Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di fakulti perubatan sebuah
universiti di Yogyakarta ditahan Polis Indonesia Sabtu lalu kerana
memiliki ganja seberat 6.8 gram.
Pelajar lelaki berusia 22
tahun itu ditangkap sepasukan Polis Cawangan Narkotik di Jalan
Kaliurang, Daerah Sleman, Yogyakarta, sejurus selesai transaksi
pembelian dadah tersebut dengan harga Rp300,000 (kira-kira RM100).
Dimaklumkan pelajar itu memesan bahan tersebut melalui laman sembang Internet.
Penangkapan
pelajar itu susulan maklumat awam dan polis yang membuat intipan
menemui dadah tersebut padanya dalam bungkusan kertas surat khabar lama.
Polis
Daerah Sleman sedang menyiasat lebih lanjut kes itu, termasuk bagi
membongkar jaringan pengedaran dadah dalam kalangan mahasiswa.
Jika
sabit kesalahan, pelajar itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga
12 tahun di bawah Fasal 111 dan 115 Undang undang Narkotik Republik
Indonesia.
Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia,
Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata pelajar berkenaan memegang biasiswa
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Keluarga pelajar itu telah mengetahui mengenai kes berkenaan dan ibunya telah berada di Yogyakarta sejak hari Sabtu itu.
"Pihak
EM Indonesia melalui bantuan Atase Konsular dan Imigresen serta Atase
PDRM Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memulakan proses bantuan
supaya beliau mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya," katanya di
Jakarta.
Dr Juzhar berkata pihaknya dengan bantuan pemimpin
persatuan pelajar Malaysia juga memantau kebajikan dan kesihatan
pelajar itu semasa dia ditahan di Balai Polis Daerah Sleman.
- Bernama
No comments:
Post a Comment