MP Beaufort Datuk Lajim Ukin memohon maaf atas tindakannya
memluluskan kontrak pembersihan kepada syarikat Alam Flora ketika
menyandang jawatan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Berucap
dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 3,000 orang pada malam tadi,
Lajim menceritakan bahawa beliau meluluskan kontrak berkenaan atas
arahan perdana menteri.
"Saya kena ikut arahan dari big boss, " katanya yang turut mengaku bebas rasuah sewaktu beliau bersama BN.
Syarikat
itu didakwa menjalankan tugas pembersihan sampah yang tidak sempurna di
negeri Selangor bagi mensabotaj pentadbiran Pakatan di negeri itu.
Berikutan
itu, kerajaan Selangor pada Oktober tahun lalu memutuskan untuk tidak
menyertai penswastaan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam menerusi
Alam Flora.
"Saya tak rasuah. Tiga bulan saya keluar Umno belum ada fail kena cari untuk saya.
"Kalau
ada pun itu akan dibuat-buat pemimpin Umno untuk memalukan saya
sahaja," katanya yang mengisytiharkan dirinya mesra Pakatan Rakyat
baru-baru ini.
Dalam ucapannya itu, Lajim berkata Sabah bukan
lagi simpanan tetap untuk BN dan Pakatan Rakyat mampu memenangi
sekurang-kurangnya 15 kerusi di negeri itu pada pilihan raya umum akan
datang.
Bekas timbalan menteri dan ahli majlis tertinggi Umno itu
menyuarakan keyakinan itu dalam satu ceramah politik di Setapak
semalam.
"Kepada saudara-saudara di Semenanjung, saya sampaikan
kepada saudara-saudara semua Sabah akan beri 15 kerusi dalam pilihan
raya umum akan datang ini," katanya.
Menurutnya lagi, bacaan politik beliau juga menjangkakan perkara yang hampir sama akan berlaku di Sarawak.
"Saya
tak perlu sebut Sarawak, Sarawak juga (BN) akan kalah
sekurang-kurangnya 12 hingga 16 kerusi tetapi saya sahkan Sabah akan
beri untuk Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya 15 kerusi," katanya penuh
bersemangat.
Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno
Kerambai Kebatu dalam bulan Jun lalu dan bertindak melepaskan semua
jawatannya dalam Umno serta mengisytiharkan dirinya mesra Pakatan Rakyat
hujung Julai lalu.
Beliau kini memimpin Pakatan Perubahan Sabah
(PPS) – sebuah gerakan yang berhasrat untuk menumbangkan pentadbiran BN
di Negeri di Bawah Bayu itu.
No comments:
Post a Comment