Exco Pemuda MIC Pusat A Kalaiarasu cedera ditembak di perut dan tangan kiri ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun, Kajang, petang semalam.
Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang semalamitu, Kalaiarasu, 49, ditembak dengan sepucuk pistol automatik oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dengan penutup muka penuh dan jaket hitam.
"Dua tembakan dilepaskan ke arah mangsa dan mengenai badannya. Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu," katanya.
Sejurus kejadian itu, beliau berkata mangsa melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan di Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
"Mangsa membuat aduan pada anggota di balai polis itu sebelum anggota saya menghantar mangsa ke Hospital Kajang.
"Menurut mangsa, kedua-dua suspek berumur lingkungan 20an dan melarikan diri menaiki motosikal kapcai. Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motor itu," katanya.
Sakaruddin berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment