SERDANG: Pendapatan kecil sebagai tukang kayu menyebabkan seorang lelaki mewariskan kemahiran baru sebagai pengedar dadah kepada anak lelakinya bagi memastikan keluarga terbabit hidup mewah.
Lelaki berusia 50-an terbabit didakwa mengajar anak lelakinya kaedah ‘pemasaran’ berkesan selain strategi untuk mendapatkan pembeli tetap bagi memastikan aktiviti penjualan dadah dari rumah itu mendapat sambutan berterusan. Difahamkan, hasil kegiatan haram itu, keluarga terbabit hidup senang lenang, memiliki beberapa kereta selain memperoleh pendapatan sehingga lima angka dalam beberapa minggu.Kesenangan hidup yang dikecapi hasil pekerjaan menjual dadah, bagaimanapun hanya sempat dinikmati selama sebulan apabila kedua-dua mereka dicekup polis dalam serbuan di rumah mereka di Taman Kantan, Batu 8 1/2, Kinrara, Puchong di sini, kelmarin. Ketua Polis Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata serbuan kira-kira jam 7.15 malam itu dilakukan di rumah suspek selepas polis menerima maklumat suspek terbabit pengedaran dadah.
Beliau berkata, ketika serbuan, polis mendapati sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka berada di dalam rumah.
Bagaimanapun menurutnya, anak pasangan terbabit berusia 25 tahun melarikan diri ke bilik bapanya untuk bersembunyi sebaik menyedari kehadiran polis.
“Polis menahan anak pasangan terbabit sebelum melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan. Polis yang memeriksa bilik utama menemui 210 gram dadah jenis ketamin dan 60 pil Eramin 5.
“Polis menahan tiga beranak terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, semalam.
Hasil siasatan, katanya, polis mendapat tahu lelaki berusia 57 tahun yang ditahan itu seorang tukang kayu yang sudah bersara dan kini mewariskan pekerjaan itu kepada anaknya.
Beliau berkata, dua beranak terbabit baru sahaja berjinak-jinak mengedar dadah sebagai pendapatan tambahan sejak sebulan lalu.
“Modus operandi dua beranak ini ialah mengambil tempahan melalui telefon dan menghantar dadah terbabit kepada penagih secara terus atau meminta mereka datang ke rumah,” katanya.
Beliau berkata, tukang kayu bersama anaknya kini direman empat hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala ibunya dibebaskan kerana didapati tidak terbabit kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
No comments:
Post a Comment