Best Ever, Tolong Klik Sini!

Showing posts with label Kronisme. Show all posts
Showing posts with label Kronisme. Show all posts

Friday, July 23, 2010

PM Najib 'Tabur' RM50 Ribu Untuk Dapatkan Liputan Akhbar Amerika

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar sebuah firma perunding politik yang berpangkalan di Washington RM50,000 (US$15,000) untuk membantunya memastikan rencana pendapat pengarang yang ditulisnya, diterbitkan di akhbar-akhbar utama di Amerika Syarikat.

Dan sekiranya hasil tulisannya itu disiarkan, maka perdana menteri akan mengeluarkan bayaran tambahan RM50,000 sebagai habuan untuk 'yuran kejayaan' kepada perunding berkenaan.

Perkara ini didedahkan menerusi dokumen yang difailkan di bawah Akta Pendaftaran Agen Asing oleh firma Quinn Gillespie & Associates (QGA), sebuah badan perunding perhubungan awam dan pelobi yang terkemuka di Washington DC.

Menurut dokumen yang diperolehi oleh Malaysiakini, QGA diberi tugas oleh sebuah lagi firma perunding, Kumpulan The Laurus, bagi cuba menyakinkan akhbar utama di Amerika bagi menyiarkan artikel Najib.

Kumpulan The Laurus, sebuah firma perhubungan awam yang diragui dengan laman webnya yang masih dalam pembinaan - juga diberikan tanggungjawab mengendalikan perkhidmatan perhubungan awam ketika lawatan seminggu Najib ke Washington DC dan New York dari 10 hingga 16 April tahun ini.

Najib, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berjumpa dengan Presiden Amerika, Barack Obama pada 12 April lalu di Washington.

Pasangan itu kemudiannya berlepas ke New York bagi upacara penyampaian Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010 kepada Rosmah. Majlis gilang gemilang dan jamuan gala itu turut dihadiri oleh bintang-bintang Hollywood.

'Yuran tak dikembalikan'

Pada surat perjanjian bertarikh 14 April antara dua firma perunding itu – QGA dan Laurus – dinyatakan QGA 'akan membekalkan perkhidmatan perhubungan awam dan media bagi pihak kerajaan Malaysia berhubung penyiaran rencana pendapat pengarang yang dihasilkan oleh perdana menteri Malaysia'.

Menurut perjanjian itu lagi, Laurus akan membayar QGA 'yuran US$15,000 yang tidak boleh dikembalikan sepanjang tempoh bermula 14 April, 2010 dan berakhir pada 20 April 2010'.

'Sekiranya QGA berjaya menempatkan rencana itu di penerbitan media utama, Laurus akan membayar QGA yuran kejayaan US$15,000. Yuran itu mesti dijelaskan dalam tempoh 30 hari selepas artikel berkenaan disiarkan'.

Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyebut akhbar-akhbar utama yang mana tulisan pendapat Najib itu sepatutnya disiarkan.

Semakan dengan beberapa akhbar utama Amerika - Washington Post, New York Times dan Wall Street Journal – menunjukkan tiada rencana pendapat seumpama itu disiarkan.

Na
mun, Washington Times– sebuah akhbar yang dibiayai oleh pemimpin Gereja Unification, Sun Myung Moon – ada menerbitkan lampiran mengenai Malaysia, sehari sebelum Najib melawat ibu negara Amerika itu.

Yang menarik, pejabat kedua-dua Laurus dan QGA terletak di tingkat yang sama di sebuah bangunan di Connecticut Avenue. Washington, DC.

Kumpulan The Laurus juga dipercayai terbabit dengan iklan dua halaman kontroversial di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah kerana menerima anugerah keamanan tersebut.

Thursday, July 22, 2010

Ushawan Malaysia Disiasat Berhubung Komisyen RM11 Juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menyoal-siasat seorang usahawan negara ini berhubung komisyen RM11.3 juta yang diterimanya daripada dua firma Australia sebagai usahanya membantu mereka memenangi kontrak bagi mencetak dan membekalkan wang negara.

Menurut akhbar,The Age di Melbourne, pihak berkuasa Australia telah memohon bantuan SPRM bagi siasatan membabitkan bayaran komisyen RM134 juta (A$47.5 juta) yang dibayar oleh firma mencetak wang Securency and Note Printing Australia - kedua-duanya anak syarikat Bank Negara Australia - Reserve Bank of Australia (RBA) - sepanjang tempoh enam tahun.

"Sumber risikan daripada soal-siasat telah dihantar kepada pasukan polis persekutuan Australia bagi menentukan sama ada eksekutif dua anak syarikat RBA itu untuk melanggar undang-undang anti-rasuah,” kata laporan itu.

"Orang tengah (Malaysia) dibayar wang bagi membantu firma RBA mendapatkan kontrak mencetak dan membekalkan wang daripada Bank Negara Malaysia...”.

Mengikut undang-undang Australia, adalah satu kesalahan bagi syarikat ataupun individu membayar pegawai asing bagi mendaptkan kelebihan dalam perniagaan. Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimun 10 tahun dan boleh dikenakan denda yang berat.

Usahawan Malaysia yang tidak dinamakan itu didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan dipercayai akrab dengan pegawai kanan kerajaan yang menerima sogokan komisyen yang dibayar oleh firma RBA.

Menurut
The Age juga, usahawan itu juga pernah bertindak sebagai broker bagi kilang membuat senjata kerajaan Pakistan.

Wednesday, July 21, 2010

Pakatan Rakyat Persoal Mengapa Dagangan Minyak Wajib Gunakan CIMB?

Pakatan Rakyat persoal mengapa pengusaha minyak diwajibkan guna khidmat bank CIMB untuk semua perdagangan minyak.

Pakatan Rakyat mencurigai motif disebalik arahan terbaru kerajaan ini yang dibuat selepas kenaikan harga minyak diumumkan minggu lalu.

Bermula 1 September ini, semua perdagangan minyak, baik cek mahupun tunai, diwajib menggunakan sistem auto-debit CIMB. Adalah difahamkan bahawa CIMB akan mengenakan caj RM10 bagi setiap seribu keping wang yang didebitkan, manakala caj RM1 untuk setiap seratus keping duit yang didebitkan.

Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia mengesyaki adanya usaha pihak tertentu untuk memonopoli pergadangan minyak tanahair, yang dijangka mengaut keuntungan yang jauh lebih tinggi selepas pemotongan subsidi 15 Julai lepas.

Apa yang amat mencurigakan adalah pengusaha stesen minyak dinasihatkan membuat bayaran debit dibilik pegawai tertentu bagi mengelakkan terdedah kepada pengetahuan umum.

“Kenapa dilakukan satu pemaksaan kepada penjual supaya hanya berurusan dengan CIMB melalui auto debit. Ini satu bentuk monopoli yang dipaksakan kepada penjual.”

Sallehuddin merasakan arahan baru ini menekan pengusaha-pengusaha minyak yang menggunakan bank pilihan masing-masing atas pelbagai sebab tertentu, seperti jarak dari stesen minyak, kemesraan pengguna, dan sistem perbankan yang lebih menyakinkan.

Menurut Sallehuddin, perkhidmatan Maybank misalannya tidak mengenakan caj tambahan untuk sebarang transaksi auto-debit.

Lantas, beliau mencurigai kewajaran arahan itu, dan mensyaki apakah ia ada hubung kait dengan individu tertentu dalam bank itu.

“Saya bawa isu ini kerana tidak mahu ada monopoli yang memaksa penjual minyak dipaksa yang mana saya difahamkan akan berkuatkuasa 1 September ini.”

Tuesday, July 20, 2010

Jutawan Malaysia Berjoli Dengan Paris Hilton



Semua orang mula mahu mengenali seorang ahli perniagaan Malaysia yang rapat dengan pihak berkuasa dikatakan bersama artis barat Paris Hilton ketika beliau ditahan kerana memiliki dadah marijuana. Namanya ialah Taek Jho Low, seorang lelaki awal 20an berkelulusan The Wharton School, University of Pennsylvania.

Tidak banyak yang diketahui tentang lelaki berwajah baby face ini, tetapi cerita-ceritanya banyak berkisar kerana sering membelanjakan berpuluh ribu dolar di pusat hiburan sekitar bandar raya. Ini antara apa yang diketahui:


Nama: Take Jho Low

Umur: 28

Pekerjaan: Secara rasminya dia seorang penasihat untuk beberapa syarikat antarabangsa, tetapi tiada siapa mengetahui adakah ia benar ataupun kelihatan seperti benar. Kata orang dia terlibat dalam perniagaan minyak, gas, dan pembinaan. Dia juga telah dilantik sebagai ahli lembaga bank Malaysia UBG Berhad tahun lepas. Ada juga khabar angin yang mengatakan dia terlibat dalam perniagaan senjata.

Kediaman: Menyewa di beberapa pangsapuri di Park Imperial, West 57th St di kawasan tengah bandar dimana dia tinggal bersama-sama kakitangannya—termasuk beberapa orang pengawal peribadi. Penduduk kawasan itu yang terkenal termasuklah Daniel Craig dan Sean Combs.

Perarakan: Menjelajah bandar bersama pengiringnya dalam satu armada Escalades.

Perbelanjaan Kelab Malam:
* Membelanjakan $160,000 dalam satu malam di Avenue pada September semasa Minggu Fesyen.
* Kebiasaannya membelanjakan antara $50,000 dan $60,000 di Pink Elephant.
* Membelikan Lindsay Lohan 23 botol-botol arak Cristal di 1OAK apabila beliau meraikan hari jadi yang ke-23.

Majlis Harijadi:
* Baru sahaja meraikan ulang tahunnya yang ke-28 selama empat hari di Ceasar Palace di Las Vegas.
* Megan Fox telah diterbangkan ke Vegas untuk melepak dengannya, yang secara rutin di kelilingi dengan model-model.
* Kolam renang hotel yang dikelilingi oleh singa-singa dan harimau-harimau yang terkurung dalam sangkar dan dipenuhi dengan gadis-gadis bikini. Kemudian, di kelab malam, Low membeli 120 botol arak jenama Cristal untuk berhibur.
* Jamie Foxx memberinya sebuah kereta lumba merah sebagai hadiah.
* Paris Hilton dan Usher turut menghadiri parti itu.

Penderma kepada: Hamad Alwazzan Kuwait

Champagne Pilihan: Cristal, dia akan membelikan kepada sesiapa yang meminta.



Paris Hilton mengambil bahagian dalam satu sesi foto mini di sebuah bot di Paris, Perancis hari ini (15 Julai).

Waris perempuan 29 tahun ini memakai baju merah jambu terang dengan sebutir berlian besar , berpakaian ketat dan tumit tinggi sambil memberikan gaya istimewa kepada jurugambar di atas air dengan menara Eiffel sebagai latar belakang.

Paris telah menghabiskan harinya di bot itu bersama kakaknya Nicky Hilton dan jutawan Malaysia Taek Jho Low.

Ke Mana Pergi Subsidi Kami - Dr Maza

Transaksi Perdagangan Minyak Melalui Bank Kroni Najib

Dakwaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan segala transaksi perdagangan minyak mesti melalui perbankan CIMB wajar dipersoal, kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.


"Adakah kerana CEOnya (ketua pengarah eksekutif) adalah adik perdana menteri, maka pengedar-pengedar Shell dipaksa membuat auto-debit dengan CIMB?" soalnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut Harkahdaily, difahamkan, arahan mandatori itu mula berkuatkuasa pada 1 September depan.

Dari aduan yang diterima, katanya, mereka yang terbabit lebih berminat melakukan transaksi secara cek dan tunai menggunakan perkhidmatan Maybank serta bank-bank terdekat dengan stesen minyak masing-masing atas faktor keselamatan.

Menurut Salahuddin Petronas Dagangan Berhad (PDB) sendiri difahamkan tidak bersikap regid berhubung kaedah pembayaran debit minyak demi keselamatan dan kemudahan para pemilik stesen minyak.

Arahan terbaru pentadbiran Najib itu, katanya lagi, sekaligus menyukarkan para pengusaha stesen minyak memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan CIMB sekarang dilihat agak terhad jika dibandingkan dengan Maybank di seluruh negara.

Dari segi yang lain, beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, pengurusan CIMB seakan mengambil kesempatan atas arahan terbaru pentadbiran Najib itu.

"Selepas 1,000 keping wang yang didebitkan dalam mesin, mereka akan dicaj RM10. Setiap 100 keping yang didebit selepas itu, akan dicaj pula RM1. Mengapa mereka dipaksa sebegini," ujarnya.

Menurut Salahuddin, Maybank sehingga kini tidak pernah mengenakan caj pada sebarang transaksi auto-debit, cek ataupun tunai.

Malah, tambahnya lagi, pengusaha stesen minyak turut dinasihatkan membuat pembayaran debit di bilik pegawai akaun tertentu secara eksklusif supaya tidak terdedah kepada pengetahuan umum.

Friday, June 18, 2010

Aset Taib Mahmud Terkumpul Di Kanada?

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan anggota keluarganya didakwa memiliki hartanah bernilai lebih C$100 juta (RM320 juta) di Kanada, lapor sebuah laman anti-Taib - Sarawak Report.

Lamanweb itu mendakwa, ia termasuk kompleks mewah - PrestonSquare (kanan) dengan menara kaca kembar yang menyediakan ruang pejabat dan kompleks membeli-belah mewah di wilayah komersial bernilai tinggi di pusat bandar Ottawa.

Menurutnya, dengan menempatkan ruang pejabat syarikat multinasional seperti Xerox, Adobe dan Sun Life, projek tersebut menyediakan sumber kewangan tambahan daripada kutipan sewaan, kepada keluarga Taib.

Wednesday, December 16, 2009

Kronisme Merebak Masuk Universiti Malaya

Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon pagi tadi didakwa mengamalkan kronisme dalam pengambilan staff universiti itu.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria, perlantikan Dr. David Ngo Check Leng dan Dr. David Asirvatham tidak melalui temuduga rasmi Universiti."Dr. Gauth perlu jelaskan asas-asas perlantikan dua staff terbabit...suatu perlantikan pelik," jelasnya. "Perlantikan itu ganjil (kerana) tiada temuduga, seolah-olah (seperti) tender tertutup."

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa ragu terhadap Dr. Gauth kerana kedua-dua staff terbabit merupakan rakan sekerja Naib Canselor itu di Universiti Multi Media (MMU) dahulu.

"Adakah kedua-dua (staff) ini adalah rakan sekerja lama Dr. Gauth di MMU dulu, maka mereka boleh dilantik sewenang-wenangnya di UM," soalnya.

Dalam kenyataan bertulis, Nasir turut memertikai kelayakan minima David Ngo Chek Leng dianugerahkan Profesor serta dilantik sebagai Dekan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

"Beliau tidak memenuhi syarat minima (seperti) mendapat kredit bahasa Melayu dalam SPM, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh seorang penjawat awam," jelasnya.

Beliau turut memperikai Dr. David Asirvatham yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dengan tawaran gaji begitu misteri, RM18,000 sebulan.

Dakwanya lagi, disiplin pengajian Dr. David Asirvatham dalam bidang e-Learning, sedang disiplin pengajian yang menjadi syarat kelayakan minima bagi Pengarah PTM adalah dalam bidang Sains Komputer.

Nasir turut mendesak Dr. Gauth dan dua staff terbabit digantung dari jawatan mereka masing-masin sebagaimana amalan biasa perjawatan awam demi memudahkan siasatan oleh pihak berwajib.

Beliau juga bercadang untuk memanjangkan dakwaan tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Khaled Noor dalam masa terdekat.Turut menyertai Nasir, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussein dan dua exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).