Blogger
Tukar Tiub (TT) yang sebelum ini memperlihatkan sikap meragui kemampuan
Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai pemimpin Angkatan Muda Keadilan
(AMK) dalam mengepalai agenda perubahan anak muda baru-baru ini telah
melontarkan cabaran terbarunya kepada Shamsul.
Blog Tukar Tiub (TT) yang dikendalikan oleh aktivis bebas terkenal,
Hishamuddin Rais merupakan antara blog yang menduduki carta teratas
selama beberapa tahun dalam kedudukan blog yang mempunyai capaian
tertinggi.
Selain itu, blog tersebut dikatakan mempunyai pengaruh kuat dalam
membangkitkan semangat melawan anak muda bagi menumbangkan kerajaan
Umno-Barisan Nasional (BN) yang dianggapnya penuh dengan ketidakadilan.
Adakah Shamsul mampu membuktikan bahawa beliau sebagai Ketua AMK yang
memiliki aura kekuatan dan pengaruh terhadap anak-anak muda khususnya
mereka yang berada di dalam AMK?
Kemampuan pesaing beliau dalam perebutan jawatan Ketua AMK sebelum ini
kerap kali terbukti akan kemampuannya menarik sokongan anak muda dari
akar umbi dan orang ramai dalam rapat-rapat umum termasuk demonstrasi
dan program-program mendekati anak muda yang tersusun.
Kemampuan beliau itu bukanlah hanya terletak kepada aura atau kekuatan
pengaruhnya, tetapi yang lebih penting kemampuan beliau mengatur susun
gerak kerja, strategi dan menggerakkan jentera untuk memobilisasi
anak-anak muda.
Kini, mampukah Shamsul membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin anak
muda dalam AMK yang mempunyai aura, kebijaksanaan mengatur strategi dan
gerak kerja yang tersusun?
Adakah Shamsul mampu mempamirkan kekuatan AMK untuk menggempur musuh
agar digeruni lawan dan memilik pengaruh terhadap anak-anak muda
khususnya terhadap golongan akar umbi dalam AMK sendiri?
Kikis persepsi ‘kaki menempel’
Shamsul harus mengikis persepsi bahawa beliau bukanlah seorang anak muda
‘kaki menempel’ pemimpin tertinggi PKR mahu pun anak manja dalam parti
itu dengan menunjukkan daya usaha beliau sendiri menggerakkan anak muda
tanpa mengharap aura pemimpin tertinggi parti.
Menggerakkan beberapa kerat penyokong yang terdiri dari orang-orang
kanannya dalam AMK adalah tidak memadai dan tidak membawa apa-apa makna
kepada anak-anak muda di peringkat akar umbi.
Umumnya tentu setuju bahawa perkara ini tidak wajar dianggap sebagai
satu pertandingan atau perbandingan antara Shamsul dengan bekas
pesaingnya itu.
Bagaimanapun, Shamsul bertanggungjawab untuk meneruskan imej yang telah
menjadi tradisi AMK selama ini yang dipandang sebagai kumpulan ‘hard
core’ anak muda yang sama-sama berhujan, berpanas dan berlumpur dengan
anak-anak muda di akar umbi.
Sikap suka ‘menempel’ kepada pemimpin tertinggi PKR akan hanya
menyebabkan ketua AMK dipandang berada dalam golongan elit parti itu.
Shamsul harus membuktikan AMK di bawah pimpinannya mampu mengekalkan
perbezaan antara AMK dengan anak muda dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa), Pergerakan Pemuda Umno dan pergerakan pemuda
lain-lain organisasi.
Jesteru itu, lontaran cabaran TT itu memang tepat pada masanya dan
Shamsul tidak harus mempunyai rasa ragu-ragu kemampuan diri untuk
menyambut cabaran tersebut.
Pada 9 Januari nanti, satu lagi peluang untuk Shamsul membuktikan bahawa
beliau mempunyai keupayaan menarik ribuan anak muda dari akar umbi yang
tentunya keupayaan beliau diyakini ramai.
Jika semalam hampir seribu mak cik-mak cik Felda yang menyokong Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad turun berdemonstrasi di
hadapan ibu pejabat Felda walau dengan apa cara sekalipun, bagaimana
pula kemampuan Shamsul sebagai ketua AMK yang dianggap sebagai golongan
‘hard core’?
-freemalaysiatoday-
No comments:
Post a Comment