Best Ever, Tolong Klik Sini!

Wednesday, December 23, 2009

Skim 1Malaysia: Rakyat Didahulukan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal memperkenalkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bermula 3 Januari 2010.

Skim itu bagi mengatasi kekurangan simpanan semasa bersara bagi golongan yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, pemandu teksi, penjaja dan pemilik perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kekurangan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutama golongan bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap bulanan.

Menurutnya, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menawarkan fleksibiliti kepada golongan itu dalam menentukan berapa jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan.

“Ahli boleh memilih untuk mencarum jumlah minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan. Ini bergantung kepada tahap kemampuan mereka.

“Bagaimanapun, mereka digalakkan mencarum sejumlah wang secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya ke dalam skim persaraan ini kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan,” katanya, semalam.

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia pada pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lalu berlandaskan tanggungjawab sosial.

Ini mengambil berat kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri iaitu kategori individu tidak mempunyai skim simpanan persaraan secara formal.

Katanya, jumlah caruman Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bergantung kepada tahap kemampuan pencarum.

“Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan,” kata Azlan.

Ahli akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP, tambahan kepada sumbangan kerajaan lima peratus dan tertakluk jumlah maksimum RM60 setahun, selama lima tahun bermula dari 2010 hingga 2014.

No comments:

Post a Comment