Mohd Sayuti Omar
Satu
malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum
melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus.
Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai
agama. Dialek atau slang Terengganu yang diguna pakai dalam berceramah
menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu
kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.
Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?
Tumpuan
saya terpaku kepada you tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan
cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk
menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk
tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tube syarahan ustaz-ustaz
yang lain.
Duration
video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan
kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya.
Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi.
Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai
begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.
Malam
besok sesudah selesai membuat posting akhir - susupan tengah malam -
saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan
I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar
lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula.
Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan
ada keunikan tersendiri.
Satu
tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar
yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik
perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya
memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu.
Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh
anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan
ustaz berjanggut hitam lebat itu.
Ah
rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam
seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.
Maklumat
diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut
anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan
dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya
tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat
dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia
hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini
rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?
Seorang
anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman
remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base
guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum
terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan
memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja
sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah
saya.
Mulanya
saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik.
Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar
pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari
peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan
setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan
kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk
berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.
Pengetahuan
dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak
buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai
mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus
dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi
dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar
belakang dan matlamatnya.
Justeru
bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya.
Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar
belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak
muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi
lisan ceramah-ceramahnya.
Ustaz
Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan
penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh
anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan
berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan
bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan
sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan
sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak
seperti kurang sopan.
Boleh
dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak
kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk
jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi
mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.
Cara
dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga
satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan
sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak
perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dan direct to the
point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna
bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.
Dalam
kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar
sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini
satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis
dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam
gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu
didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu
ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul
di dalam sanubari pendengar.
Kecenderongan siasah
Mengenai
latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka
mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli
Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia
mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong
kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal
ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada
ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi
tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?
Ternyata
sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran
Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari
sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se
Malaysia. Seperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau
menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam
ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang
cukup melucu dan cukup signifiken.
Satu
hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya
menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala
Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata
Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu
juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada
kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam
pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun
untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.
Jadi
bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding
atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat
dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda
yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia
bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat
seperti hari ini.
Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.
Dan
malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang
diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya
memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr
Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan
sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.
Sebelum
ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang
diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati.
Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya
melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri
secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya.
Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.
Masya-Allah..
masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya
merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu
adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia,
termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan
masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter.
Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam
selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup
senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham
Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.
Nah...
begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia -
dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di
perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak
muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang.
Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang
berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke
masjid.
Selalu
ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib
berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun
anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk
semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan
mengharukan jiwa yang insaf.
Semasa
mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa
bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita
membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah
jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa
mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil
Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh
merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.
Untuk
awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan
anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih
ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik
kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada
pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu
fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi
kehebatan kepada negara ini juga.
Jadi
biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani
anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan
wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan
jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak
menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.
Ada
baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik
dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara
langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.
Dalam
tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari
kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan
akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya
tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik.
No comments:
Post a Comment