Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan berundur sebagai
menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan
(April).
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.
"Saya
dengan ini nak memaklumkan bahawa pada 8 April apabila tamatnya penggal
saya sebagai ahli Dewan Negara saya akan berundur diri sebagai menteri
pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat," katanya.
Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Berhubung
jawatan sebagai ketua Wanita beliau berkata, keputusan mengekalkan
jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah
seperti keluarga baginya.
"Dan semasa jadi satu powerful force, Wanita BN kini powerful force yang bawa perjuangan untuk rakyat Malaysia.
'Nantikan hasil siasatan NFC'
Ditanya
tentang isu NFC, Shahrizat menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan
dengan kes itu dan hanya berkahwin dengan pengerusinya.
"Tetapi sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab, saya rasa ini tindakan tepat untuk berundur dengan baik.
"Saya
ingin jelaskan, ini keputusan saya sendiri. Dan saya mahu pastikan
apabila saya berundur, siasatan akan diteruskan mengikut lunas
undang-undang dan kita semua nantikan hasilnya," katanya.
Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April ini.
Isu
peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National
Feedlot Corporation yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh
Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri
Sembilan.
Selain desakan pembangkang, beberapa individu dalam
Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno
Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat
melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.
Malah,
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan
menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar "jangan
sayang kepada jawatan."
No comments:
Post a Comment