Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana
zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan
bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.
Kos guaman itu adalah
bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin
Hussain, sebagai responden.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan
jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran
RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain
daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran,
elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.
Menurut laporan
tersebut, Che Mat telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500
menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28
Januari 2010, daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran
kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.
Menurutnya lagi,
pada 29 April 2010, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah
RM32,150 juga menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu.
Laporan
itu menyebut, MAIWP melantik firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir
mewakili mereka atas pegangan jawatan mereka dalam MAIWP.
Laporan
Audit Negara menjawab soalan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa
Kira-kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Seri Azmi Khalid, oleh
tiga ahli parlimen - Saifuddin Nasution Ismail (Machang), Datuk
Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).
Jawapan Azmi yang melampirkan laporan Audit Negara itu bertarikh 14 Disember, dan disiarkan dalam blog Nurul Izzah.
Laporan
itu menyebut bahawa peruntukan wang zakat yang didahulukan itu, telah
dibayar balik sebelum penutupan akuan MAIWP tahun 2010 dan telah
disahkan oleh pihak audit.
No comments:
Post a Comment