Ada yang berpandangan saya tidak perlu
melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata
biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin
terserlah keperibadiannya yang sebenar.
Saya akui, ada kebenaran nasihat
dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali
ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul
ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah.
Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit,
dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.
Namun, bagi yang tiada maklumat
langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan
dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya,
jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau
terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi
memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit
sejarah saya bersama Hassan Ali.
Sebelum itu, ingin saya sebut
bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah
bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa
nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan
sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat
sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan
sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan
adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai.
Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali
sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak
ketentuan.
SEJARAH RINGKAS
Saya
dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang
paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998.
Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada
tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau
setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS,
penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan
pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.
Saya sering berceramah bersama
beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS
Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua
Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi
semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali
sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil
alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada
tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga,
saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.
Jelas sekali bahawa pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasit tetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.
DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR
Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.
Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.
Ketika usaha kerjasama dengan
UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut
menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau,
“Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas
kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya
mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang
kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya,
itulah peranan seorang kanan.
Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.
Pasti ada yang masih ingat
bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan
Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan
dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.
Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.
MELAGA PAS DENGAN DAP & PR
Selepas
Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya
melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam
pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang
untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan
menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan
niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu
yang mustahil.
Saya sering menegurnya dan
meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya
ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh
supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan
mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa
agendanya itu.
SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ
Akhirnya,
oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan
Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB
Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che
Rosli dilantik menjadi TPJ 3.
Itu semua saya tidak hairan, itu
hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan
saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat
berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan
muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.
Walaupun
saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya
tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.
Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali
menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti
komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga
melalui media.
Ini saya lakukan kerana saya
sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan
beliau dengan OKU UMNO semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali
Puncak Niaga (SYABAS).
TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN
Kumpulan
yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’.
Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri
dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan
terlalu kuat menyokong DSAI.
Oleh itu, penggunaan istilah
yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap
saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan
nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan
seperti ini rupanya.
Kaedah ini membuktikan kerapuhan
hujjah pihak yang cuba memburuk saya. Oleh kerana mereka tidak ada
hujjah dan tidak mampu berhujjah, maka mereka menggunakan kaedah
melabelkan orang atau ‘name calling’.
SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN
Akhirnya
perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya
digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati
bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan
kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa.
Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.
Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.
SOKONGAN HASSAN MERUDUM
Walaupun
saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa
disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku.
Ramai beranggapan bahawa
tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak
lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan,
sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.
Pada 2009 Hassan Ali mendapat
undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011,
beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.
Dalam kes saya pula adalah
sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke
23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun
2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.
Peribahasa menyatakan sudah
jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali
pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa,
beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS
Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas
muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas
pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.
Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.
Untuk melengkapkan kekecewaan
beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan
oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama
beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia. Walaupun telah
dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia
tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.
Pada ketika itu, mungkin Hassan
Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu.
Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’ atau ‘strategi untuk
keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan
beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di
atas.
PEMECATAN HASSAN ALI
Bacaan
saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah
untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan
walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid
sebagai MB Selangor.
Apabila beliau tidak lagi
menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk
menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih
lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia.
Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar
untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.
Dengan dibekal sangkaan buruk
sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan
diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara
lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari
matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi
sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.
Beliau terus melemparkan
tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui
media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan
tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah
apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras
yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.
Apabila dipecat, pada mulanya
Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata
mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu.
Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya
dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan
tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu
melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.
KENAPA SAYA YANG DISASARKAN
Dalam
kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca
kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau
terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan
adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan
aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau
tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang
keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.
Yang pasti beliau telah
menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan
fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah
ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang
pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur)
di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.
Bagaimanakah boleh saya
menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya
exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa
tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar
tanpa tauliah?
Dalam soal pengharaman
penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawsan Shah
Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan
persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah
pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali
tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.
Pada masa itu semua Ahli
Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan
minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya
menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lessen diperbaharui.
Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam
lessen baru. Tidak sempat lessen mati, pihak penguat-kuasa bertindak
tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis
lama.
Hakikatnya kita berbeza dari
segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa
sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik.
Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.
KESIMPULAN
Melalui
tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali
sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau.
Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau
cakap lagi jelas kegilaannya.
Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).
Hadis ini diketengahkan bukan
untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk
menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
KHALID SAMAD
(dipetik dari Harakah Online)
No comments:
Post a Comment