi mencapai tujuan ini, serangan media ganas dan jijik dilancarkan serentak, antaranya dengan menganjurkan perhimpunan dan ceramah di mana tumpuan perdebatan itu bukanlah berkaitan isu-isu sosial, ekonomi atau politik. Kandungan ceramah mereka semata-mata berkenaan fitnah terhadap diri saya dengan tujuan  mencemar akhlak saya di mata rakyat.
Para dalang tersebut, dengan alasan tersendiri memperolehi maklumat dalaman pihak pendakwaan yang kemudiannya digunakan maklumat tersebut untuk dijaja ke seluruh negara secara jelek dan lucah untuk membunuh keperibadian saya secara terancang sebab-sebab tertentu, memperolehi maklumat rahsia yang bakal digunakan pihak pendakwaan dan menjelajah keseluruh kawasan untuk memcemar keperibadian saya demi memastikan kekalahan pilihan raya kecil tersebut. Walaubagaimanapun Allah Maha Besar, Alhamdulilah saya memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti undi sebanyak 15,000.
Keghairahan melenyapkan karier politik tidak pernah pudar sama sekali. Dato’ Sri Najib menyangka dengan menghancurkan masa depan saya, maka sekaligus meranapkan prospek Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan.
Justeru, semuanya dikerahkan agar dapat menyumbat saya ke penjara sekali lagi serta memastikan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO terus memerintah.
Mengambil kira kesemua perkara di atas, saya nyatakan di sini bahawa perbicaraan ini walau apapun maksud dan tujuannya hanyalah suatu sandiwara. Saya menegaskan demikian bukan kerana saya membenci Yang Arif atau menyimpan dendam terhadap sesiapa. Apa yang saya nyatakan dari kandang tertuduh ini adalah apa yang saya yakin berdasarkan kebenaran. Dan keyakinan ini lahir hasil dari berkhidmat demi rakyat selama lebih dari 40 tahun, yang mana ¼ dari tempoh itu saya ditahan di Pusat Tahanan Kamunting dan kemudiannya dipenjara di Sungai Buloh.
Hakikatnya saya dihukum dan dipenjarakan bukan kerana saya bersalah, akan tetapi kerana keyakinan saya dan pastinya pada tahun 1998, saya merupakan ancaman jelas kepada pemerintahan kuku besi Mahathir yang berusia lebih dari dua dekad.
Tetapi saya duduk di hadapan kamu di dalam kandang tertuduh hanya untuk bercakap apa yang saya tahu dan apa yang saya percaya dengan keyakinan terhadap kebenaran. Dan keyakinan ini dibawa  setelah berada di dalam perkhidmatan awam selama lebih daripada empat puluh tahun dimana suku daripadanya telah dihabiskan di balik tembok pemenjaraan di Kamunting dan di Sungai Buloh. Hakikatnya saya dihukum penjara bukan kerana apa-apa jenayah yang telah saya lakukan tetapi kerana kepercayaan dan keyakinan politik saya. Lebih tepat lagi, ianya kerana pada tahun 1998, saya telah menjadi ancaman yang jelas terhadap pemerintahan autokratik Mahathir yang berusia lebih dari dua dekad itu.
Saya nyatakan sedemikian sebagaimana yang saya ungkapkan sebelumnya kerana keluhuran mahkamah telah terjejas dan memperlihatkan gejala gejala perbicaraan sandiwara dimana skripnya telahpun dirangka dan hukumannya telahpun termaktub. Saya nyatakan sedemikian kerana sebagai seorang hakim yang mengadili perbicaraan ini, anda tanpa ragu lagi menunjukkan sikap anda yang berat sebelah itu. Saya nyatakan sedemikian kerana anda enggan menarik diri walaupun bukti sikap berat sebelah anda sebagai hakim terhadap saya menggunung banyaknya. Saya menegaskan sedemikian kerana anda membiarkan sahaja segala pencerobohan yang melanggar peraturan dan prosedur manakala anda tidak menghiraukan bantahan saya berkenaan kecurangan pihak pendakwa. Sedangkan penyelewengan serta kecurangan itu pastinya membuatkan seorang hakim yang adil menyedari akan niat jahat pihak pendakwaan.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hakim, firman al- Quran:


 “ .. Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil..”
Surah An-Nisaa: 58

No comments:

Post a Comment