JUARA tiga kali, Singapura mengesahkan slot ke pentas
final Piala AFF Suzuki 2012 dengan mengetepikan Filipina menerusi
agregat 1-0 dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar,
sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan ketika beraksi di Stadium Memorial Rizal, Manila minggu lepas.
Dengan kemenangan ini, Singapura akan menentang sama ada Malaysia atau
Thailand yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua yang
akan berlangsung di Bangkok, malam esok.
Pada perlawanan malam ini, sebaik permainan bermula Singapura lebih
agresif dengan beberapa percubaan berbahaya dan seawal minit ke-10, kubu
pasukan yang diberi gelaran 'The Azkals' diuji, namun rembatan kencang
dari luar kotak penalti tersasar apabila melencong ke kiri gawang lawan.
Pada minit ke-14, benteng pertahanan Filipina terus diuji apabila
larian solo Shahril nyaris membolosi gawan, namun berjaya dikepung
pemain Filipina.
Hasil serangan balas, Filipina hampir berada di depan, tetapi percubaan
penyerangnya gagal mengatasi barisan pertahanan Singapura.
Kehadiran penyokong Singapura di stadium nyata memberi motivasi luar
biasa kepada pemain untuk meneruskan corak permainan menyerang.
Akhirnya, gol yang dicari Singapura tertunai apabila rembatan kencang
Khairul Amri pada minit ke-19 dari luar kotak penalti berjaya menewaskan
penjaga gol Filipina.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Filipina kembali memperkemaskan
permainan, namun kemaraan mereka mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah.
Sebaliknya, gawang pelawat sekali lagi hampir dibolosi apabila tandukan
Baihakki hampir menjaringkan gol kedua buat Singapura pada minit ke-27,
tapi didakap kemas oleh penjaga gol Filipina.
Bersambung babak kedua, Singapura terus menggandakan asakan ke kubu
Filipina, begitu pun tendangan Shahril jauh melencong dari sasaran.
Filipina nyata tidak berputus asa apabila terus melakukan serangan,
namun peluang keemasan yang diperolehi pasukan pelawat gagal digunakan
sebaik mungkin apabila mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah.
Filipina terus berusaha menguji benteng pertahanan Singapura pada
minit-minit terakhir, namun gagal dilaksanakan sehingga kedudukan
tersebut kekal sehingga wisel penamat.
No comments:
Post a Comment