SHAH ALAM, 19 JAN : Negeri Selangor terus komited
dan telus dalam usaha menguruskan sisa pepejal dengan menggunakan
teknologi yang lebih efisyen bahkan berupaya menjimatkan kos
penyelenggaraan.
Ia terbukti menerusi pembinaan
Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Shah Alam bagi tujuan pengumpulan
sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan akhir sampah.
Exco
Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, stesen
pemindahan ini akan bertindak sebagai pusat transit untuk sisa pepejal
sebelum dilupuskan di tapak pelupusan yang terletak di Jeram, Kuala
Selangor.
Menurut Ronnie, stesen pemindahan itu
dilihat lebih efektif malah lebih menguntungkan kerana sisa pepejal
dari lori kutipan akan dikumpulkan dan dimampatkan terlebih dahulu
sebelum dipindahkan kepada jentera yang lebih besar muatannya untuk
dihantar ke tapak pelupusan akhir.
"Keunikan
stesen pemindahan ini adalah ia dapat mengurangkan perjalanan
"compactor" ke tempat pelupusan sampah. Sebelum wujudnya stesen ini,
semua "compactor" di Shah Alam hanya dapat menjalankan kira-kira 1.5
perjalan sehari ke tapak pelupusan sampah.
Ia
amat efisyen di mana lori kutipan boleh menambah jumlah penghantaran
sisa pepejal ke tapak pelulusan akhir kira-kira 3 kali sehari. Prosesnya
amat mudah dan berkesan,"ujarnya.
Beliau
berkata, stesen pemindahan itu setakat ini dilaksanakan di Shah Alam di
bawah pengawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan akan diperluaskan
kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Subang Jaya dan
Petaling Jaya dalam masa terdekat.
Jelasnya
lagi, stesen pemindahan yang dibina khusus untuk pengurusan sisa pepejal
ini bersifat lebih murah malah menjimatkan masa untuk kutipan sampah.
Tambahnya,
ia juga akan mengurangkan lalu lintas lori sisa pepejal di tapak
pelupusan, mengurangkan perkhidmatan lori "standy" selain turut
menjimatkan kos penyelenggaraan lori kutipan.
"Sekiranya
kerajaan negeri boleh mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, kita
ingin membina satu lagi stesen pemindahan sisa pepejal di kawasan lain
seperti Ampang atau Selayang kerana kedua-dua kawasan ini menyukarkan
lori kutipan untuk menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan
memandangkan tempat itu agak jauh," katanya.
Ronnie berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21 di sini petang tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.
Stesen
pemindahan tersebut telah siap dibina oleh WorlWide Holdings Berhad
pada 2008 dengan menelan kos sebanyak RM77 juta dan telah beroperasi
pada 10 Januari lalu.
Menerusi sistem ini, sisa
pepejal akan dipindahkan secara terus ke dalam "silo" yang bersifat
kedap air dan boleh membawa 22 peratus lebih sisa pepejal iaitu
kira-kira 20 tan sehari.
Dalam sidang media
sama, Ronnie turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan
kontraktor yang dilantik oleh setiap PBT tidak menjalankan kutipan
sampah dengan konsisten sehingga menimbulkan rasa kurang senang di
kalangan penduduk.
Jelasnya, setiap kontraktor
yang dilantik menjalankan kerja kutipan sampah secara teratur iaitu tiga
kali seminggu di setiap kawasan perumahan, empat kali seminggu di
kawasan komersial dan setiap hari di kawasan pangsapuri kos rendah.
Beliau
berkata, penduduk perlu memberi peluang kepada PBT dan kontraktor yang
dilantik untuk membaiki perkhidmatan mereka supaya operasi kutipan
sampah dapat berjalan lancar dan tidak lagi menimbulkan sebarang
masalah.
"Pada permulaan, memang nampak sedikit
kecoh tetapi penduduk perlu beri kita sedikit masa untuk memperbaiki
perkhidmatan kontraktor kerana mereka masih baru dan belum mahir dengan
kawasan itu untuk urusan kutipan sampah.
Tetapi
kita ada beberapa cara untuk menangani masalah ini iaitu penduduk boleh
menghubungi talian hotline yang disediakan di setiap PBT dan kerajaan
negeri sendiri untuk membuat sebarang aduan sebelum boleh diambil
tindakan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment