Best Ever, Tolong Klik Sini!

Friday, August 26, 2011

Gerakan Kiri Kemerdekaan - Sejarah Yang Cuba Dihilangkan

PETALING JAYA: Ketika negara kita sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 tidak berapa lama sahaja lagi, generasi muda negara ini masih kurang didedahkan dengan ‘sejarah yang dikaburkan’ di dalam lipatan sejarah.

Tatkala menjelang 31 Ogos saban tahun kita akan diperingatkan akan jasa dan pengorbanan Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan juga beberapa nama lain yang turut berusaha untuk mencapai kememerdekaan negara.


Lazimnya nama-nama ini merupakan nama-nama yang mempunyai kaitan rapat dengan parti pemerintah yang juga telah 54 tahun mentadbir negara ini.

Mengenang jasa mereka memanglah merupakan sesuatu yang baik tetapi agak malang, hakikatnya negara ini memiliki sejarah perjuangan kemerdekaan yang lebih kaya dan panjang dari yang disangkakan, lebih berwarna, pelbagai plot, lebih berliku, keringat, air mata dan darah yang telah tertumpah.

Agak sedih apabila sejarah ini dimiskinkan apabila hanya segelintir watak terpilih sahaja yang kerap ditonjolkan sebagai wira negara di dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.


Artikel ini sama sekali tidak memperkecilkan dan jauh sekali menafikan peranan yang dimainkan oleh nama-nama besar yang kerap diulang-ulang di kaca tv dan media-media perdana lain.


Apatah lagi bertujuan menghidupkan kembali gerakan mana-mana golongan kiri yang pernah wujud di negara ini yang memungkinkan penulis dihumban ke dalam tahanan ISA, tentu sekali tidak.


Ianya tidak lebih hanya untuk sama-sama berkongsi sejarah yang dikaburkan untuk manfaat generasi muda supaya lebih menghargai dan menghayati erti kemerdekaan negara ini.

Anggota PKM Melayu tak percaya agama?


Mungkin ramai antara kita yang pernah terbaca artikel-artikel di media arus perdana atau kenyataan oleh pemimpin-pemimpin politik yang sering mengaitkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai golongan yang tidak percaya kepada agama.


Selepas 22 tahun peristiwa PKM, Kerajaan Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian perletakkan senjata yang juga disebut sebagai Perjanjian Haadyai tindakkan pihak tertentu mengaitkan bekas anggota-anggota komunis tersebut sebagai golongan yang menolak agama boleh dianggap sebagai tindakkan menuduh kafir terhadap pihak berkenaan yang berketurunan Melayu.


Lebih-lebih lagi bagi masyarakat Melayu negara ini yang umumnya beragama Islam di negara ini yang pernah digembar-gemburkan dengan isu kafir-mengkafir oleh pihak tertentu.


Ketika umumnya para ulama bersependapat berdosa bagi mana-mana pihak yang mengkafirkan sesama Islam, kita masih berterusan cuba ‘diingatkan’ pihak tertentu bahawa golongan komunis tidak percaya kepada agama.


Menurut hasil kajian yang ditulis dalam sebuah buku berjodol ‘Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Sebelum Kemerdekaan’, tulisan Dr Mohamed Salleh Lamry, anggota PKM berbangsa Melayu ketika itu tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan mereka tidak lagi beragama Islam.


“Satu perkara yang perlu diingati ialah pemimpin gerakan nasionalisme kiri Melayu yang merupakan kader dan pemimpin PKM ini tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam.


“Pendirian mereka terhadap komunisme dan Islam boleh dikatakan hampir sama dengan Haji Misbach, seorang komunis Islam di Indonesia, yang percaya bahawa terdapat keselarasan faham yang mendasar antara Islam dan komunis,” yang dirujuk penulis buku itu dari hasil kajian ahli akademik di Indonesia, Takashi Shiraishi pada 1997.


Anggota PKM Jalani ibadat agama


Menurut kajian yang diterbitkan pada 2006 dan dianggap oleh sesetengah ahli sejarah sebagai bacaan wajib dibaca itu turut mendapati, anggota PKM beragama Islam yang ketika itu masih lagi mengangkat senjata, masih menjalankan ibadat mereka walaupun dalam keadaan yang sukar dan kekurangan.


“Oleh itu, ketika mereka masih lagi terlibat dengan perjuangan bersenjata, apabila keadaan memungkinkan, mereka masih melakukan beberapa ibadat agama, walaupun hanya di paras minimum,” dipetik dari kajian tersebut.


Bina masjid dan sembahyang berjemaah Ibrahim Chik ketika bergiat dalam PKM, pernah diberi tanggungjawab untuk mengimamkan sembahyang berjemaah bersama orang- orang kampung di sebuah masjid yang dibina secara bergotong royong dengan diketuai oleh beliau sendiri.


“Ibrahim Chik khasnya, ketika memimpin kerja massa, pernah mengetuai penduduk kampung membina masjid dan menjadi imam sembahyang secara berjemaah,” menurut kajian itu lagi.


Menurut kajian itu juga, ketika peringkat awal Kampung Perdamaian dibuka setelah perjanjian damai dimenterai, perkara terawal yang dilaksanakan oleh bekas-bekas anggota PKM terbabit ialah membina madarasah yang akhirnya dinaikkan taraf sebagai masjid bagi memudahkan mereka beribadat.


“Selepas mereka memberhentikan perjuangan bersenjata dan tinggal di Kampung Perdamaian pula, mereka dengan segera membina masjid dan seterusnya melaksanakan ibadat sembahyang Jumaat, puasa, menunaikan haji dan juga kelas mengajar al-Quran.


“Dalam hal ini, meskipun mereka mempelajari materialisme dialektik dan materialisme sejarah yang merupakan teras ajaran Marx, tetapi nampaknya mereka hanya menggunakannya sebagai teori untuk menganalisis sejarah dan perkembangan masyarakat sebagai perjuangan dan bukan sebagai akidah yang setaraf dengan agama.


“Perwatakan mereka menunjukkan bahawa label yang tepat diberi kepada mereka tidak lain daripada komunis-Islam atau dengan perkataan lain mereka adalah komunis kerana mereka adalah kader dan pemimpin parti komunis, tetapi mereka tetap beragama Islam.


Kajian tersebut turut menghuraikan anggota-anggota Melayu dari Rejimen Ke-10 PKM tersebut menggunakan fahaman Marxis-Leninis dan ajaran Mao Tze-Dong hanyalah sebagai teori, startegi dan taktik perjuangan politik mereka sekaligus mereka boleh dianggap sebagai komunis, Islam dan juga nasionalis.


“Oleh yang demikian, mungkin lebih secocok dengan kenyataan jika dikatakan antara 1948 hingga 1989 itu mereka berjuang mengangkat senjata dan berada di bawah pimpinan PKM kerana itulah satu-satunya cara mereka anggap paling tepat untuk mencapai matlamat mereka memperjuangkan kemerdekaan tanah air.


“Walaupun mereka berjuang mengikut jalan komunis dan bersama-sama dengan komunis, tetapi pada hakikatnya mereka menggunakan PKM sebagai wadah untuk mencapai matlamat mereka sebagai orang-orang nasionalis.


“Dengan perkataan lain, mereka adalah orang-orang nasionalis yang tetap berpegang pada ajaran Islam tetapi menggunakan fahaman Marxis-Leninis dan ajaran Mao Tze-Dong sebagai teori, startegi dan taktik perjuangan politik.


“Dengan itu pada masa yang sama atau secara serentak, mereka bolehlah dianggap sebagai komunis, Islam dan juga nasionalis,” menurut kesimpulan dari hasil kajian itu.


Kesimpulan oleh mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dibuat berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi ketika membuat kajian untuk penulisan buku tersebut yang diterbitkan oleh Penerbitan UKM.


Fakta-fakta tersebut telah beliau perolehi daripada tiga sumber iaitu yang paling utama ialah tokoh pelaku sejarah itu sendiri iaitu Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah Mohamad Kassim dan Ibrahim Chik.


Di samping menemuramah tokoh-tokoh sejarah terbabit di Kampung Perdamaian, Selatan Thailand, beliau juga memperolehi bahan dalam bentuk teks ucapan, risalah, tulisan lama mahupun baru dari keempat-empat tokoh itu.


Selain itu beliau turut menggunakan fakta dari sumber yang diperolehi daripada penulisan ahli akademik dalam dan luar negara dan juga sumber pihak berkuasa, khasnya dokumen dan penulisan bekas pegawai Cawangan Khas PDRM dan tentera.

No comments:

Post a Comment