Best Ever, Tolong Klik Sini!

Tuesday, May 11, 2010

Perutusan Tun Hussein Onn Sempena Pilihanraya Kecil

Perutusan dari Tun Hussein Onn

Sempena Pilihanraya Kecil Negeri di Parit Raja, Johor

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Pertama sekali, saya memohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menemui anda semua. Keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Saya harap anda dapat menerima perutusan saya ini sebagai pengganti diri. Kedua, saya ingin meminta maaf sekali lagi kerana tujuan perutusan ini adalah untuk meyakinkan anda semua untuk mengundi calon Bebas, Tuan Hj. Hamdan Yahya, yang menggunakan simbol IKAN, dan bukannya calon UMNO Baru.

Saya mengambil pendirian ini bukan dengan niat untuk memecah-belahkan orang Melayu. Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa penyokong-penyokong calon Bebas, Tuan Hj. Hamdan Yahya, dan saya sendiri tidak lagi mengasihi orang Melayu, ini tidak benar. Jika mereka mengatakan bahawa kita tidak akan berjuang untuk kesejahteraan orang Melayu, ini juga tidak benar.

Kita semua menyokong perjuangan UMNO. Kita semua sayangkan UMNO. Kita masih mahu kekal sebagai ahli UMNO. Tetapi parti yang kita sokong, sayangi dan yang mahu kita dampingi ialah UMNO YANG ASAL – UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Allahyarham ayah saya dan didukung oleh Yang Teramat Mulia Tunku, oleh Allahyarham Tun Razak, oleh saya sendiri dan untuk suatu jangkamasa, oleh Yang Amat Behormat Dr. Mahathir sendiri.

Malang sekali, pemimpin-pemimpin pada masa ini telah mengenepikan sama sekali UMNO YANG ASAL. Mereka tidak menghormati perjuangan dan pengorbanan pemimpin lama. Mereka telah menggunakan pembubaran UMNO ASAL sebagai alasan untuk menubuhkan UMNO Baru. Sebagaimana yang anda semua tahu, walaupun UMNO Baru menggunakan nama UMNO, perlembagaan dan semangatnya jauh berbeza dari UMNO YANG ASAL. Tambahan pula, pemimpin-pemimpinnya dengan sengaja telah menolak bulat-bulat penyertaan ahli-ahli UMNO ASAL sebagai ahli-ahli UMNO Baru, kerana takut ianya akan menggugat kedudukan dan kepentingan mereka. Dan usaha kami untuk membetulkan keadaan ini telah menemui kegagalan. Perkara inilah yang paling menyedihkan saya dan rakan-rakan saya. Oleh sebab itulah kita tidak boleh menerima UMNO Baru secara sukarela dan ikhlas.

Saya yakin, dan rakan-rakan saya juga yakin, bahawa walaupun UMNO ASAL telah diisytiharkan sebagai tidak sah, ia masih boleh dihidupkan semula terutama jika pemimpin-pemimpinnya pada masa ini benar-benar ikhlas dan sayangkan parti. Jelas sekali, kepimpinan sekarang, bagi menjaga kepentingan mereka sendiri, telah mengambil kesempatan dari pembubaran UMNO dengan mengunakannya sebagai alasan untuk menubuhkan UMNO Baru. Di waktu yang sama, mereka menolak keahlian sesiapa juga yang dirasakan akan mencabar dan menggugat kedudukan mereka. Perlembagaannya telah diubah sebegitu rupa sehingga mereka yang tidak dibenarkan menjadi ahli tidak mahu mendaftarkan diri. Malah, jika mereka mendaftarkan diri sekalipun, lambat laun mereka akan menyedari sejauh mana semangat UMNO Baru telah menyimpang dari semangat UMNO ASAL. Mereka ini kemudiannya akan menarik diri dari UMNO Baru.

Pendek kata, pertama kita telah dinafikan keahlian di dalam UMNO Baru. Kedua, walaupun keahlian diperolehi, kita tidak bersetuju dengan perlembagaan dan corak kepimpinannya. Oleh itu, kita tiada pilihan selain dari menjauhi dan menentang UMNO Baru.

Kita semua mahukan perpaduan. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah perpecahan yang semakin meruncing. Apa yang lebih menyedihkan ialah perpaduan sesama kita. Kita mahu bertolak ansur. Kita mahu berdamai. Kita mahu melupakan segala perbalahan. Kita mahu pulang ke jalan yang benar. Tetapi, sebagaimana yang anda semua tahu, segala usaha ke arah perpaduan telah gagal. Mereka yang berkuasa tidak mengendahkan cadangan-cadangan kita. Mereka memekakkan telinga terhadap nasihat kita. Kita semua dapat melihat bagaimana sesiapa yang memberi nasihat, yang berselisih faham atau pendapat dengan mereka yang berkuasa berkenaan apa juga dasar kerajaan akan dikecam, digantung atau dipecat dari jawatan mereka.

Segala usaha dari dalam telah menemui kegagalan. Sebab itu kita sekarang terpaksa bertindak dari luar – sebagai ahli Bebas. Alhamdulillah, kita telah berjaya di Johor Bharu. Dan insya’Allah, dengan sokongan anda, kita akan berjaya di Parit Raja.

Bukan niat kita untuk menentukan siapa yang lebih kuat. Jika kita menang – alhamdulillah. Ia akan membuktikan bahawa corak kepimpinan sekarang tidak seluruhnya diterima oleh rakyat. Kita tidak akan menjadi angkuh atau besar kepala dari kemenangan kita. Kita tidak akan membalas dendam. Jika kita tewas sekalipun, kita tidak akan patah semangat, kerana tujuan utama kita adalah untuk menghentikan atau sekurang-kurangnya menyekat ketidakadilan dari terus berleluasa. Segalanya terpulang kepada anda untuk menentukannya.

Tidak dinafikan kerajaan yang ada sekarang telah banyak berbakti kepada rakyat. Sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian. Tetapi tidak dinafikan juga bahawa mereka telah banyak melakukan ketidakadilan, atau sekurang-kurangnya telah membenarkan ketidakadilan ini berlaku. Selain dari melakukan pindaan yang banyak ke atas perlembagaan UMNO Baru, mereka juga telah melakukan perubahan-perubahan ketara ke atas Perlembagaan negara bagi mengukuhkan kedudukan dan kepentingan peribadi mereka.

Pemimpin-pemimpin terdahulu, termasuk saya sendiri, pernah meminda beberapa Akta. Tetapi ia dilakukan untuk menjaga kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi. Kami sentiasa menghormati hak individu dan hak berorganisasi di negara ini. Kami sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang (the rule of law).

Tidak pernah terjadi di dalam sejarah negara ini Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah Tinggi digantung berdasarkan tuduhan-tuduhan yang tidak jelas dan yang dirancang. Media massa – akhbar, radio dan television – telah dikawal sebegitu rupa sehingga terpaksa menyebelahi kerajaan dalam apa juga perkara. Mereka takut sekali untuk mendedahkan – apa lagi mengkritik – kelemahan dasar-dasar kerajaan dan pelaksanaannya. Sesiapa yang berani untuk bersuara, mengkritik atau menentang akan disingkir habis-habisan. Ramai di antara kita terpaksa berdiam diri walaupun kita tahu keadaan di dalam negara tidak menentu dan mengalami kesukaran. Ramai juga yang telah menjadi "Pak Turut" ("Yes Men") untuk menjaga periuk nasi mereka.

Saya mahu anda sedar bahawa satu demi satu kebebasan dan hak asasi kita telah disekat. Dan adakah ini demi kepentingan negara kita? Tidak, ia untuk kepentingan segelintir inividu sahaja.

Kita telah lihat bagaimana salahlaku seperti kontrak-kontrak BMF, UMBC, EPF-MAKUWSA dan Lebuhraya Utara-Selatan telah dibenarkan berlaku tanpa sebarang tindakan diambil. Seruan rakyat supaya perkara ini dipertanggungjawabkan tidak dihiraukan. Banyak persoalan masih tidak berjawab. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, dan dengan munculnya berbagai bentuk halangan dan pencabulan kebebasan – baik kebebasan akhbar mahupun kehakiman – lambat laun tiada apa yang dapat menghalang pihak berkuasa dari menutup apa juga salahlaku pada masa ini atau di masa hadapan. Akhbar tidak akan berani menerbitkan berita demikian, pegawai-pegawai kerajaan tidak akan berani membuat pendedahan, dan jika dibawa ke mahkamah, para Hakim tidak akan berani membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan.

Bagi saya dan rakan-rakan saya, jawapannya jelas – kami tidak. Kita harus bertindak, dan bertindak serta-merta. Oleh kerana kita tidak dapat berbuat apa-apa dari dalam, kita tiada pilihan lain selain daripada mencalonkan seorang calon Bebas, Tuan Hj. Hamdan Yahya. Dan saya merayu kepada anda semua untuk memahami dan benar-benar menyedari keadaan yang berlaku di negara kita dan menyokong calon Bebas, Tuan Hj. Hamdan Yahya.

Akhir sekali, marilah kita berdoa ke hadhrat Allah SWT agar memberkati segala amalan kita. Marilah kita memohon Pertolongan dan Petunjuk HidayahNya dan semoga Dia membuka hati kita agar dapat membezakan yang hak dari yang batil, dan semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menegakkan kebenaran.

Yang benar,

Tandatangan

(TUN HUSSEIN ONN)

Kuala Lumpur: October 1988

* Catatan Pemantau II - Sesiapa yang berketurunan Onn tu, jangan le buat-buat tak faham pulak dengan maksud mendalam dari perutusan Tun Hussein Onn ni.

** Catatan Marina Yusof - This article should be printed and widely distributed to all the kampongs esp to the old UMNO members asap so that it would be easier for the coming General Elections. - Kak Marina

No comments:

Post a Comment