Best Ever, Tolong Klik Sini!

Friday, December 23, 2011

Nik Aziz Pertahankan Negara Berkebajikan

Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertahankan dasar negara kebajikan yang dianjurkan oleh parti itu.

Beliau menegaskan dakwaan bahawa Negara Kebajikan yang disebut oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di Muktamar tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS, adalah tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya, bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya.

Dalam hal ini, Harakahdaily memetik Nik Aziz sebagai berkata, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu.

“Selaku Mursyidul Am PAS, saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Aziz juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment