"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari
ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya
akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang
mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan
kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat :
"Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu
Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang
mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan
kepadanya sesudah ia meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )
1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan
diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa
memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat
yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan
solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan
diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH
s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang
menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama
anak membawa kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan)
daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak
dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan
rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa
menyuruh anak tidur.
3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
, tidak
menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak
kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
seperti
mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama
semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak
orang lain.
5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani
6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium
mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW
mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin
Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya
Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah
mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra'
kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan
dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas.
Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang
menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara
selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.
8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.
9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan
sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang
lebih baik dari salam yang diberi.
10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat
oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.
11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak
mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah,
kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak
Islam.
12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak.
Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.
13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah
kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak,
kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang
masih membesar.
14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan
dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan
bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan
perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.
15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan
anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk
berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. Ustaz Khalid Haji Mohd Isa.
No comments:
Post a Comment