Best Ever, Tolong Klik Sini!

Monday, December 5, 2011

Keputusan Awal - Parti Islam Mesir Meraih Kemenangan Besar

KAHIRAH: Keputusan awal pilihan raya pertama pascarevolusi Mesir menunjukkan bahawa parti-parti Islam meraih kemenangan besar.

Ini termasuk parti Salafi berpendirian tegar, dengan parti-parti berfahaman sekular dikalahkan di kebanyakan kawasan.Perangkaan undian secara beransur-ansur diumumkan bagi kawasan-kawasan negara itu yang mengadakan bantahan pengundian pada Isnin dan Selasa lalu.

Ini mengesahkan ramalan awal bahawa parti-parti Islam memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga jumlah undian.

Akhbar-akhbar di negara itu semalam melaporkan bahawa Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), yang dikaitkan dengan kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan), meraih hampir 40 peratus undian, manakala Parti Al-Nur yang dikaitkan dengan kumpulan Salafi tegar, mendapat antara 20 dengan 25 peratus undian.

Pakatan liberal utama, Blok Mesir, pula meraih 15 peratus undian.

Perdana Menteri sementara Mesir, Encik Kamal el-Ganzuri, menyuarakan harapan agar pemerintah barunya mengangkat sumpah menjelang Rabu ini, kata agensi berita rasmi Mena.

Encik el-Ganzuri, 78 tahun, dijadualkan menamatkan rundingannya mengenai senarai pemimpin pemerintahannya lewat semalam.

Beliau berkata bahawa beliau telah memutuskan akan menangguhkan pengumuman mengenai senarai tersebut, yang dijangka dibuat pada Rabu atau Khamis lalu, kerana adanya perubahan pada pencalonan, tambah Mena.

'Rakyat telah memilih calon-calon yang mewakili identiti Islam mereka dan siapa yang mereka yakini,' kata Encik Mahmud Ghozlan, jurucakap Ikhwan, yang dijangka memenangi 40 peratus daripada keseluruhan undi.

Encik Ghozlan menekankan bahawa FJP berbeza daripada kumpulan Salafi, yang menurutnya, meraih kejayaan mengejutkan dalam pilihan raya itu.

Sementara itu, cabang politik baru Ikhwan, FJP, yang menjadi pemenang besar pusingan pertama pilihan raya Mesir itu, sedang cuba meyakinkan rakyat Mesir bahawa ia tidak akan mengorbankan kebebasan peribadi demi menggalak undang-undang Islam.

Timbalan ketua parti itu, Encik Essam el-Erian, memberitahu agensi berita The Associated Press (AP) melalui wawancara telefon, kelmarin, bahawa kumpulan itu tidak berminat memaksakan nilai-nilai Islam ke atas Mesir, yang turut mempunyai sejumlah besar penduduk Kristian minoriti dan pemeluk agama lain yang menentang usaha memaksa mereka mengamalkan prinsipprinsip Islam.

'Kami mewakili parti berfahaman sederhana dan adil,' kata Encik el-Erian sambil merujuk kepada FJP.

'Kami mahu menggunakan asas undang-undang syariah dengan cara yang adil, yang menghormati hak asasi dan hak peribadi manusia,' tambahnya dalam usaha membezakan FJP daripada Parti Al-Nur. -- AFP, AP.

No comments:

Post a Comment