KUALA LUMPUR, 20 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bukit
Gasing Edward Lee Poh Lin meninggal dunia hari ini, demikian menurut
rakan-rakannya.
Ketika memaklumkan perkara itu menerusi mesej Twitter, Pengarah
Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, wakil rakyat DAP itu, yang
bertarung dengan masalah kanser, meninggal dunia sekitar pukul 4 pagi
tadi.
Lee (gambar), 61, berhadapan dengan masalah kanser sejak 2009.
“Saya dimaklumkan bahawa YB Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) telah
meninggal dunia. (Mendiang) seorang yang baik, saya rakan satu kelas
dengan James, anak lelakinya di La Salle,” kata Nik Nazmi yang juga ADUN
Seti Setia.
Mendiang dimasukkan ke hospital pada 14 Disember lalu dan sepatutnya
dibawa pulang ke rumah hari ini, tetapi telah meninggal dunia, kata
seorang rakannya.
Lee, wakil rakyat penggal pertama, juga merupakan anggota
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan
Ketelusan Selangor (Selcat).
Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang kerusi Bukit Gasing dengan majoriti 8,812 undi.
“Kami tahu beliau sakit tetapi kematian beliau adalah sesuatu yang
mengejutkan,” kata seorang pemimpin DAP kepada The Malaysian Insider.
Mendiang mendirikan rumah tangga dengan Christina Lee dan mempunyai tiga anak lelaki.
No comments:
Post a Comment