Best Ever, Tolong Klik Sini!

Thursday, March 22, 2012

Kenyataan Media: AIC Kecam Isu Penarikan Balik Pinjaman Pelajaran Oleh Kerajaan Terengganu

Kenyataan Media Untuk Hebahan Segera

ANWAR IBRAHIM CLUB (AIC)

22 MAC 2012

AIC Malaysia terpanggil untuk menilai isu penarikan balik Pinjaman oleh Kerajaan Terengganu terhadap Mahasiswa tajaan mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0. Kredibiliti pihak Kerajaan Negeri dalam menangani isu tersebut dikecam kerana berpaksi kepada sekatan pemikiran anak muda khususnya, Mahasiswa yang berpeluang menjadi aset penting negara pada masa akan datang. Skop pendidikan tidak boleh hanya ditumpu kepada konteks bilik darjah semata-mata tetapi perlu dilihat dari segi pemacuan pemikiran dan daya keberanian hak bersuara yang perlu dianjurkan. 

Keterlibatan Mahasiswa itu dalam Perhimpunan Bersih 2.0 yang bertujuan untuk menuntut perubahan dasar sistem undian harus dilihat dari sudut perspektif anak muda yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negara satu masa kelak. Dalam erti kata lain, daya cetusan intelek mereka untuk melihat satu penambahbaikan perlu ada dalam sistem undian negara untuk menjamin demokrasi negara tidak runtuh harus diambil kira. 

Sekatan pemikiran ini dilihat oleh AIC Malaysia sebagai satu cara pengekalan sistem yang jumud yang takut akan berlakunya revolusi ketamadunan pemikiran baru yang lebih tertumpu kepada daya definasi tindakan kritis untuk kemajuan sejagat. Sistem pemerintahan sekarang lebih tumpu kepada keagungan tampuk kuasa satu suara yang tidak memberi akses kepada kemajuan komunikasi dua hala yang dapat menjamin keseimbangan pembangunan ekonomi serta sosial.

Keadilan dalam melaksanakan apa yang  dipanggil dasar atau undang-undang juga wajar telus, maka seharusnya Kelab Umno luar negara yang beroperasi mesti segera dibubarkan bagi memberi ruangan sama rata agar bagi mana-mana ideologi politik tidak disumbat dalam pemikiran Mahasiswa yang sedang menuntut di luar negara.

AIC Malaysia menyeru setiap negeri di Malaysia baik dari negeri pemerintahan BN atau PR untuk tidak menyekat kemaraan Mahasiswa daripada menyuarakan ketidakpuashatian dan ideologi mereka kerana ia merupakan hak bersuara individu dalam menterjemah apa yang mereka tafsirkan dari pengamatan mereka sendiri. Sekatan ini akan membantutkan perkembangan minda sihat yang teratur serta dapat dijadikan suatu dasar dalam generasi mereka kelak. Kita juga menyeru agar Yayasan dari negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk membantu mereka yang terlibat dalam penarikan balik pinjaman Kerajaan Terengganu agar diberi pinjaman semula kepada mereka untuk menyambung pelajaran di Universiti masing-masing. Gesaan ini atas rasa simpati kami juga mengenangkan kerugian yang akan ditanggung dari penarikan itu kerana setiap Mahasiswa negara yang ada merupakan aset penting kepada negara secara sedar atau tidak.

Al-Azadi Aljohari
Timbalan Presiden AIC Malaysia

No comments:

Post a Comment